Pesta Bandar Raya Australia

Pesta Bandar Raya Australia

Alami suasana di bandar raya Australia semasa pesta seni utama yang memperagakan teater tempatan dan antarabangsa, tarian, seni visual, muzik, makanan dan wain serta banyak lagi. Sertai Sydneysiders di jalan-jalan raya semasa Pesta Sydney dan selami kebudayaan  dengan mendalam di Pesta Seni Antarabangsa Melbourne. Tonton pertunjukan bunga api yang diadakan di atas Sungai Brisbane semasa Pesta Brisbane dan sertai juga Pesta Adelaide, antara acara seni terbesar di dunia. Nikmati musim panas di Perth semasa Pesta Seni Antarabangsa Perth dan gabungkan makanan dan budaya dalam Pesta Cita Rasa Tasmania Hobart atau Hobart’s Taste of Tasmania Festival. Alami budaya Top End yang memukau dalam Pesta Darwin dan beramah mesra dengan penduduk Australia yang terdiri daripada pelbagai warga negara dalam Pesta Berbilang Budaya Kebangsaan di Canberra.

Sydney Festival, NSW
Sydney Festival, NSW

Sydney, New South Wales

Alami gaya dan kehebatan bandar ini yang unik dengan teater, muzik, tarian dan seni visual di Pesta Sydney pada bulan Januari. Atur cara tiga minggu yang pelbagai ini merupakan permulaan Pesta Malam Pertama, parti jalanan yang bersemangat yang berlangsung merentasi berbilang presint dan pentas. Lihat beratus-ratus seniman Australia dan antarabangsa mengadakan persembahan di tempat-tempat ikonik di seluruh bandar raya ini termasuk Sydney Theatre, CarriageWorks, City Recital Hall dan Sydney Opera House. Konsert jaz dan simfoni luar bangunan di Domain dan persembahan setiap malam di Hyde Park Barracks Festival Bar adalah antara ratusan acara yang ditawarkan. Sertai Pesta Penulis Sydney menjelang Mei dan nikmati makanan dan seni luar bangunan di Crave pada bulan Oktober.

Melbourne, VIC
Melbourne, VIC

Melbourne, Victoria

Selami kebudayaan yang mengagumkan di Pesta Seni Antarabangsa Melbourne yang berlangsung selama 17 hari pada bulan Oktober. Saksikan persembahan terbuka dan dengarlah loceng bandar raya berbunyi serentak semasa parti pembukaan hujung minggu tiga bahagian ini. Tontoni persembahan perdana Australia dalam teater, tarian, muzik, opera, seni visual dan multimedia. Pesta ini diadakan di pelbagai lokasi dari Taman Botani Melbourne hinggalah ke teater Fitzroy yang bersuasana romantik hinggalah ke Pusat Seni Southbank serta lokasi agung seperti Federation Square. Pada bulan Mac, bandar raya ini bertukar wajah untuk memanjakan deria rasa pengunjungnya pula dalam Pesta Makanan dan Wain Melbourne. Jamulah selera di lorong-lorong dan di atas bumbung, jadilahsebahagian daripada peserta makan tengah hari yang terpanjang di dunia dan hadiri kelas memasak bertaraf pakar; ini hanya sebahagian daripada 220 acara selama 16 hari.

Brisbane, QLD
Brisbane, QLD

Brisbane, Queensland

Saksikan citra warna bunga api yang dilancarkan daripada Story Bridge sempena pembukaan Pesta Brisbane yang berlangsung dari pertengahan September hingga ke awal Oktober. Ini hanya salah satu acara yang ditonjolkan dalam program yang amat padat yang berlangsung merentas ruang angkasa, teater, taman dan tebing sungai Brisbane. Bergembiralah semasa parti malam pembukaan di khemah Spiegel Queensland. Saksikan pertunjukan sarkas yang seolah-olah di luar alam nyata dengan pameran multimedia pada skrin plasma dan penerbitan Queensland Ballet yang terkini. Saksikan para penyanyi antarabangsa seperti Chris Isaak atau tonton komedi, kabaret, silap mata dan berbagai-bagai pertunjukan sampingan di kawasan pinggir pesta ini. Pesta ini diadakan di pelbagai tempat termasuk City Botanic Gardens, the Powerhouse di New Farm dan Pusat Kebudayaan Queensland di South Bank.

Pesta Adelaide, SA
Pesta Adelaide, SA

Adelaide, South Australia

Suburkan minat anda terhadap kesenian semasa Pesta Adelaide yang diadakan dua tahun sekali yang akan berlangsung dari 26 Februari hingga 14 Mac pada tahun 2010. Sejak ia dilancarkan pada tahun 1960, pesta ini kini mantap sebagai antara acara seni yang terhebat di dunia dengan tradisi inovasi yang amat kaya. Menari mengikut rentak muzik yang dimainkan oleh pelbagai DJ semasa parti malam pembukaan besar-besaran atau di kelab-kelab malam pesta yang dibuka hingga lewat malam. Saksikan teater dan pameran seni, penyanyi dan simfoni, persembahan tarian dan tayangan filem. Alami sarkas Adelaide, sambil penjugel, ahli silap mata, akrobat, ahli lepas diri, ahli persembahan udara dan pelawak melakukan persembahan di jalanan. Hadiri forum karyawan semasa Minggu Penulis Adelaide, sebuah acara kesusasteraan yang tersohor di dunia. Pesta ini diadakan di lokasi dalam dan luar bangunan di sekitar Pusat Pesta Adelaide dan di seluruh taman-taman di bandar raya ini.

Perth, WA
Perth, WA

Perth, Australia Barat

Lalui pengalaman musim panas Perth yang terunggul di Pesta Seni Antarabangsa Perth, dari 5 Februari hingga 1 Mac 2010. Pesta ini menggabungkan bakat seni terunggul Australia dengan seniman antarabangsa terkenal di pelbagai lokasi di seluruh bandar raya ini. Saksikan teater teknologi terkini dan tarian kontemporari, tarian klasik yang dramatik serta balet klasik. Nikmati simfoni atau saksikan kugiran di bar pesta larut malam. Hadiri ceramah seniman dan saksikan citra seni visual yang kaya di galeri luar dan dalam bangunan. Tonton filem berbumbungkan bintang atau cuba puaskan keinginan anda untuk menulis, bercerita dan mengetengahkan idea semasa Pesta Penulis Perth. Program yang berlangsung selamaseminggu ini menonjolkan lebih 100 acara sastera, termasuk hari yang khusus untuk kanak-kanak.

Hobart, TAS
Hobart, TAS

Hobart, Tasmania

Manjakan deria rasa anda di Pesta Cita Rasa Tasmania, yang diadakan dari 28 Disember 2009 hingga 3 Januari 2010 di kawasan dermaga bersejarah Hobart. Rasai keluaran tempatan Tasmania yang paling segar serta wainnya – dari makanan laut Lautan Selatan, hinggalah ke keju dan wain iklim dingin King Island lebih 70 gerai. Dermaga, marina dan Derwent River begitu hebat di bandar raya ini menyediakan latar belakang yang indah bagi pameran seni dan pentas persembahan. Sertai kelas masakan peringkat mahir atau sertai lawatan makanan melalui Hobart dan saksikan pelbagai teater jalanan, dari aksi udara hinggalah ke pemuzik jalanan bermain gitar khayalan. Antara acara yang paling menonjol dalam pesta ini adalah majlis malam tahun baru yang menawarkan makanan, muzik, tarian dan tempat istimewa untuk menyaksikan bunga api di Sullivans Cove.

Darwin, NT
Darwin, NT

Darwin, Wilayah Utara

Raikan kehangatan musim panas dalam musim dingin di Pesta Darwin yang diadakan sepanjang 18 hari pada Ogos dan melibatkan berbagai-bagai seni. Seniman dan karyawan dari segenap pelosok dunia bertumpu ke teater dan taman tropika Darwin untuk menikmati muzik, tarian, teater, komedi, kabaret, filem dan seni visual. Nikmati konsert muzik pembukaan di bawah pepohon yang disinari lantera di George Brown Botanic Gardens. Jamu mata anda dengan kanvas pelukis yang digabungkan daripada Arnhem Land, Kimberley dan Torres Straits Island dalam pesta ria seni Orang Asli. Gelak ketawa menonton aksi komedi antarabangsa dan lihat gaya tarian dari serata dunia. Rasai sajian dari restoran terunggul Darwin, nikmati drama yang bersemangat dan jaz yang mempesona, kabaret serta pertunjukan aneka ragam.

Canberra, ACT
Canberra, ACT

Canberra, Wilayah Ibu Negara Australia

Pandu pecut ke tahun baru di Pesta Kereta Summernats Canberra, dari 7 hingga 10 Januari 2010, sebuah pameran rod panas, kereta sukan kompak, kereta lasak dan lain-lain kenderaan khas yang menakjubkan. Saksikan aksi lasak menghakis tayar secara dekat di Burnout Masters dan pastikan kuasa dan potensi kereta anda diuji di klinik khas kereta. Saksikan pembukaan tirai bagi lapan kereta elit baru dalam Anugerah Kereta Tahunan Mesin Jalanan. Raikan berbagai-bagai budaya Australia di Pesta Berbilang Budaya Kebangsaan, yang berlangsung selama 10 hari pada Februari. Makan, minum, tawa ria dan menari merentas dunia dengan komedi, seni persembahan, gerai makanan dan wain, parti jalanan, muzik langsung dan aksi gaya sarkas.

Cari acara









Idea Australia selanjutnya