Yulefest Blue Mountains

Yulefest Blue Mountains

Di Blue Mountains anda tidak perlu menunggu hingga Disember untuk menyambut Hari Krismas. Setiap tahun dari Jun hingga Ogos, beribu-ribu orang berduyun-duyun ke sini untuk sambutan perayaan Yulefest – unggun api, makan malam daging panggang, nyanyian beramai-ramai, dan ada kalanya menikmati salji yang turun. Nikmati hidangan lazat hari Krismas di rumah tetamu lama yang tersergam indah di Katoomba, tempat Yulefest pertama kali diraikan. Menyanyi lagu karol dengan iringan piano di Leura, temui Santa di hadapan unggun api di Mount Victoria atau nikmati makan malam romantik dengan disinari cahaya lilin di Blackheath.

Semua ini bermula pada tahun 1980, apabila sekumpulan tetamu berbangsa Ireland melihat kepingan salji turun dan mengalami nostalgia Hari Krismas yang dingin dengan segala hiasannya di negara mereka sendiri. Makan malam mereka pada malam itu memulakan tradisi musim dingin yang berterusan yang dihayati oleh rumah-rumah tetamu, hotel, pusat peranginan dan restoran di seluruh wilayah ini.

Nikmati sajian lima hidangan, lengkap dengan ayam belanda sumbat dan ham, sos kranberi, pai daging cincang, wain yang dicampur gula atau madu dan puding plam panas. Kemudian, bersedia untuk berparti dan hayati hiburan musim ini yang menggelikan hati. Berpura-pura anda detektif dalam permainan misteri pembunuhan dan lihat lakonan pusparagam di Katoomba. Atau bergelak ketawa dengan lawak jenaka yang dipersembahkan oleh kumpulan Faulty Towers Leura. Di Mount Victoria anda boleh mencabar Santa untuk berkaraoke atau mengangkat gelas anda di bankuet dewan bangsawan era Victoria. Di kaki gunung, anda boleh bertukar-tukar kisah jenaka Krismas dan bergelak ketawa ho-ho-ho sambil anda menyusuri Nepean River dengan kapal stim kayuh yang bersejarah.

Pada bulan Jun, penduduk setempat Blue Mountains menyertai perayaan Pesta Keajaiban Musim Dingin. Pada hari Sabtu yang terdekat dengan Solstis Musim Dingin, jalan-jalan di Katoomba bertenaga dengan perarakan penjugel, para jimnas, pemuzik, penari, koir, troubadour, pemuzik jalanan, pencerita dan penyajak. Terdapat juga pasar dan pengalaman Blue Mountains yang unik, termasuk sajian Krismas di atas kereta api stim Zig Zag Railway.

Perkara yang paling hebat mengenai Blue Mountains adalah setelah anda puas menjamu selera, mudah untuk anda menghilangkan berat badan yang disebabkan olehnya. Laluan berjalan kaki yang pelbagai jaraknya membolehkan anda berjalan untuk menyaksikan pemandangan indah yang tersenarai sebagai Warisan Dunia yang diselaputi fros ini. Lihat cenuram batu pasir menjunam ke hutan yang bernada-biru, dan anak sungai mengalir perlahan yang berubah menjadi air terjun yang menderum ke dalam gaung yang dalam. Beri penghormatan kepada Three Sisters yang bermaksud Gadis Tiga Beradik – tiga puncak berbatu batan yang dinamakan bersempena legenda Orang Asli - dari Katoomba. Kemudian kunjungi Air Terjun Wentworth Falls, sebuah air terjun yang indah di pinggi Lembah Jamison. Terokai sungai dan kamar bawah tanah Gua Jenolan dan berdiri di atas Hanging Rock yang bermaksud Batu Tergantung untuk mendengar gema suara anda yang kembali dari lembah berhutan di bawah. Anda boleh meluangkan masa sehari atau tiga hari berjalan di atas Laluan Enam Kaki, yang asalnya adalah laluan untuk kuda yang mengunjur dari Katoomba hingga ke Jenolan Caves.

Tinggal di Katoomba, tempat terdapat pemandangan gunung yang ajaib dan kelompok-kelompok kafe yang selesa, kedai barangan antik dan kedai buku terpakai. Cari penginapan di Leura yang anggun dan dibarisi taman atau di persekitaran belukar yang indah di Megalong Valley. Tinggal beberapa malam di Air Terjun Wentworth yang bersejarah atau di Blackheath, bandar tertinggi di Gunung ini.

Dengan hiasan bergemerlapan dan ayam belanda, hari-hari yang nyaman dan pemandangan yang sangat indah, tidak hairanlah Krismas tiba awal di Blue Mountains.

 

Idea Australia selanjutnya