Albany, Australia Barat

Albany, Australia Barat

Di pesisir pantai selatan Australia Barat yang berceranggah, empat jam setengah masa memandu dari Perth, terletak Albany, sebuah bandar di mana anda benar-benar boleh melepaskan diri daripada kesibukan kehidupan di kota. Ia disempadani lautan menghijau, hutan taman negara yang menjulang tinggi, serta menawarkan pelbagai kembara semula jadi, dari memancing, menyelam hinggalah ke berjalan kaki dan menonton ikan paus. Ia juga mempunyai banyak kisah Orang Asli yang menjadi pemilik tanah dan selepas itu, diwarnai pula dengan kisah para banduan, pelayar dan pemburu ikan paus. Terokai Albany di hujung selatan Bibbulmun Track yang kelihatan seperti dihampar dengan bunga-bunga liar di South-West, Beaches dan Goldfields Drive.

Terletak di Princess Royal Harbour, di pinggir King George Sound yang dramatik, Albany mempunyai pemandangan bandar yang cukup istimewa. Nikmati pemandangan lautan yang indah dari Torndirrup National Park, setelah melepasi bandar ini, di mana pinggir pantai granit yang berceranggah, yang pernah pada satu masa menjadi sebahagian daripada benua Antartika. Ayuh berjalan ke puncak Stony Hill dan anda akan dapat melihat pemandangan Albany dari atas dan laluan airnya sehingga ke utara dan merentasi Stirling Range National Park. Taman ini merupakan lokasi bagi batu-batu yang telah dihakis oleh angin seperti Natural Bridge dan Gap, yang terletak pada cenuram yang tingginya dari paras lautan adalah 24-meter.

Pemandangan yang lebih memukau boleh dilihat dari kemuncak Mount Clarence dan Mount Melville, yang berada di puncak kedua-dua belah bandaraya ini. Selepas itu, tinjau ladang angin mesra alam, terokai pasar peladang untuk mendapatkan keluaran yang tahan lama dan lihat timbulan granit Dog Rock. Jom bersnorkel atau berjalan-jalandi titian kayu yang indah pemandangannya di Pantai Middleton yang terlindung. Di sepanjang Emu Point pula, anda boleh memberi makan burung undan, berkelah atau menikmati makan tengah hari sambil bersantai di restoran.

Di luar pesisir, pinggir pantai Albany menawarkan pengalaman memancing, menyelam dan melihat aksi paus yang menyeronokkan. Baling joran dari pantai atau sertai rombongan pemancing merasai pengalaman memancing ikan spesies seperti salmon, herring, King George whiting, pilchard, leatherjacket, tuna, snapper dan ikan yu. Anda boleh menangkap ikan beraneka warna di sekeliling kapal yang ditenggelamkan untuk tujuan ini iaitu HMAS Perth, yang turut menjadi tempat selam skuba yang popular.

Antara akhir Mei dengan Oktober, ikan paus southern right dan kelasa menggelungsur melewati Albany semasa migrasi tahunannya. Tinjau ikan ini dari rumah api pantai dan tanjung tinggi atau hampirinya dengan kapal persiaran. Dari bulan Julai, anda boleh melihat ikan paus mengawan dan melahirkan anak di laut King George Sound yang luas menghijau, di sebelah singa laut, ikan lelumba dan unggas laut. Hari ini, menonton paus sudah menggantikan industri memburu paus yang pernah suatu masa dahulu berkembang maju di bandaraya ini. Ketahui lebih lanjut di muzium interaktif paus di Albany, yang pada satu ketika dulu pernah menjadi stesen memburu paus.

Terokai lebih jauh dalam dalam sejarah Albany yang menakjubkan dalam replika Brig Amity, kapal yang membawa peneroka dan banduan perintis ke Australia Barat. Ekspedisi tentera British telah bertapak di pantai Albany pada Hari Krismas pada tahun 1826, dan meneruskan usaha mengikat perhubungan damai dengan Orang Asli Mineng yang tinggal di sekitar King George Sound. Sebahagian besar daripada muhibah ini adalah hasil usaha Major Lockyer, yang menyelamatkan wanita Orang Asli daripada penghambaan dan memberkas mereka yang menculik wanita-wanita ini. Ketahui lebih lanjut mengenai Lockyer dan tokoh sejarah tempatan dalam Amity Trail, yang berliku-liku melewati penjara dan tavern lama, kapal memburu paus serta kotej peneroka.

Setelah anda puas mengenali khazanah warisan tempatan, terokai taman negara di luar pekan ini. Di Taman Negara West Cape Howe anda boleh bersiar-siar melalui hutan, kawasan semak heath dan pantai yang putih bersih di hujung selatan Australia Barat. Luncur gantung dan para peluncur dilancarkan dari platform yang dibina di celah-celah bukit di atas Pantai Shelley. Terokai tumbuhan, haiwan dan unggas yang terancam di West Gull National Park, di sebelah timur Albany, atau menuju ke utara ke pantai putih bersih di Two People Bay National Park. Burung scrub yang bising, yang telah diisytiharkan sebagai pupus pada tahun 1962, telah ditemui semula baru-baru ini

Anda boleh menapak ke Albany dengan menyusuri Bibbulmun Track, yang mengunjur hampir 1,000km dari Kalamunda, melewati hutan yang menjulang tinggi, tanah ladang yang aman damai serta pantai yang liar. Sebaliknya, anda juga boleh menghayati kawasan South-West, Beaches dan Goldfields Drive, sebuah lingkaran lapan hari dari Perth yang melalui kawasan barat daya negeri ini.

Apa cara pun anda tiba di sini, anda pasti amat gemar dengan bandaraya ini yang unik, dengan sejarahnya yang menarik dan pelbagai tempat libur semula jadi.

Idea Australia selanjutnya