Floriade

Floriade, Canberra, ACT. © Hamilton Lund & Destination NSW

Floriade

13 September – 12 Oktober 2014
Commonwealth Park, Canberra, Wilayah Ibu Negara Australia

Musim sejuk berfros Canberra yang terkenal menyediakan suasana penumbuhan yang amat sesuai untuk berjuta-juta kuntum bunga tulip dan tumbuhan semusim yang mekar tepat pada masanya pada setiap musim bunga di taman berhadapan Lake Burley Griffin. Acara siang hari, festival Floriade sekarang termasuklah NightFest, dengan pemasangan lampu terkini dan hiburan sepanjang lima malam yang menakjubkan dalam bulan September.

Mengapa anda perlu hadir

1. Gemar mengambil gambar yang membuat orang terpegun? Batas bunga yang harum di Floriade, yang ditanami bunga tulip dan tanaman semusim yang banyak untuk melahirkan tema yang berbeza setiap tahun merupakan impian setiap jurugambar. Lebih 440,000 pengunjung berpusu-pusu dari seluruh dunia untuk melihat festival bunga terbesar Hemisfera Selatan yang tidak mengenakan bayaran masuk.

2. Kagumi kerja keras yang menciptakan festival bunga-bungaan ini: ia memerlukan perancangan berbulan-bulan untuk membina batas-batas bunga, laluan kecil dan prasarana yang sementara. Pasukan berkebun akan mempelbagaikan masa pokok bunga berbunga sepanjang bulan ini dengan menanam bebawangnya pada kedalaman berbeza. Semasa festival berlangsung, tukang-tukang kebun akan memastikan bahawa pokok-pokok bunga sentiasa kelihatan paling cantik dengan membuang jambak bunga yang telah mati, membentuk semula batas bunga dan mengawasi kandungan pH, garam dan paras nutrien dalam tanah.

3. Fokus utama Floriade ialah bunga, tetapi banyak lagi acara lain yang berlangsung di sekeliling pameran bunga-bungaan yang menakjubkan itu. Nikmati pertunjukan kulinari oleh cef ternama dunia, pelajari sedikit sebanyak mengenai aktiviti berkebun dan hortikultur, mendengar muzik secara langsung atau mengusap-usap beberapa ekor haiwan comel dan manja di zoo tempat haiwan boleh didekati dan diberi makanan.

4. Floriade menjadi lebih hebat dalam tahun 2008 apabila ia memperkenalkan NightFest: ekstravaganza selepas matahari terbenam yang berlangsung selama lima malam, yang menjadikan taman itu alam ghaib yang dilimpahi cahaya dan penuh keseronokan dan gelak ketawa. Pemasangan lampu terkini memberikan pemandangan batas, kolam dan pokok-pokok di dalam taman yang luar biasa manakala pasar malam, muzik secara langsung, komedi dan DJ menambahkan suasana meriah ini. Tiket NightFest dijual dalam bulan Ogos.

5. Mungkin unsur pesta Floriade ini yang paling aneh ialah Gnome Knoll. Lawati anak bukit ini untuk mengagumi beribu-ribu arca gnome taman yang dihias yang bukan sahaja bersaing untuk memenangi hadiah bahkan juga membantu kelab Rotari Canberra East mengumpul wang untuk pelbagai projek kemasyarakatan. Antara peserta pertandingan yang lebih aneh lagi selama ini termasuklah sepasukan gnome bot naga dan gnome yang berpakaian menyerupai kugiran kanak-kanak yang paling popular di Australia, The Wiggles.

6. Selain tema keseluruhan (fokus Floriade bagi tahun 2014 ialah Sepenuh Perasaan), program acara akan bertukar ganti setiap minggu daripada empat minggu keseluruhannya agar pelawat berulang akan dapat menyaksikan sesuatu yang baru. Pada tahun ini, minggu-minggu bertema ini akan menyorot seni dan budaya, makanan dan wain, keriangan keluarga serta aktiviti luar dan pengembaraan mencabar.

7. Apabila Floriade sampai ke penghujungnya, bunga-bungaannya akan dimanfaatkan. Bunga-bungaan yang tinggal akan dipotong dan dihantar ke hospital dan rumah penjagaan tempatan supaya lebih ramai orang boleh menikmati kecantikannya.

8. Bayangkan kehidupan kerabat diraja dengan menaiki bot terbuka merentasi tasik buatan Lake Burley Griffin: dalam tahun 2011, Ratu Elizabeth dan Putera Philip menaiki bot terbuka dari bangunan Government House untuk melawati Floriade. Tiga buah syarikat pengendali feri membawa penumpang sehingga ke pintu masuk acara ini.

9. Pada hari Selasa 7 Oktober, pelawat boleh membawa kawan berkaki empat mereka ke Floriade buat pertama kali. Untuk satu hari sahaja, acara ini akan melonggarkan peraturan berkenaan haiwan di Commonwealth Park dengan mengadakan Dogs Day Out dalam kerjasama dengan rakan kongsi kebajikan tahun 2014, RSPCA ACT.

10. Para tukang kebun yang berminat dan penggemar DIY boleh mendapat ilham daripada pelbagai taman pameran di pesta Floriade ini. Sama ada persembahan berwawasan daripada tetamu personaliti terkenal di Bunnings Garden, atau petua dan helah daripada pakar-pakar di Permaculture Garden, pengunjung akan mendapat banyak idea untuk ditiru di kebun di belakang rumah mereka nanti.

Apa yang perlu diperhatikan

Peminat fotografi yang serius bolehlah memohon untuk meninjau bunga-bungaan ini dari awal pagi lagi sebelum tempat ini menjadi sibuk dengan orang ramai. Peserta juga boleh memilih untuk menyertai bengkel fotografi yang menyediakan petua dan teknik sebelum mereka mula menangkap gambar, diikuti oleh kritik dan penerangan untuk membantu meningkatkan kerja mereka. Permohonan untuk tempat-tempat ini akan ditutup dalam bulan Ogos.

Cara ke sana

Dari Sydney, Canberra boleh dicapai dengan 55 minit penerbangan, tiga jam pemanduan atau empat jam setengah menaiki keretapi; dari Melbourne, penerbangan selama 65 minit. Sepanjang pesta berlangsung, bas ulang-alik percuma akan membawa pelawat ke Floriade dari pusat bandar, tiga syarikat pengendali feri juga menurunkan penumpang berhampiran. Anda juga boleh pergi ke taman ini dengan berjalan santai atau menunggang basikal dari pusat bandar.

Untuk maklumat lanjut

www.floriadeaustralia.com
#floriade

Cari acara









Idea Lebih Lanjut mengenai Australia