Mengayuh menuju ke syurga di Blue Mountains

Mengayuh menuju ke syurga di Blue Mountains

Tiada rasa yang sama dengan rasa pacuan adrenalin ketika berbasikal merentasi cenuram, ngarai yang dalam dan tanah belukar asli di Blue Mountains.
Tiada rasa yang sama dengan rasa pacuan adrenalin ketika berbasikal merentasi cenuram, ngarai yang dalam dan tanah belukar asli di Blue Mountains.

Kawasan Greater Blue Mountains yang tersenarai dalam Warisan Dunia merangkumi lebih daripada sejuta hektar. Apatah lagi, kawasan ini sangat tebal hutannya hinggakan pokok tertua di dunia iaitu Wollemi Pine tumbuh dan membesar di lembah pedalaman ini tanpa dikesan sehingga tahun 1994.

Jadi tidak hairanlah kawasan ini mempunyai banyak laluan basikal pelbagai peringkat kecerunan dan jarak. Terdapat ribuan kilometer rintis kebakaran di sini merentasi garisan rabung di tubir dan menuruni lembah jauh ke bawah. Rasalah udara hutan hujan yang nyaman pada wajah anda semasa anda melepasi air terjun yang melata, panorama yang mempesonakan, galur yang dipenuhi pokok pakis dan bunga-bunga yang cantik berwarna-warni. Ini ialah pengalaman luar bangunan yang paling menggembirakan.

Anda boleh menguji kesihatan badan anda dengan mengikut laluan sejauh 120 kilometer dari Glenbrook yang berbukit-bukit hingga ke Wentworth Falls atau susuri laluan menuruni bukit dari Wentworth Falls ke Glenbrook sejauh 55 kilometer. Laluan ini akan membawa anda ke sebelah selatan rabung gunung yang dinamakan Blue Labyrinth oleh pejalan tanah belukar awal yang keliru dengan rabung-rabung lain yang sama tinggi dan sekata.

Jelajahi tempat peninjau di Jamison Valley atau ikut laluan peneroka George Caley dengan berbasikal selama lima jam di sepanjang Mount Banks Road. Nikmati pemandangan yang luas terbentang dari Mount Banks dengan kemuncaknya yang dilitupi basalt dan lihatlah merentasi Grose River Gorge. Tidak seperti Caley yang berputus asa untuk merentasi Blue Mountains apabila dia terlihat Grose Valley yang tebal, anda tidak akan pulang ke Sydney dengan rasa kecewa.

Ikut jalan berturap semasa lawatan melalui laluan mudah di Blackheath sejauh 10 kilometer melepasi Govets Leap, Evans Lookout, Pulpit Rock dan Perrys Lookdown. Di Murphy’s Trail di antara Wentworth Falls dan Woodford anda boleh berhenti untuk berenang di Ingar Picnic Ground. Anda memang perlu berehat kerana perjalanan selama tiga hingga empat jam ini juga merangkumi pendakian di kawasan curam.

Mengembara di kawasan semak dan hutan di Kings Tableland dan berbasikal seharian dari Wentworth Falls menuju ke McMahons Lookout yang jauh dan mencabar. Dari sini anda boleh melihat ke bawah dan nampak Lake Burragorang yang membekalkan kebanyakan air ke Sydney.

Berbasikal dari Hanging Rock menuju ke Blackheath dan melompat merentasi beting air dan berada bersebelahan panorama yang begitu indah sekali. Pergi dan balik sejauh 30 kilometer dari Mount Victoria di sepanjang laluan bersejarah. Atau luangkan dua hingga tiga jam di Katoomba’s Cliff Drive melepasi Three Sisters yang terkenal. Pemandangan di puncak cenuram sungguh menakjubkan sehingga anda akan menghadapi masalah untuk terus menumpukan perhatian kepada jalan berturap di hadapan anda.

Jika anda gemar berlumba, sertailah ratusan penunggang basikal dari Careflight Woodford menuju ke Glenbrook Cycle Classic sejauh 25 kilometer pada akhir bulan Jun atau awal Julai. Lakukan semua ini dengan semangat untuk menang atau hanya untuk kebajikan bersama-sama penunggang dengan solekan yang gila-gila.

Sama ada anda mahu menikmati keindahan di sini atau anda mahu rasakan adrenalin yang memacu pantas, anda tidak akan dapat mengatasi laluan basikal lasak di Blue Mountains.

 

Idea Australia selanjutnya