Glebe: buku, bohemia dan idea bernas

Glebe: buku, bohemia dan idea bernas

Dapatkan idea dan ideal di perkampungan di tengah bandar raya ilmu di Sydney.
Glebe ialah tempat ilmu dan selalunya merupakan sub-bandar yang dipinggirkan antara sub-bandar tengah bandar raya Sydney yang glamor. Tapi siapa yang perlukan penonjolan diri atau fesyen pereka apabila anda mempunyai ideal dan kecekalan intelek?

Terletak di antara dua universiti, semenanjung yang indah ini merupakan tempat tinggal bagi komuniti yang bersemangat yang terdiri daripada pelajar, ahli akademik, aktivis dan orang zaman baru (new-ager). Anda akan terdengar mereka berbincang tentang semua perkara dari chakra hinggalah Chavez di restoran murah, kafe, kedai buku, kedai dobi, kedai makanan kesihatan dan pub yang ceria suasananya.

Jangan ketinggalan berkunjung ke pasar Sabtu yang terkenal dan di sini pembeli yang suka tawar menawar untuk mendapatkan harga termurah dan pengamal bohemia berpusu-pusu datang membeli pakaian vintaj yang funki, perkhidmatan urut dan membeli burger tempe. Melihat-lihat barangan terpakai, piring hitam, perabot, barang seni, hasil kraf, barang kemas dan barang perhiasan sambil mendengar bunyi bongo yang menenangkan dan bunyi loceng angin.

Jalan di Glebe yang dipenuhi dengan pokok-pokok berdaun rimbun serta deretan teres Victoria yang hebat, rumah wilayah dan kotej pekerja yang sederhana amat sesuai untuk berjalan sambil bersiar-siar. Berjalan-jalan di sepanjang Glebe Point Road (dikenali sebagai GPR oleh penduduk tempatan) dan berhenti untuk meninjau butik dan kedai esoterik atau beli buku terpakai untuk kelihatan seperti seorang intelek. Minum kopi, makan kek, bermain kad dan bercakap tentang cinta, kehidupan dan falsafah di kafe yang selesa. Pulihkan kembali zen anda dengan urutan, akupunktur atau terapi alternatif lain. Kemudian bebaskan perangai keanak-anakan anda di Bicentennial Park dan dari sini anda dapat melihat Blackwattle Bay. Kawasan hijau yang luas ini lengkap dengan padang permainan, tanjakan papan selaju, taman permainan dan kemudahan barbeku.

Menyentuh soal makanan, Glebe sememangnya sebuah perkampungan global. Juadah Thai, India, Jepun, Korea dan Nepal hanyalah antara beberapa makanan yang dihidangkan di kedai etnik yang murah. Anda juga akan dapati terdapat banyak restoran berkelas tinggi yang menerima ulasan yang tinggi melangit. Apabila hari mula gelap, pergi ke bar koktel yang funki dan lihat perlumbaan anjing greyhound di trek tempatan atau dengar pancaragam rock bebas di salah sebuah bar wain intim atau pub yang bertenaga serta tidak menonjol.

Di Glebe, anda boleh lupakan soal glamor dan fokus kepada keseronokan dan idea hebat.

 

 

Idea Australia selanjutnya