Coogee Beach, New South Wales

Coogee Beach, Coogee, NSW. © Destination NSW

Coogee Beach, New South Wales

Dengan pantai yang bergemerlapan, tempat berjalan kaki yang hebat dan kawasan simpanan marin yang dilindungi, dengan kemudahan luncur air, bersnorkel dan selam skuba, Coogee menyimpulkan gaya hidup pantai klasik Australia. Coogee Beach mempunyai jaluran pantai keemasan yang luas terbentang, tempat mandi lautan bersejarah dan banyak taman hijau untuk tempat barbeku dan perkelahan, semuanya hanya 20 minit perjalanan dari pusat bandar Sydney yang sibuk. Pantai ini amat sesuai bagi seisi keluarga, dengan kawasan berenang yang selamat dan para penyelamat yang meronda sepanjang tahun. Coogee juga merupakan antara kawasan pinggir bandar tertua di Sydney yang mempunyai banyak bangunan bersejarah. Puncak cenuram yang banyak di sekelilingnya menawarkan aktiviti meredah belukar yang luar biasa indahnya dan antara pemandangan paling indah di Sydney.

Coogee Beach merupakan antara pantai pinggir bandar yang terbesar, terletak di pinggir bandar timur bandar ini.
Ia dianggap sebagai pantai keluarga yang ideal, dengan luncur air yang tenang dan berenang dengan dipantau sepanjang tahun.

Di kawasan pantai melengkung ke selatan, sebuah taman menghala ke Grant Reserve, di mana terdapat kawasan perkelahan dengan pemandangan lautan yang amat menakjubkan dan padang permainan kanak-kanak. Kawasan terbuka yang saling berhubungan ini adalah sebahagian Eastern Beaches Coastal Walk.

Di penghujung sebelah utara tangga pantai membawa dari Dolphin Point ke bawah hingga ke Giles Baths yang lama, terdapat sebuah kolam batuan terbuka yang dilanda ombak. Melingkungi Gordon Bay, Bronte Coogee Aquatic Reserve bermula dari hujung selatan Pantai Bronte Beach ke hujung utara Coogee Beach. Di sini anda boleh bersnorkel atau menyelam skuba bersama penduduk kawasan ini, ikan kerapu gergasi biru yang selalu ingin tahu, iaitu ikan rasmi bagi New South Wales.

Di hujung selatan adalah Coogee Surf Life Saving Club. Ditubuhkan dalam tahun 1907, ia merupakan antara kelab luncur menyelamat yang tertua di Australia. Saksikan para penyelamat sukarela Australia beraksi dalam karnival luncur air tahunan. Pada hujung minggu dalam musim panas, anda boleh menyaksikan Coogee Minnows, bakal penyelamat Australia yang sedang dilatih.

Juga di hujung selatan, laluan berjalan kaki tepi pantai ini menghala ke McIvers Baths, kolam khusus untuk wanita yang popular dan kontroversi semenjak tahun 1876. Lebih jauh ke selatan, Wylies Baths telah ditubuhkan pada awal tahun 1900-an oleh juara renang jarak jauh Australia, Henry Alexander Wylie. Selepas renangan yang menyegarkan, nikmati urutan di pinggir lautan atau hadiri kelas yoga pada awal pagi.

Perjalanan berjalan kaki tepi pantai sejauh enam kilometer dari Coogee ke Pantai Bondi mengambil masa kira-kira dua jam di sepanjang laluan yang ditandai dengan jelas. Di sepanjang jalan anda akan diberi ganjaran antara pemandangan lautan yang paling menakjubkan dan desa-desa kecil yang tidak sibuk.

Tempat bersiar-siar di sepanjang Coogee Beach juga mempunyai banyak bangunan bersejarah yang dipulihkan, restoran dan kafe terbaik, dan butik fesyen. Selepas menikmati lautan, anda akan dapat melihat filem terbaru dalam suasana kemegahan Ritz Cinema yang tersenarai sebagai warisan, atau pergi membeli-belah di sepanjang Coogee Bay Road yang kosmopolitan. Pinggir bandar Kensington dan Randwick yang berhampiran terletak tidak jauh dari Centennial Parklands, taman bagi aktiviti menunggang kuda, memerhati burung atau hanya bersantai.

Kira-kira 800 meter di luar pantai dari Coogee Beach adalah Wedding Cake Island, yang ditampilkan oleh kumpulan rock Australia Midnight Oil pada tahun 1980-an. Island Challenge, acara tahunan yang melibatkan maraton berenang ke luar dan sekeliling pulau ini merupakan ciri utama dalam kalendar renang lautanSydney.

Pastikan anda melawati Coogee Beach semasa anda berada di Sydney. Ia mudah dicapai melalui bas dari pusat bandar.

Lebih Banyak Idea Australia