Manly Beach, New South Wales

Manly Beach, Manly, NSW. © Destination NSW & Hamilton Lund

Manly Beach, New South Wales

 

Manly Beach adalah sebuah lagi pantai pinggir bandar Australia yang paling popular yang terletak di sepanjang garis pinggir laut utara Sydney. Manly Beach telah diberi nama dalam tahun 1788 oleh Kapten Arthur Phillip, gabenor pertama New South Wales, kerana beliau begitu terkesan oleh “keyakinan dan tingkah laku kelelakian” para penduduk Orang Asli asal kawasan sini. Naiki feri Manly yang hebat dari Circular Quay dan dalam setengah jam anda akan tiba di dermaga Manly Wharf. ‘Hanya tujuh batu dari Sydney dan sejuta batu dari kerunsingan’ adalah frasa yang selalu disebut oleh penduduk Manly. Apabila anda melawati pekan pinggir pantai ini, anda akan dengan pantas memahami sebabnya.

 

Terletak di antara pantai Sydney Harbour yang tenang pada satu sisi dan pantai luncur air Lautan Pasifik yang popular di satu sisi lagi, ciri santai Manly Beach kelihatan seperti seribu batu dari Sydney yang sibuk, namun ia hanya seperjalanan feri jauhnya.

Manly merupakan pantai Sydney yang hebat bagi seisi keluarga. Dari gigi pantai pelabuhan, Manly Corso yang dibarisi pohon palma menghalakan anda ke tempat persiaran Steyne, di mana sebilangan kedai penjual pakaian luncur air menjual segalanya dari papan luncur hinggalah ke bikini.

Manly Beach yang berwarna keemasan dan 1.5 kilometer panjangnya, mempunyai kolam lautan terlindung di satu hujungnya. Queenscliff, di hujung sebelah utara pantai ini sesuai untuk belajar meluncur air malah hebat untuk peluncur yang berpengalaman juga. Ramai juara peluncur Australia yang telah belajar meluncur di Manly Beach. Pada hujung selatannya, laluannya melengkung dari Manly Surf Lifesaving Club ke Shelley Beach yang merupakan jejak popular bagi orang yang berjoging, penunggang basikal dan penduduk setempat.

Di pintu masuk Manly terdapat banyak jalan meredah belukar yang indah, laluan menunggang basikal serta tempat bersejarah.

Manly Scenic Walkway berkelok-kelok di sekeliling gigi air pelabuhan dari Spit Bridge melalui Dobroyd Head ke Manly melalui antara pemandangan dan kawasan belukar Sydney Harbour yang paling mengagumkan. Masa yang diambil untuk menghabiskannya ialah antara tiga hingga empat jam.

North Head Sanctuary merupakan salah satu khazanah tersembunyi di Sydney. Berjalan kaki dengan santai di sepanjang laluan melalui kawasan belukar yang masih belum terusik dan perhatikan burung dan haiwan asal tempat ini. Ikuti lawatan berpandu ke North Fort, pangkalan ketenteraan yang penting dalam Perang Dunia Kedua.

Di dalam lingkungan Sydney Harbour National Park di North Head, Q Station adalah tapak stesen kuarantin pertama dan yang digunakan paling lama dan membolehkan kita melihat petempatan awal Australia.

Lawati Oceanworld Manly dan ketahui tentang hidupan marin setempat. Di Penguin Cove anda akan dapat melihat koloni Little Penguins Manly. Galeri Seni dan Muzium Manly mempamerkan sejarah pantai utara Manly dan Sydney. Koleksi ini termasuk contoh pakaian renang, cermin mata hitam, topi, tuala, beg pantai dan papan luncur dari tahun 1900-an hingga ke masa kini.

Aktiviti popular yang lain termasuk bola tampar pantai, berkayak dan menyelam skuba. Manly juga menampilkan pelbagai restoran dan kafe bertaraf tinggi di sepanjang pinggir pantai. Ia juga mempunyai tempat muzik secara langsung dan pub. Pada hujung minggu, pasar lambak menjual hasil seni dan kraf tangan, barang kemas, gambar foto dan arca buatan tangan yang diilhamkan oleh budaya dan gaya hidup setempat.

Manly adalah permulaan bentangan pantai utara Sydney yang mengunjur hingga ke Pantai Palm.

Lebih Lanjut Mengenai Idea Australia