Piala Bledisloe

Piala Bledisloe

Australia dan New Zealand mempunyai permusuhan mesra yang dijangka daripada adik beradik yang berlainan tabiat. Kami saling mengejek loghat masing-masing, pencapaian dan kemahiran sukan dan berdebat mengenai siapa yang memiliki eksport bintang terhebat, seperti Crowded House dan Russell Crowe. Cuma di padang permainan, kami benar-benar kompetitif, lebih-lebih lagi dalam merebut Piala Bledisloe, kini sebahagian daripada siri Tri Nations. Kebanggaan kedua-dua negara dipertaruhkan apabila Wallabies Australia bersemuka dengan All Blacks New Zealand. Saksikan salah satu perlawanan yang menempa sejarah, apabila sebahagian daripada permain terbaik di dunia memutuskan negara mana yang lebih unggul di Laut Tasman.

Tiada siapa pun yang boleh bersikap berkecuali dalam perlawanan Bledisloe yang diadakan di Australia sekurang-kurangnya setahun sekali sebagai sebahagian daripada perlawanan Tri Nation. Meskipun sebelum permainan bermula, perhubungan antara penyokong Australia yang berpakaian hijau dan emas dan musuh mereka yang berpakaian hitam dan perak sudah pun amat bersemangat. Saksikan Wallabies menyanyikan lagu kebangsaan Australia manakala All-Blacks membalas dengan haka mereka yang menggerunkan. Para penonton amat meminati tarian perang tradisional Maori yang merangkumi hentakan kaki, tamparan paha dan mata terbeliak dengan laungan ‘Ka mate, ka mate’ (Aku hidup, aku hidup) ‘Ka ora Ka ora’ (aku mati, aku mati).

Semuanya sebahagian daripada pertempuran sukan sengit yang bermula pada tahun 1931, apabila Lord Bledisloe yang merupakan Gabenor Jeneral New Zealand menyumbangkan Piala Bledisloe. Sejak itu, piala perak megah ini yang terbesar dalam dunia ragbi telah merentas laut Tasman, dan telah dipertarungkan sebanyak 44 kali dalam 100 perlawanan ujian. New Zealand telah memenangi piala ini sebanyak 32 kali, manakala Australia memenanginya sebanyak 12 kali. Kemenangan lebih tersebar dalam permainan yang dimainkan di tanah Australia sejak Tri Nations diperkenalkan dalam tahun 1996.

Sebelum ini perlawanan Bledisloe tidak menentu, namun kini, Australia dan New Zealand bertemu sekurang-kurangnya tiga kali setahun di tanah sendiri dan di tanah lawan. Anda boleh menonton salah satu, atau mungkin dua perlawanan yang menakjubkan ini di stadium-stadium di Australia, dari Sydney ke Melbourne, hinggalah ke Brisbane. Bledisloe telah keluar dari lingkungan Laut Tasman buat pertama kalinya pada tahun 2008 untuk perlawanan keempat yang mendapat sambutan hangat di Hong Kong. Tokyo menjadi tuan rumah bagi perlawanan keempat pada tahun 2009, dan Bledisloe akan kembali ke Hong Kong untuk perlawanan akhir pada tahun 2010.

Australia telah menjadi pentas bagi pelbagai detik hebat Bledisloe. Pada tahun 2010, All Blacks telah memenangi perlawanan yang amat mengujakan di Melbourne, tempat yang telah menyaksikan kemenangan hebat Wallabies pada tahun 2007. Pada September 2001, Toutai Kefu telah memberi mata kemenangan bagi Australia dalam perlawanan bersejarah di Sydney. Pada tahun 2000, penonton seramai 100,000 yang teramai pernah hadir telah menyaksikan apa yang disifatkan oleh peminat ragbi sebagai permainan terhebat pernah dimainkan. Menjelang separuh masa permainan, Australia telah seri dengan All Blacks, menghancurkan mata 24-kosong yang dipacu oleh pasukan Kiwi dalam tempoh 11 minit sahaja. Kedua-dua pasukan masih seri sehingga Jonah Lomu mendapatkan mata yang memuktamadkan kemenangan All Blacks dengan skor 39-35. Dalam perlawanan dramatik yang berikutnya, Australia pula yang memegang piala ini, apabila John Eales menendang gol dari garisan tepi pada minit-minit terakhir.

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada tradisi ragbi yang mengujakan ini. Saksikan jiran, rakan sekutu dan sahabat saling bersemuka dalam perlawanan sukan yang sengit di Australia untuk merebut Piala Bledisloe yang seterusnya.

 

 

Cari acara









Idea Australia selanjutnya