Teater Australia

Australian Theatre

Warga Australia amat gemar mengunjungi teater dan amat meminati muzikal, yang mengalami musim yang panjang dan tiket yang sentiasa habis dijual di pelbagai bandar raya kami. Saksikan pelakon ternama Australia seperti Cate Blanchet dan Geoffrey Rush beraksi di atas pentas di Sydney Theatre Company atau nikmati muzikal blockbuster di daerah teater Melbourne yang mewah. Anda akan menemui teater, tarian dan orkestra di bawah satu bumbung berbilang seni di Brisbane, Adelaide dan Perth. Saksikan seni persembahan di gudang warisan Hobart, sertai ahli politik yang cintakan kebudayaan di Civic Theatre Canberra atau terokai gaya dramatik Darwin yang jelas berbeza.

Bermacam ragam teater terdapat di Sydney, dari khas untuk golongan atasan hinggalah ke komersil serta eksperimental. Saksikan karya profil tinggi di Sydney Theatre Company, yang terletak di The Rocks di sebelah pelabuhan yang indah pemandangannya. Di samping sering berlakon di atas pentas, pelakon terkenal Cate Blanchett turut mengawasi program kreatif di sini bersama suami beliau, pengarah Andrew Upton. Sydney turut mempunyai senario teater bebas yang berkembang maju, bermula dari Stables Theatre di Kings Cross, Belvoir Street Theatre di Surry Hills dan Newtown Theatre di pedalaman barat. Saksikan muzikal aliran perdana di Theatre Royal di King St, Capitol di Haymarket atau Lyric Theatre di Pyrmont. Anda juga dapat melihat apa yang sedang dimainkan di State Theatre yang tersergam.

Jika Melbourne membuatkan anda berasa seperti ingin mendendangkan lagu, itu mungkin kerana banyak muzikal termasyhur dipentaskan di sini. Saksikan karya legenda seperti Phantom of the Opera, Les Misérables, Cats atau Guys and Dolls di Princess Theatre yang tersergam indah di Spring Street yang ditubuhkan pada tahun 1886. Ia hanya satu daripada bangunan warisan mercu tanda di daerah teater pusat Melbourne. Anda akan dapati lebih banyak muzikal paling popular yang ditawarkan di Her Majesty's Theatre yang terletak hanya di sebalik selekoh. Untuk drama pentas yang berkualiti, tuju ke Arts Centre, Malthouse Theatre atau MTC Theatre, yang terletak di presint kebudayaan Southbank yang sibuk.

Banyak bandar di Australia mempunyai pusat berbilang seni yang menempatkan beberapa teater di di bawah satu bumbung. Anda akan mendapati dua daripada teater paling popular di Brisbane di bawah satu bumbung di Queensland Performing Arts Centre di South Bank. Untuk teater bebas, cuba West End Brisbane atau Brisbane Powerhouse.

Pilih sahaja persembahan di Adelaide Festival Centre, yang juga merupakan ibu pejabat bagi syarikat opera, teater, tarian dan orkestra Australia Selatan. Di Perth, Institute of Contemporary Arts mementaskan karya berlandaskan teknologi canggih. Anda juga boleh menyaksikan drama di Playhouse Theatre dan Blue Room Theatre di Perth, Subiaco Arts Centre dan teater yang terdapat di University of Western Australia. Atau saksikan muzikal di His Majesty Theatre, yang terkenal sebagai satu-satunya teater Zaman Edward yang masih berfungsi di Australia.

Di Hobart, Salamanca Arts Centre merupakan pusat warisan bagi seni persembahan. Hayati drama di sini atau intai makhluk halus yang dikatakan menghuni Theatre Royal, teater tertua di Australia. Di Canberra, Theatre Centre di Civic mempamerkan pelbagai seni persembahan, atau anda boleh terokai Street Theatre untuk menyaksikan karya tempatan yang baik.

Darwin mempunyai tiga teater utama di mana anda boleh melihat karya Terunggul – Darwin Theatre Company, Darwin Entertainment Centre dan Teater bersejarah Browns Mart Theatre di Harry Chan Ave. Pada bulan Ogos anda boleh berada di luar untuk meraikan Festival Darwin, sebuah gabungan hebat teater, komedi dan kabaret.

Raikan minat mendalam anda terhadap teater di Australia, di mana drama dan muzikal dipentaskan setiap hari di semua bandar raya utama kami.

Cari acara









Idea Australia selanjutnya