Sydney Harbour National Park

Sydney Harbour National Park

Melepasi bangunan mercu tandanya, Sydney Harbour National Park melindungi pantai terpencil, pulau yang indah pemandangannya dan gugusan tanah belukar asli yang sukar ditemui. Berenang, berkelah dan meredah belukar di sepanjang pantai depan yang mempesona atau lawati pulau-pulau pelabuhan dengan menaiki feri. Pergi belayar atau berkayak, hampiri hidupan liar dan terokai seni batu purba dan bangunan yang dibina oleh para banduan. Teluk, taman dan tanjung tinggi pelabuhan juga merupakan astaka bagi sesetengah acara terbesar di Australia, dari pertunjukan bunga api Malam Tahun Baru hinggalah ke perlumbaan perahu layar Sydney ke Hobart.

Anda boleh kembara berjalan kaki ke seluruh pelabuhan Sydney yang terkenal, dalam laluan jarak dekat, laluan sehari atau beberapa bahagian dalam Great Coastal Walk yang berjarak 100km. Di pinggir utara pelabuhan, temui presint pantai popular seperti Pantai Balmoral, Manly dan Chowder Bay. Kunjungi Taronga Zoo, berenang dari Pantai Chinaman yang indah dan lakukan kembara berjalan kaki antara Manly dengan Spit Bridge. Terokai kota dan berek lama serta nikmati pemandangan hebat merentas perairan dari Bradleys Head dan Middle Head. Di pinggir selatan pelabuhan ini terletak Nielsen Park dan Parsley Bay, di mana ramai orang mengunjunginya ketika musim panas. Nikmati sajian ‘fish and chips’ di Watsons Bay di South Head, kemudian ikuti laluan warisan yang melewati kancing dan rumah api.

Monumen sejarah Sydney bertaburan merentas pelabuhan ini. Pelajari mengenai kehidupan penduduk asal bandar raya ini, orang Cadigal, dalam kapal persiaran dengan pemandu pelancong Orang Asli. Dengari kisah Dreaming dan pelajari nama-nama Orang Asli dan maksud pelbagai mercu tanda di Sydney. Lihat ukiran batu dari dekat dan berhenti untuk mengalami alu-aluan selamat datang Orang Asli serta makan tengah hari bush tucker di Clark Island.

Lihat warisan penduduk banduan di Cadmans Cottage di The Rocks yang dibina oleh para banduan, serta Quarantine Station lama di Manly, di mana kemasukan pendatang diproses. Sertai rombongan berjalan kaki atau berkhemah semalaman di Pulau Cockatoo, yang pernah satu masa dahulu merupakan penjara dan limbungan. Hari ini, bengkel, berek penjara, terowong bawah tanah dan silo bijirin yang besar menjadi latar bagi acara dan pameran teknologi moden terkini. Naiki feri ke Fort Denison, di mana banduan tegar diletakkan dalam kurungan seorang diri semasa tempoh awal penjajahan. Pulau Shark adalah tempat yang indah pemandangannya untuk dikunjungi.

Sydney Harbour National Park melindungi tumbuhan asal di mana unggas dan mergastua hidup dengan sejahtera dan berkembang biak. Sertai rombongan malam untuk bertemu haiwan nokturnal, tinjau unggas laut di atas belebas cenuram dan dengar hingar-bingar burung di sekitar Middle Head dan North Head.

Terdapat perkhidmatan feri yang kerap ke banyak destinasi di sekitar pelabuhan ini. Sertai kapal persiaran untuk mendengar ulasan pemandangan, atau dapatkan teksi-air untuk menurunkan anda di pantai milik persendirian. Secara alternatif, layari sendiri laluan antara teluk-teluk yang dipinggiri belukar dengan tanjung tinggi batu pasir dengan menaiki perahu layar atau kayak.

Sydney Harbour National Park juga merupakan hab acara Sydney yang paling popular. Lihat kapal yang tinggi, feri kecil, perahu layar dan bot lumba merentasi pelabuhan pada Hari Australia atau saksikan permulaan Lumba Perahu Layar Sydney ke Hobart Yacht Race pada Hari Boxing. Semua orang di Sydney berasak-asak untuk mendapat kedudukan di kawasan dermaga pada Malam Tahun Baru, apabila salah satu pertunjukan bunga api yang paling mengagumkan di dunia meletus di Sydney Harbour Bridge.

Idea Australia selanjutnya