Festival Muzik Jazz, Blues dan Klasik

Jazz, blues dan klasik

Para pencinta muzik jazz, blues dan klasik boleh menggabungkan muzik yang hebat dengan latar yang luar biasa di salah satu dari pelbagai festival muzik yang berlangsung sepanjang tahun. Bergembiralah dalam persekitaran akustik semula jadi kawasan ladang ketika mengikuti 'Opera in the Paddock'. Kunjungi kawasan wain untuk menghadiri persembahan 'Opera in the Vineyards' atau 'Jazz in the Vines'. Sertai pengembaraan muzikal di kawasan ladang tanaman pokok teh di festival Bluesfest. Dengari muzik jazz di pusat bandar Melbourne dengan parti seni lewat malam dan persembahan kelab-kelab kecil. Manjakan diri dengan muzik kamar sambil berjemur di bawah matahari musim sejuk di bandar tropika Townsville. Kunjungi Adelaide untuk mendengar petikan gitar klasik yang indah ketika penghibur tempatan dan jemputan antarabangsa membuat pelbagai persembahan di Festival Gitar Antarabangsa Adelaide.

Opera in the Paddock
Opera in the Paddock

Opera in the Paddock

Delungra, New South Wales
Mac

Acara muzik klasik terbuka tahunan Opera in the Paddock dimulakan lebih 10 tahun yang lalu oleh pasangan suami isteri peladang dan penyanyi opera, yang menyedari potensi akustik semula jadi di ladang 'Mimosa’ milik mereka di daerah New South Wales. Opera in the Paddock kini telah berkembang dan diiktiraf sebagai salah satu acara muzik luar yang paling berprestij di Australia. Acara ini dihasilkan oleh syarikat bukan berasaskan keuntungan, Opera North West Ltd dan membawa ke kawasan ini acara muzik klasik yang paling berkualiti, dengan para penghibur yang terkenal di negara ini dan persada antarabangsa.

Bluesfest
Bluesfest

Bluesfest

Teluk Byron, New South Wales
April

Bluesfest merupakan pesta muzik blues utama Australia yang telah dijalankan di Teluk Byron selama hampir 25 tahun. Diadakan di ladang Tyagarah Tea Tree di kawasan seluas 120 hektar ke utara Byron Bay, tempat ini merupakan ladang pokok teh yang beroperasi sepenuhnya hampir sepanjang tahun dan bertukar menjadi tapak Bluesfest selama beberapa minggu selepas hujung minggu Pesta Easter. Lebih daripada 17,500 orang pelawat menghadiri festival luar ini untuk menyaksikan dan mendengar lebih 200 persembahan artis terbaik muzik blues, muzik rakyat, soul dan muzik dunia di atas enam pentas yang berbeza. Bersantailah di bawah pokok tempat koala berehat-rehat.

Melbourne International Jazz Festival
Pesta Jazz Melbourne

Melbourne International Jazz Festival

Melbourne, Victoria
Jun

Pesta Jazz Antarabangsa Melbourne menghidupkan Melbourne dalam musim sejuk, dengan menghiburkan para peminat tegar jaz dengan lebih 300 pemuzik Australia dan antarabangsa serta 100 acara yang mencipta pengalaman yang tak dapat dilupakan Program yang kaya ini membawakan muzik jaz ke pusat bandar Melbourne dengan parti seni lewat malam, persembahan kelab-kelab kecil, tayangan filem, kelas memasak pakar, konsert percuma setiap hari, acara ‘jalan kaki mendengar bunyi’ dan juga acara untuk keluarga dan kanak-kanak. Dengari muzik jaz terbaik di dunia dipersembahkan di dalam bangunan dan di luar seperti Federation Square di Melbourne; Birrarung Marr, Pusat Imej Bergerak Australia; Pusat Resital Melbourne; Dewan Bandar Raya Melbourne dan Teater Palais di St Kilda.

Australian Festival of Chamber Music
Pesta Muzik 'Chamber'

Pesta Muzik 'Chamber' Australia

Townsville, Queensland
Julai - Ogos

Pesta Muzik 'Chamber' Australia diiktiraf sebagai acara muzik 'chamber' yang paling berprestij di hemisfera selatan. Pesta ini diadakan di Townsville selama 10 hari pada akhir bulan Julai setiap tahun, dan ia mempunyai reputasi global kerana kualiti pemuziknya yang ternama, atur caranya serta persembahannya. Festival ini diadakan di pelbagai tempat di sekitar Townsville, termasuk Townsville Civic Theatre, Kasino Jupiter Townsville, Galeri Wilayah Perc Tucker dan Katedral Sacred Heart. Pesta Muzik 'Chamber' Australia menyediakan peluang untuk mendengar dan menemui pemuzik antarabangsa sambil menyerap cahaya matahari tropika musim sejuk di Queensland.

Adelaide International Guitar Festival
Pesta Gitar Adelaide

Pesta Gitar Antarabangsa Adelaide

Adelaide, Australia Selatan
Ogos

Pesta Gitar Antarabangsa Adelaide diadakan di tempat berbeza iaitu Adelaide Festival Centre, yang terletak di tebing Sungai Torrens di pusat CBD Adelaide. Dengarlah pemain gitar terbaik Australia dan pemain jemputan antarabangsa membuat persembahan pelbagai gaya. Kemuncak festival ini adalah Pertandingan Gitar Klasik Antarabangsa yang menarik peserta dari seluruh dunia. Peserta peringkat akhir telah melepasi pusingan uji bakat yang ketat untuk bersaing. Panel hakim terdiri daripada artis Festival antarabangsa di samping pemain terkenal, para guru dan pakar muzik dari seluruh Australia.

Noosa Jazz Festival
Pesta Jazz Noosa

Pesta Jazz Noosa

Noosa, Queensland
Ogos - September

Pesta Jazz Noosa meraikan muzik jazz dari pelbagai jenis dari tradisional hingga funk moden dan dari blues hingga pop alternatif dan progresif. Terletak di kota tepi pantai Noosa, festival ini diiktiraf sebagai salah satu acara budaya Queensland yang utama dan salah satu perhimpunan industri jazz yang paling popular. Acara popular yang lain di sepanjang festival empat hari ini termasuklah Tastings on Hastings, yang menukar jalan besar menjadi restoran luar, pelayaran jaz di sungai setiap hari, konsert terbuka yang besar dan persembahan di tempat-tempat yang kecil. Ia merupakan peluang untuk menikmati muzik hebat, makanan gourmet dan Australia dalam musim bunga.

Jazz in the Vines
Jazz in the Vines

Jazz in the Vines

Hunter Valley, New South Wales
Oktober

Jazz in the Vines merupakan antara acara makanan, wain dan muzik yang paling popular di rantau Hunter Valley ini. Sertai sebahagian penghibur Australia yang paling popular untuk sehari berlatarbelakangkan kawasan penanaman anggur untuk membuat wain yang paling terkemuka di Australia. Sediakan makan perkelahan dan nikmati konsert jaz di Ladang Anggur Tyrrell. Manjakan diri anda dengan makanan gourmet yang lazat dari restoran dan penanam anggur untuk wain di Hunter Valley. Bas khas Jazz memberi khidmat di kawasan Hunter dan Central Coast atau tiba dengan bergaya di dalam limousin panjang.

Opera in the Vineyards
Opera in the Vineyards

Opera in the Vineyards

Yarra Valley, Victoria; Hunter Valley, New South Wales
Oktober

Selama dua hujung minggu dalam bulan Oktober, Opera in the Vineyards diadakan di dua buah kilang wain terkenal Australia, Wyndham Estate Winery di Hunter Valley dan Domaine Chandon di Yarra Valley, Victoria. Bersama-sama dengan penyanyi opera terkenal Australia, persekitaran ladang anggur yang mempesonakan serta makanan dan wain yang lazat menjadikan ini satu pengalaman yang tidak boleh dilepaskan. Tetamu diundang untuk tiba awal supaya dapat memenuhi selera mereka di pesta makanan dan wain. Tatkala matahari terbenam di ladang anggur, ambil tempat duduk anda di amfiteater terbuka yang gemilang itu untuk menikmati malam muzik klasikal yang tidak akan dapat anda lupakan.

Wine, Roses and all that Jazz
Wain, Ros dan Jazz

Wain, Ros dan Jazz

Canberra dan kawasan sekitar, Wilayah Ibu Negara Australia
November

Lebih daripada 30 bilik wain bawah tanah di Daerah Canberra dihidupkan dengan hiburan, makanan, aktiviti dan juga acara merasa wain semasa Festival Wain, Ros dan Jazz. Rasai wain merah dan putih yang memenangi anugerah, disertai dengan beberasa makanan gourmet terbaik dan bersantailah sambil mendengar muzik secara langsung di ladang anggur. Ambil pakej jelajah wain dan bertemu beberapa orang vigneron Canberra semuanya dalam 45 minit pemanduan dari bandar. Wain, Ros dan Jazz memberikan satu peluang yang jarang didapati untuk melihat sumber pokok anggur bagi wain yang memenangi anugerah dan peluang untuk merasa wain vintaj yang hebat.

Cari acara









Lebih Lanjut mengenai Idea Australia