Acara lumba kuda utama Australia

Acara lumba kuda utama Australia

Pada bulan Januari setiap tahun Gold Coast yang glamor ialah tempat untuk Jualan Kuda Setahun Magic Millions dan karnival selama sepuluh hari serta acara sosial diadakan pada hari perlumbaan Magic Millions. Jualan Magic Millions dan hari perlumbaannya telah membina reputasi meluas di seluruh dunia. Hanya kuda yang dibeli di jualan lelong Magic Millions layak untuk bertanding dalam perlumbaan di mana ia perlumbaan dengan hadiah kemenangan yang termahal di Queensland dan antara yang termahal di Australia. Jualan dan perlumbaan Magic Millions juga diadakan di Adelaide, Perth dan Tasmania.

Perth Cup pula adalah acara lumba kuda baka baik di Australia Barat. Diadakan di Balapan Lumba Kuda Ascot yang berprestij pada Hari Tahun Baru pada bulan Januari setiap tahun, ia menjadi berita hangat bagi Karnival Perlumbaan Musim Panas Perth dan menarik minat seramai 35,000 orang penonton dan petaruh setiap tahun.

Dalam bulan Februari, komuniti perlumbaan menuju ke selatan untuk ke Tasmania bagi menghadiri Tasmanian Summer Racing Carnival. Sorotan utama karnival ini adalah Piala Launceston yang diadakan di Tasman Park dan Piala Hobart yang diadakan di Elwick Racecourse. Suasana karnival yang dipenuhi dengan pakaian berwarna-warni serta acara sosial menjadikan pulau Australia ini berseri-seri.

Dalam bulan Februari juga, Kangaroo Island yang terletak di Australia Selatan menjadi hos hujung minggu Kangaroo Island Cup Carnival di Cygnet River Race Course berdekatan Kingscote. Sorotan utama hujung minggu adalah Hari Perlumbaan Piala Pulau Kangaroo. Banyak aktiviti menarik di karnival seperti hiburan muzik secara langsung dan peluang untuk merasa hasil keluaran dan wain tempatan Kangaroo Island yang terkenal.

Pada musim luruh, Sydney dihangatkan dengan Sydney Carnival, satu keraian perlumbaan, fesyen dan hiburan bertaraf dunia. Karnival Sydney menampilkan perlumbaan klasik yang tak lapuk dek zaman seperti Hari Derby Australia dan Hari Golden Slipper.

Alice Springs Cup Carnival pastinya menjadi satu acara lumba kuda yang tidak seperti lain yang pernah anda hadiri, ia diadakan di tengah-tengah Wilayah Utara dalam bulan April. Terletak di kaki bukit Banjaran MacDonnell yang indah, Balapan Lumba Kuda Pioneer Park dipilih sebagai salah sebuah balapan lumba kuda paling indah bak lukisan. Sama seperti Alice Springs Cup Carnival yang berlangsung dalam bulan April, terdapat 34 hari perlumbaan lain yang diadakan di Red Centre, Australia.

Pada musim sejuk, tiada tempat yang lebih baik daripada Queensland. Brisbane Winter Racing Carnival merupakan siri perlumbaan paling diiktiraf dan dipandang tinggi di Queensland. Karnival ini berlangsung sepanjang bulan April, Mei dan Jun setiap tahun dan menarik minat ribuan penonton ke dua buah balapan lumba kuda metropolitan di Doomben dan Eagle Farm. Perlumbaan terbesar Karnival Musim Sejuk Brisbane adalah Stradbroke Handicap dengan hadiah kemenangan bernilai $1 juta dalam bulan Jun. Ramai pelatih kuda terkenal menggunakan perlumbaan ini sebagai tempat memanaskan badan sebelum ke Karnival Musim Bunga Victoria.

Salah satu perlumbaan paling terkenal dalam kalendar lumba kuda Australia adalah Karnival Piala Darwin yang diadakan di balapan lumba kuda Fannie Bay, Darwin selama lapan hari yang menyeronokkan pada setiap bulan Julai dan Ogos. Piala Gold adalah acara utama karnival yang diadakan selama satu minggu. Perlumbaan ini mempunyai sejarah yang telah lama bertapak dan penuh keceriaan dan telah berlangsung di balapan Fannie Bay semenjak 1956.

Cari acara









Lebih Lanjut mengenai Idea Australia