Bondi Beach, New South Wales

Bondi Beach, Bondi, NSW. © Destination NSW & Hamilton Lund

Bondi Beach, New South Wales

Bondi Beach merupakan antara pantai Australia yang paling terkenal dan dikenali di seluruh dunia. Ia mungkin telah muncul pada lebih banyak poskad serta rancangan televisyen dan filem berbanding mana-mana pantai lain di Australia.

Setiap tahun puluhan ribu pelawat, dari pengembara beg galas hinggalah ke jutawan, menuju ke pasir keemasan pantai bandar ini untuk berjalan, berjoging atau hanya berjemur di pantai. Disebabkan jaraknya hanya 10 kilometer dari pusat bandar, Bondi Beach merupakan antara pantai yang paling sibuk di Sydney. Pelbagai acara diadakan di sini sepanjang tahun dari pertunjukan seni masyarakat hinggalah lumba maraton larian bandar ke pantai.

Bondi Beach merupakan antara pantai yang paling banyak dilawati di Sydney.

Pada sepanjang tahun, pantai ini menjadi tuan rumah kepada banyak acara tempatan dan antarabangsa, dari larian suka-suka City to Surf hinggalah ke pesta layang-layang Festival of the Winds. Pada Hari Krismas, ketika kemuncak musim panas Australia, menjadi tradisi bagi keluarga dan pengembara untuk berjumpa dan meraikannya di pantai. Ia menjadi tempat istimewa untuk ditujui pada malam Tahun Baru dengan beribu orang yang berpesta menyaksikan pertunjukan bunga api tempatan. Anda mungkin perlu membeli tiket untuk menghadiri acara-acara ini disebabkan kepopularannya. Bondi Beach juga menyeronokkan dalam musim sejuk, dengan gelanggang luncur ais dibina sebagai sebahagian daripada Bondi Winter Magic Festival.

Acara-acara biasanya tertumpu ke Bondi Pavilion Community Centre yang tersenarai sebagai warisan yang juga mengandungi teater dan galeri pameran dan amfiteater luar. Lawati Marine Discovery Centre di sini dan ketahui tentang kehidupan laut Australia yang menakjubkan

Bondi juga tempat di mana luncur menyelamat Australia diadakan. Bondi Life Saving Club, yang ditubuhkan dalam tahun 1906, merupakan kelab luncur menyelamat nyawa yang tertua di Australia. Dalam musim panas ia dipantau oleh para penyelamat sukarela, dengan memastikan perenang sentiasa berada di antara bendera keselamatan pantai merah dan kuning Australia yang ikonik. Pada pagi Ahad dalam musim panas, anda akan dapat menyaksikan ‘Nippers’, bakal penyelamat nyawa Australia yang mula mempelajarinya dari kecil lagi. Air yang tenang dan terlindung juga merupakan tempat terbaik untuk belajar meluncur air dengan pelbagai sekolah luncur air yang sedia untuk mengajar anda.

Jalan utama di sepanjang gigi air ialah Campbell Parade, di mana anda boleh mendapatkan rangkaian kedai bergaya bagi luncur air dan fesyen, kafe luar dan bar. Ia merupakan tempat perjumpaan yang popular bagi komuniti kafe di Sydney. Jalan-jalan utama dari pantai adalah Hall Street, Roscoe Street, Curlewis Street dan Beach Road. Hall Street mempunyai pelbagai kedai label pereka dan fesyen disukai ramai manakala Curlewis Street mempunyai banyak galeri seni Setiap hari Ahad, kawasan padang di sekolah umum tempatan menjadi tuan rumah untuk Pasar Bondi Beach, pasar tani di mana anda akan dapat membeli pelbagai barangan murah termasuklah barang kemas buatan tempatan, hasil kraf tangan dan pakaian vintaj.

Makan malam di restoran bertaraf tinggi, Bondi Icebergs, yang dinamakan sempena sekumpulan penduduk setempat berdedikasi yang berenang di pantai ini sepanjang tahun, dan di mana selebriti tempatan yang terkenal sering dapat dilihat.

Untuk menerokai lebih banyak pantai menarik berhampiran, ikuti laluan ke Tamarama, Bronte dan Coogee melalui laluan jalan kaki pinggir laut berpemandangan indah. Dari cenuram di Laluan Bondi ke Coogee sepanjang enam kilometer, anda akan dapat melihat keseluruhan keluasan Bondi Beach. Pada setiap musim bunga, bahagian tempat berjalan kaki dari Bondi Beach ke Tamarama Beach diubah oleh pameran Sculpture by the Sea dengan hasil seni oleh para artis tempatan.

Jika anda bakal melawati Sydney, janganlah ketinggalan untuk melawati Bondi Beach ini, ia terletak kira-kira 30 minit perjalanan dengan kenderaan awam dari pusat bandar.

Lebih Lanjut Mengenai Idea Australia