Panggilan pantai Sydney

Panggilan pantai Sydney

Terokai beberapa di antara 70 buah pantai indah di Sydney dari teluk yang terpencil hinggalah ke deretan kawasan berpasir yang terkenal di dunia.
Pantai Sydney akan memanggil-manggil anda sebelum anda sempat mendarat di Botany lagi. Anda mungkin akan ternampak pantai-pantai ini ketika dalam kapal terbang – rangkaian keemasan yang terbentang jauh dan terpisah merentasi kedua-dua belah pelabuhan dan dikelilingi belukar yang menghijau dan lautan. Atau video yang mengalu-alukan kedatangan anda yang dipasang di atas kapal terbang mungkin bermula dengan imej terkenal Bondi Beach yang akan berlegar-legar dalam kepala anda. Jika anda gemar meluncur air, sukakan sinaran matahari atau anda sememangnya sukakan laut, anda tidak akan sabar untuk bermain ombak, menghirup udara masin atau bersantai di atas pasir.

Patutlah suasana indah ini memanggil-manggil anda. Sydney mempunyai lebih daripada 70 buah pantai yang berkilauan dari teluk terpencil yang penuh dengan belukar dan taman negara hinggalah deretan kawasan berpasir yang terkenal di dunia. Apatah lagi, semua tempat ini boleh anda lawati dengan mudah dari pusat tepi pelabuhan Sydney.

Jika anda hendak bermula dengan tempat yang paling ikonik, naik bas menuju ke Bondi Beach dan di sinilah tempat tumpuan peluncur, hipi, keluarga dan penduduk tempatan serta pelancong antarabangsa. Berenang atau berlari di sepanjang butir-butir pasir yang keemasan dan harungi pecahan ombak (break) dengan pakar dari sekolah belajar luncur. Lihat peluncur yang berbakat sambil anda duduk di atas sesiaran atau hirup koktel sambil menyaksikan matahari terbenam di atas kolam batu Icebergs.

Anda boleh juga melihat ombak yang menghempas ke pantai dan semburan garam halus semasa mengikut laluan yang berliku-liku dari Bondi menuju ke Bronte. Cenuram batu pasir berpahat ini menjadi latar belakang Sculptures oleh pameran Sea pada akhir bulan Oktober. Berjalan menyusuri cenuram ini menuju ke Tamarama (yang digelar Glamarama oleh penduduk tempatan kerana tubuh-tubuh cantik yang tertarik untuk datang ke sini) dan Bronte yang mesra keluarga. Jauh di sepanjang pantai anda akan temui syurga untuk bersnorkel di Clovelly serta Gordon’s Bay dengan gaya Mediterranean, Coogee yang tenang suasananya dan dipenuhi oleh ramai pengembara beg galas serta di Maroubra dengan ombaknya yang besar.

Lengkapkan lawatan anda di pantai timur Sydney dengan melawat ke Watsons Bay iaitu perkampungan nelayan tertua di Australia yang terletak di pintu masuk selatan ke Pelabuhan Sydney. Perjalanan anda akan berbaloi apabila melihat pemandangan melalui laluan ini yang dramatik dan menyusuri cenuram. Makan ikan dan kentang goreng di restoran makanan laut paling terkemuka di Sydney dan melihat Tasman Sea semasa berjalan melepasi rumah api dan The Gap serta berenang di suak kecil dan terpencil.

Apabila anda telah bersedia untuk pergi ke utara pelabuhan ini, naik feri atau Jetcat menuju ke Manly dan lihatlah sebabnya tempat ini menjadi kegemaran orang Sydney. Bersiar-siar di tanah belukar asli di Manly menuju ke laluan Spit Bridge dan berbasikal ke Fairy Bower. Berenang di pantai tempat luncur air atau di tengah pelabuhan dalaman yang tenang. Bersnorkel di Shelly Beach yang kecil dan lihat burung lorikeet yang berwarna-warni memenuhi Norfolk Pines pada waktu senja. Manly juga mempunyai kedai serta tempat makan yang hebat yang akan melayan selera anda dengan hidangan dari seluruh pelosok dunia.

Dari Manly, bas tempatan membawa anda ke pantai utara Curl Curl, Dee Why, Narrabeen, Mona Vale, Newport dan Avalon. Semua tempat ini terkenal dengan gaya hidup bersahaja serta luncur air. Akhirnya anda akan tiba di Palm Beach iaitu kawasan pasir yang terbentang jauh serta indah pemandangannya dan dipinggiri padang golf, tanah belukar yang subur dan gumuk.

Banyak pantai meminggiri air pelabuhan tetapi pantai yang paling indah ialah di Balmoral. Dipenuhi dengan kafe dan beberapa restoran hebat, Balmoral merupakan sub-bandar pantai utara yang bertrend dan begitu indah pemandangannya dan banyak burung kakak tua berjambul sulfur terdapat di sini.

Jika anda terasa penat bermain ombak, kolam air masin Sydney dan ruang tertutup berjaring adalah alternatif untuk mencari tempat yang sunyi. Tempat ini sesuai untuk keseronokan keluarga dengan anak kecil, berenang pusingan atau hanya terlentang dan terapung sambil melihat langit. Anda akan temui sesetengah kolam ini dipukul ombak laut, sesetengahnya pula terletak berdekatan pelabuhan dan sesetengah yang lain pula lengkap dengan pemandangan bandaraya berjuta dolar.

Anda akan tahu sebabnya pantai Sydney begitu menggoda dan anda tidak dapat menolak panggilannya.

 

 

Idea Australia selanjutnya