Sydney

Sydney

Alami keindahan semula jadi Sydney dan budaya di sekitar Sydney Harbour dan Rocks yang bersejarah. Terokai pinggir pantai yang terkenal seperti Bondi, Bronte, Coogee dan Palm Beach. Redah belukar melalui Sydney Harbour National Park, menjamu selera di restoran berkelas dunia, lawati Blue Mountains. Sertai acara menarik Sydney – dari Mardi Gras hinggalah Pertunjukan Bunga Api Malam Tahun Baru.

Gabungan pantai untuk peluncuran, pelabuhan semula jadi yang bergemerlapan dan Sydney Opera House di Sydney memang amat menarik. Ditambah lagi dengan keajaiban ciptaan manusia, Sydney dianugerahkan dengan banyak aset semula jadi, seperti taman awam yang indah, pulau pelabuhan dan gigi air yang belum dicemari. Sistem pengangkutan yang lancar dan lawatan yang direka khusus menjadikan menerokai Sydney amat menggembirakan.

Lihatlah pelabuhan Sydney yang cantik, gaya hidup luarnya yang menggoda dan keindahan semula jadinya yang menawan. Berkayak di bawah Sydney Harbour Bridge atau melambai ke arah Opera House semasa anda menaiki feri merentasi pelabuhan menuju ke Manly. Belajar meluncur air di Bondi Beach atau berenang di dalam air tenang di Coogee. Lihatlah dengan penuh keasyikan jalan mati batu buntar di The Rocks atau pasar, butik, kafe dan pub di Paddington. Selain pelabuhan yang terkenal di dunia dan lebih daripada 70 pantai yang indah, Sydney juga menawarkan makanan yang lazat, festival dan keseronokan 24 jam sehari dan 7 hari seminggu.

Terokai pelabuhan, pantai dan presint pedalaman bandar-raya bersemangat ini.  Tontoni sang suria mula mendaki langit di atas Harbour Bridge atau sang suria melabuhkan tirainya di Opera House.  Nikmati santapan kelas atasan sepanjang Finger Wharf Woolloomooloo atau kecapi pengalaman menonton teater dan menari di sepanjang dermaga Walsh Bay yang dibangunkan semula.   Naiki feri ke Manly, berjalan kaki dari Bondi ke Bronte di sepanjang cenuram tepi laut yang menakjubkan atau bersantai di taman bir berlatarkan pemandangan pelabuhan di Watsons Bay.  Terokai keunikan ciri-ciri  Surry Hills, Kings Cross, Glebe, Newtown atau Balmain.  Luangkan hari terakhir anda dengan memanjakan diri di kilang wain, restoran atau spa sehari di Hunter Valley.

Sejarah awal banduan di Sydney masih segar di Rocks, selirat jalan berturap batu bundar dan cul-de-sac yang terletak hanya lima minit dari Circular Quay. Anda cuma perlu melangkah keluar dari pantai depan pelabuhan untuk menemui teres batu pasir dan kotej serta antara pub tertua di Sydney. Presint bersejarah ini turut menarik kedua-dua pengunjung dan warga tempatan dengan muzium dan galerinya, pasar hujung minggu yang meriah dan hotel dengan pemandangan pelabuhan. Masa lampau dan masa kini bertembung dengan cara yang paling baik di The Rocks, yang menjadi tempat bagi rombongan pelancongan menyeramkan dan antara perayaan yang paling meriah di Sydney.

Melepasi bangunan mercu tandanya, Sydney Harbour National Park melindungi pantai terpencil, pulau yang indah pemandangannya dan gugusan tanah belukar asli yang sukar ditemui. Berenang, berkelah dan meredah belukar di sepanjang pantai depan yang mempesona atau lawati pulau-pulau pelabuhan dengan menaiki feri. Pergi belayar atau berkayak, hampiri hidupan liar dan terokai seni batu purba dan bangunan yang dibina oleh para banduan. Teluk, taman dan tanjung tinggi pelabuhan juga merupakan astaka bagi sesetengah acara terbesar di Australia, dari pertunjukan bunga api Malam Tahun Baru hinggalah ke perlumbaan perahu layar Sydney ke Hobart.

Dapatkan idea dan ideal di perkampungan di tengah bandar raya ilmu di Sydney. Glebe ialah tempat ilmu dan selalunya merupakan sub-bandar yang dipinggirkan antara sub-bandar tengah bandar raya Sydney yang glamor. Tapi siapa yang perlukan penonjolan diri atau fesyen pereka apabila anda mempunyai ideal dan kecekalan intelek?

Bondi Beach merupakan antara pantai Australia yang paling terkenal dan dikenali di seluruh dunia. Ia mungkin telah muncul pada lebih banyak poskad serta rancangan televisyen dan filem berbanding mana-mana pantai lain di Australia. Setiap tahun puluhan ribu pelawat, dari pengembara beg galas hinggalah ke jutawan, menuju ke pasir keemasan pantai bandar ini untuk berjalan, berjoging atau hanya berjemur di pantai. Disebabkan jaraknya hanya 10 kilometer dari pusat bandar, Bondi Beach merupakan antara pantai yang paling sibuk di Sydney. Pelbagai acara diadakan di sini sepanjang tahun dari pertunjukan seni masyarakat hinggalah lumba maraton larian bandar ke pantai.

Manly Beach adalah sebuah lagi pantai pinggir bandar Australia yang paling popular yang terletak di sepanjang garis pinggir laut utara Sydney. Manly Beach telah diberi nama dalam tahun 1788 oleh Kapten Arthur Phillip, gabenor pertama New South Wales, kerana beliau begitu terkesan oleh “keyakinan dan tingkah laku kelelakian” para penduduk Orang Asli asal kawasan sini. Naiki feri Manly yang hebat dari Circular Quay dan dalam setengah jam anda akan tiba di dermaga Manly Wharf. ‘Hanya tujuh batu dari Sydney dan sejuta batu dari kerunsingan’ adalah frasa yang selalu disebut oleh penduduk Manly. Apabila anda melawati pekan pinggir pantai ini, anda akan dengan pantas memahami sebabnya.

Dengan pantai yang bergemerlapan, tempat berjalan kaki yang hebat dan kawasan simpanan marin yang dilindungi, dengan kemudahan luncur air, bersnorkel dan selam skuba, Coogee menyimpulkan gaya hidup pantai klasik Australia. Coogee Beach mempunyai jaluran pantai keemasan yang luas terbentang, tempat mandi lautan bersejarah dan banyak taman hijau untuk tempat barbeku dan perkelahan, semuanya hanya 20 minit perjalanan dari pusat bandar Sydney yang sibuk. Pantai ini amat sesuai bagi seisi keluarga, dengan kawasan berenang yang selamat dan para penyelamat yang meronda sepanjang tahun. Coogee juga merupakan antara kawasan pinggir bandar tertua di Sydney yang mempunyai banyak bangunan bersejarah. Puncak cenuram yang banyak di sekelilingnya menawarkan aktiviti meredah belukar yang luar biasa indahnya dan antara pemandangan paling indah di Sydney.

Sejauh sejam perjalanan dari bandar ini, Palm Beach terletak di hujung pantai utara Sydney yang eksklusif. Ia terletak di penghujung semenanjung yang panjang, dengan perairan berombak air di satu sisi dan Pittwater di sisi yang lain. Banyak hartawan negara ini membina rumah percutian mereka di sini. Para peminat akan juga mengenali Palm Beach sebagai desa khayalan ‘Summer Bay’, tempat lokasi siri TV terkenal Home and Away. Lengkungan pantai keemasan sepanjang dua kilometer dari Barrenjoey Head di kepala sebelah selatan Broken Bay, ke batu pasir Little Head di bahagian selatan.

Musim panas Sydney semuanya mengenai pesisir pantainya, dan tidak banyak tempat yang setanding  dan dianggap sebagai ikon seperti dari Bondi ke Bronte.  Pelajari bagaimana untuk meluncur, sertai orang-orang yang menarik di Tamarama dan berenang di kolam batu mesra keluarga Bronte.  Lihat kesemua tiga pantai pada laluan Brondi ke Bronte - pesisir pendek yang menakjubkan sepanjang cenuram batu pasir.

Terokai beberapa di antara 70 buah pantai indah di Sydney dari teluk yang terpencil hinggalah ke deretan kawasan berpasir yang terkenal di dunia. Pantai Sydney akan memanggil-manggil anda sebelum anda sempat mendarat di Botany lagi. Anda mungkin akan ternampak pantai-pantai ini ketika dalam kapal terbang – rangkaian keemasan yang terbentang jauh dan terpisah merentasi kedua-dua belah pelabuhan dan dikelilingi belukar yang menghijau dan lautan.

Anda tidak perlu menjadi pakar pelayaran untuk menikmati perlumbaan kapal layar Sydney ke Hobart. Bermula dari Boxing Day, Disember 26, perlumbaan ini merupakan bahagian ikonik dalam musim panas Australia. Lihat kapal berlayar keluar di pelabuhan dengan piknik, barbeku atau krus kapal di Pelabuhan Sydney. Bersorak apabila mereka melepasi garisan tamat, tepat masanya untuk perayaan malam tahun baru di Hobart. Kagumi ketabahan pelayar dan sertai warga Australia yang lain ketika mereka bertarung dengan Bass Strait yang cukup bergelora.

Riang-ria, subversif, kosmopolitan dan berkumpulan – selamat datang ke Sydney semasa pesta tahunan Lelaki homoseksual and Lesbian Mardi Gras. Sama ada anda ‘lurus’, lelaki homoseksual, tua atau muda, anda akan menyukai glamor dan riang ria yang berlangsung di bandaraya ini dari hujung bulan Februari. Raikan upacara pembukaan pesta ini di Fair Day – parti komuniti yang besar di bahagian barat-dalaman Sydney. Saksikan konvoi sequin, slogan dan tan semburan menyusuri Oxford St dalam perarakan gay terbesar di dunia. Menari sepanjang malam di Royal Botanic Gardens yang menghijau atau di parti penutup tirai yang pasti hebat. Nikmati pertunjukan yang aneh dan pelik di Sydney Opera House dan tempat lain merentasi seluruh bandaraya ini.

Mulakan pengembaraan Australia anda di Sydney dan di sini anda boleh menyusuri Harbour Bridge dan berkunjung ke Opera House. Berhampiran pinggir Sydney, jelajahi Blue Mountains yang tersenarai dalam Warisan Dunia atau Hunter Valley dengan barisan ladang anggurnya. Berenang bersama-sama dolfin di Port Stephens atau Jervis Bay yang bergemerlapan.

Sydney Harbour merupakan salah sebuah pelabuhan semula jadi yang terindah di dunia. Dengan lebih 240 kilometer pesisir pantai dan laluan air, banyak yang boleh diterokai di sini. Sydney Harbour ialah lokasi persinggahan perairan bagi penduduk Sydney, dan pada hari yang panas, pelabuhan ini berwarna biru terang dan dipenuhi beratus-ratus kapal layar, bot pesiaran dan feri. Di sekeliling pinggiran Sydney Harbour anda akan dapati juga taman negara, tapak Warisan Dunia, warisan Orang Asli yang kaya dan sejarah penjajahan awal. Di atas permukaan, di atas atau di bawah air, ada berjuta-juta cara untuk menikmati Sydney Harbour.

Gunakan peta untuk menerokia tempat untuk dikunjungi dan aktiviti untuk dilakukan

States
States

Idea Australia selanjutnya