Bandaraya serantau Australia

Bandaraya serantau Australia

Ketahui lebih lanjut mengenai bandar-bandar wilayah Australia, yang kaya dengan kecantikan semula jadi dan merupakan pintu gerbang untuk menikmati pelbagai pengalaman Australia.

Kunjungi Cairns, pintu gerbang ke dua tapak Warisan Dunia: Daintree Rainforest dan Great Barrier Reef. Lebih jauh ke selatan ialah bandaraya gula terulung Bundaberg, di mana anda boleh bersnorkel di penghujung selatan Great Barrier reef dan melihat penyu bersarang dan menetas di pantai Mon Repos. Nikmati keriangan Gold Coast, yang mempunyai pantai putih dan hutan hujan Warisan Dunia, serta restoran, taman tema dan gerai-gerai beli-belah.

Di Alice Springs, asyikkan diri anda dengan seni Orang Asli. Ikuti trek menerusi West MacDonnell Ranges dan perjalanan siang hari ke Uluru di Red Centre, Australia. Tungganglah unta di sepanjang Pantai Cable yang indah di Broome, di pelabuhan industri mutiara terpencil di barat laut Kimberley. Di pinggiran pantai Australia Barat adalah Albany, di mana anda boleh memancing dan menyelam, berkembara menerusi taman negara dan melihat ikan paus di pinggir pantai yang indah dan lasak ini.

Luangkan masa untuk menikmati kehidupan hebat di Orange yang terletak di kaki gunung berapimati, kira-kira 4 jam perjalanan dari barat Sydney. Kunjungi pengeluar wain beriklim sejuk dan pelbagai restoran yang terkemuka. Cubalah makanan dan wain tempatan yang lazat di Orange F.O.O.D Week pada bulan April atau semasa Orange Winefest pada bulan Oktober. Bersiar-siarlah di Orange Botanical Gardens, berjalan mengikuti laluan City Heritage Trail atau nikmati keindahan pemandangan bandar dari Mt Canobolas, puncak gunung berapi di zaman silam.

Mulakan pengembaraan pedalaman anda di Alice Springs yang terletak di tengah-tengah Australia’s Red Centre. Merentasi dataran spinifeks dengan menaiki belon udara panas atau berbasikal ke Simpsons Gap. Sertai ekspedisi quad bike merentasi gurun atau terbang merentasi MacDonnell Ranges. Lihat tradisi Orang asli kaum Arrernte yang tinggal di sini selama 20,000 tahun dan melihat-lihat seni kontemporari Orang asli di sepanjang Todd Mall. Dengarlah cerita penunggang unta Afghan, doktor terbang dan peneroka yang berani di banyak tapak warisan di sekitar bandar ini. Bandar yang ceria dan moden ini juga adalah satu hari perjalanan dari tarikan ikonik Uluru-Kata Tjuta dan Kings Canyon.

Koloni penyu yang sukar ditemui ini merupakan antara tarikan semula jadi yang mampu membuat anda terpegun. Ia berhampiran Bundaberg, empat jam memandu ke utara dari Brisbane.  Bandaraya bersejarah yang terkenal dengan tanaman tebu ini juga merupakan pintu gerbang paling selatan ke Terumbu Sawar Besar, disempadani karang dan kai, serta pantai putih bersih yang mengunjur sepanjang 140km.  Pergi menyelam dan bersnorkel di Kepulauan Lady Musgrave dan Lady Elliot , berenang serta memancing dari taman negara pesisir pantai.  Bundaberg juga menawarkan lebih banyak tarikan bandar tradisional, termasuk muzium, bangunan warisan dan taman botani yang subur dengan bunga-bungaan.

Dari bandaraya antarabangsa yang bergaya ini, pulau, hutan hujan dan terumbu di North Queensland tropika berada tidak jauh dari anda. Snorkel, menyelam atau pergi seharian ke Great Barrier Reef yang tersenarai dalam Warisan Dunia kerana pulau terumbu karang dan hidupan marinnya. Nikmati kehebatan Cairns Esplanade yang terletak di hadapan lautan dan berbelanja di restoran, kedai dan bar. Berakit di sungai berdekatan dan naik kereta api serta nikmati pemandangan indah dalam perjalanan ke perkampungan Kuranda yang tenang dan dikelilingi rama-rama. Jangan ketinggalan untuk menyertai lawatan seharian ke Daintree Rainforest yang menakjubkan dan dikatakan sebagai hutan hujan tropika tertua yang masih ada di muka bumi ini.

Harungi ombak besar di Broadbeach, snorkel melalui bangkai kapal di Main Beach atau berjalan di atas pasir keemasan yang dikelilingi bangunan pencakar langit di Surfers Paradise. Rasai keseronokan anda menunggang tunggangan maya di Dreamworld, berenang dengan dolfin di Sea World dan saksikan pembikinan filem di Warner Bros Movie World. Jelajahi air terjun, hutan hujan, tempat peninjau dan meredah belukar dengan pemandangn yang indah di kawasan pedalaman subur di Gold Coast.

Pekan Tasmania yang kompak dan indah pemandangannya, iaitu Launceston, Devonport dan Burnie mempunyai banyak tarikan untuk menceriakan para pelancong.  Temui restoran, galeri, kawasan taman dan skap jalan raya bersejarah, serta bersua muka dengan penduduk setempatnya yang mesra dan terokai tarikan di sekitarnya.  Di bahagian utara Tasmania terdapat Launceston, lokasi bagi suasana kebudayaan yang berkembang maju dan hidupan liar di Cataract Gorge.  Di sepanjang pantai barat laut pulau ini yang berceranggah anda boleh menerokai pelabuhan Devonport yang indah dan bandar Burnie di tepi pantai yang bersemangat.

Terokai sejarah, budaya dan seni bina kolonial kerubut emas di pekan Victoria yang dahulunya pernah berkembang dengan begitu pesat. Emas mungkin sudah tiada lagi, tetapi kesejahteraan dan kegembiraan masih berterusan di pusat serantau yang anggun dan bersejarah di Bendigo. Bangunannya yang tersergam dan mewah, warisan Cina dan muzium yang hidup merupakan warisan era kerubut emas 1850an dan 60an yang telah merobah wilayah ini.

Di pesisir pantai selatan Australia Barat yang berceranggah, empat jam setengah masa memandu dari Perth, terletak Albany, sebuah bandar di mana anda benar-benar boleh melepaskan diri daripada kesibukan kehidupan di kota. Ia disempadani lautan menghijau, hutan taman negara yang menjulang tinggi, serta menawarkan pelbagai kembara semula jadi, dari memancing, menyelam hinggalah ke berjalan kaki dan menonton ikan paus. Ia juga mempunyai banyak kisah Orang Asli yang menjadi pemilik tanah dan selepas itu, diwarnai pula dengan kisah para banduan, pelayar dan pemburu ikan paus. Terokai Albany di hujung selatan Bibbulmun Track yang kelihatan seperti dihampar dengan bunga-bunga liar di South-West, Beaches dan Goldfields Drive.

Lihat unta dan keistimewaan tersendiri Broome, bandar pemutiaraan eksotik yang terletak di pintu masuk ke Kimberley. Beli mutiara dan nikmatilah juadah dari pelbagai kewarganegaraan di Chinatown yang pada suatu masa dahulu merupakan sebuah pusat billiard dan sarang pencandu yang sibuk. Tunggang unta di sepanjang pantai berpasir putih di Cable Beach tempat untuk menyaksikan mentari merah tenggelam ke dalam Lautan Hindi. Lihat kesan tapak kaki dinosaur yang dipelihara dalam batu dan perhatikan burung dari Roebuck Bay. Antara bulan Mac dan Oktober, anda boleh melihat magis romantik ‘Anak tangga menuju ke Bulan’, ilusi berkilauan yang terhasil dari pantulan cahaya bulan yang sedang terbit.

Terokai padang emas dan pekan hantu, sejarah dan pengembaraan lasak di tengah-tengah kawasan barat liar (wild west) di Australia Barat. Jika anda sukakan kehidupan barat lama, anda akan terasa seperti anda berada pada zaman itu apabila berada di Kalgoorlie iaitu bandaraya padang emas terbesar di Australia Barat. Bangunan bersejarahnya dan pubnya yang berwarna-warni merupakan warisan lebih daripada seratus tahun sejarah kerubut emas.

Hayati penggembaraan lasak di dunia yang luas, dipenuhi tasik, rabung dan banjaran purba, berlian merah jambu yang sukar ditemui dan stesen yang sangat besar. Ada sesuatu pada Kununurra yang liar dan terpencil yang menyemarakkan semangat untuk melakukan penggembaraan lasak, meskipun bagi pengembara yang kurang berani. Mungkin ia terletak pada langitnya yang biru, tanahnya yang merah menyala dan pemandangan belukarnya yang berceranggah, atau kedudukannya sebagai pintu masuk ke Kimberley Timur dan beberapa tarikan semula jadi menarik yang menakjubkan di Australia Barat.

Gunakan peta untuk menerokia tempat untuk dikunjungi dan aktiviti untuk dilakukan

States
States

Idea Australia selanjutnya