Pilih jenis muzik yang menggembirakan anda di Australia, di mana muzik tarian, blues, jaz, indie, rock, rakyat dan klasik ditawarkan dalam kalendar pesta yang cukup padat. Saksikan aksi antarabangsa menjadi tajuk berita di pesta-pesta negara yang besar, antaranya Big Day Out, Good Vibrations, V Festival dan Parklife. Gabungkan muzik yang hebat dengan berkhemah dalam suasana perkampungan yang subur menghijau di pesta-pesta seperti Pesta Rakyat Woodford Queensland, Pesta Falls di Tasmania dan Victoria atau Splendour in the Grass di Byron Bay. Kaji muzik Orang Asli purba dalam Pesta Garma Wilayah Utara atau pelajari gaya muzik dari seluruh dunia di WOMADelaide. Sekiranya anda pencinta muzik, Australia mampu memberi anda pengalaman pesta yang sukar dilupakan.
Mulakan tahun anda di Summadayze, yang berlangsung di Melbourne, Brisbane, Perth dan Gold Coast semasa minggu pertama Januari. Atau sertai penduduk Australia lain yang gila muzik dalam pertunjukan bertaraf epik Big Day Out, yang diadakan di Sydney, Melbourne, Adelaide, Perth dan Gold Coast pada Januari/Februari. Dapatkan suntikan rentak musim panas anda dalam Good Vibrations di Sydney, Melbourne dan Brisbane pada Februari. Lebih intim dengan muzik anda di Pesta Lorong-Lorong St Jerome, yang diadakan di jalan-jalan di tengah bandar Melbourne, Sydney, Brisbane dan Adelaide pada bulan yang sama. Pesta Soundwave membawa bersamanya muzik yang lebih lantang dan keras ke Sydney, Melbourne, Adelaide dan Perth pada penghujung Februari. Pesta Muzik Masa Hadapan mempertontonkan aksi tarian dan elektronik di sekitar Melbourne, Sydney, Brisbane dan Adelaide pada Februari/Mac. Pesta V Australia melanda Sydney, Gold Coast, Melbourne dan Perth pada Mac/April, manakala We Love Sounds berlaku di Brisbane, Perth, Sydney, Melbourne dan Adelaide pada Mei/Jun. A Day on the Green menonjolkan acara berasaskan ladang anggur di wilayah wain di seluruh negara. Persembahan Parklife dipertontonkan di Sydney, Melbourne, Brisbane, Adelaide dan Perth pada September dan Oktober.

Mulakan pesta musim panas Sydney di parti tari menari Harbourlife yang hebat pada November. Pada Disember, Homebake membawa para penghibur seperti Sarah Blasko, Hilltop Hoods dan Powderfinger ke Domain. Rayakan tahun baru dengan parti tari menari Shore Thing di Bondi Beach atau Field Day menjelang Tahun Baru. Ayuh mengembara keluar bandar untuk Pesta Muzik Country Tamworth pada penghujung Januari. Berkhemah atau sewa rumah bot di Playground Weekender, yang diadakan di Wiseman’s Ferry sepanjang tiga hari yang santai pada Februari. Bersantai di Pesta Blues Thredbo pada Januari, Pesta Muzik Blues Kebangsaan Goulburn pada Februari, atau Pesta Muzik Blue Mountains pada awal Mac. Gabungkan muzik rock dengan sukan ekstrem di Newtons Playground di Bathurst pada 9 Mac. Menghala ke Byron Bay untuk menyertai Pesta East Coast Blues & Roots semasa hujung minggu Hari Easter yang panjang, atau Splendour in the Grass, yang sangat popular pada akhir bulan Julai. Pada Oktober pula, kunjungi Hunter Valley untuk menikmati Jaz dan Opera di kelilingi pepohon Anggur.

Dengar muzik pop, rock dan indie di Pesta Muzik Meredith yang diadakan di Lakes Entrance pada Disember. Raikan tahun baru dalam pesta Pyramid Rock di Phillip Island atau Pesta Falls yang berlangsung selama tiga hari di Lorne yang indah. Nikmati muzik elektronik di Pesta Rainbow Serpent di Beaufort pada Januari. Dengar kugiran langsung bermain secara percuma di pantai sepanjang Pesta St Kilda yang berlangsung selama seminggu pada Januari/Februari. Menghala ke Phillip Island untuk menyambut pesta butik Chill Island pada Februari. Pada bulan Mac, menghala ke Great Ocean Road untuk Pesta Rakyat Port Fairy dan Pesta Muzik Apollo Bay. Kunjungi Pesta Point Nepean, yang diadakan di Port Phillip Bay yang tersenarai sebagai warisan, Pesta Muzik Mossvale di Gippsland Selatan atau Pesta Muzik Between the Bays di Semenanjung Mornington. Pasang telinga anda semasa di Pameran Muzik Tinjauan Dua Tahun Sekali Antarabangsa Melbourne pada Mac/April. Nikmati dendangan saksofon dan tarian swing di Pesta Jaz Antarabangsa Melbourne yang berlangsung selama seminggu pada April/Mac.

Pesta Rakyat Woodford, QLD
Alami muzik langsung, forum kesusasteraan, filem, pemutar api, komedi, bengkel dan debat sosial selama enam hari dan malam di Pesta Rakyat Woodford. Artis antarabangsa tersohor serta pemuzik tempatan berbual mesra dengan penyajak, artis kabaret dan penceramah akademik dalam program yang melibatkan sekitar 2,000 penghibur dan 400 acara. Ramai orang memilih untuk berkhemah di tapak pesta luas yang terletak di lembah berpemandangan indah sekitar 70km ke utara Brisbane ini. Selaraskan getaran anda dengan bumi dalam Eart Freq, suatu pesta muzik, gaya hidup dan alam sekitar yang berlangsung sepanjang hujung minggu di kawasan pedalaman tenggara Queensland pada Februari. Atau serahkan diri anda selama enam hari untuk menikmati muzik jaz yang hebat dalam pesta Valley Jazz di Fortitude Valley Brisbane pada Mei. The Living End dan De La Soul adalah antara nama besar yang akan membuat persembahan di pesta Groovin the Moo di Townsville pada bulan yang sama.

Dengar muzik dari seluruh planet ini dalam WOMADelaide, yang diadakan pada Mac di Taman Botani Adelaide yang terbentang luas. Lagu Orang Asli, jaz Latin, jiwa Sepanyol, rap Iraq, gendang Cuba. Teater muzikal Afrika dan hip-hop Perancis adalah antara sajian gaya yang terdapat dalam gabungan citra muzik yang amat mempesonakan ini. Saksikan para artis mempamerkan kemahiran mereka memasak di khemah Rasai Dunia, cuba yoga pada awal pagi dan salsa pada lewat malam dan nikmati gabungan spa dan bar koktel. Dengar muzik klasik di antara tong-tong wain di Pesta Muzik Coriole di McLaren Vale pada Mei. Temui irama jiwa dengan loghat desa di Pesta & Anugerah Muzik Desa Australia Selatan di Riverlands pada Jun atau Pesta Muzik Murraylands selama tiga hari di Tailem Bend pada November.
Leeuwin Estate Concert, WA
Bergembira menikmati gabungan muzik rakyat dan dunia, sajak, tarian dan teater jalanan di pesta Muzik Nannup yang berlangsung selama empat hari dari akhir Februari hingga awal Mac. Hutan jarrah yang menjulang tinggi di Nannup dan Sungai Blackwood yang berliku-liku menjadi latar belakang yang indah untuk muzik mendayu-dayu. Pada April, Pesta Blues and Roots Pantai Barat menjanjikan aksi artis Australia terkenal seperti John Butler Trio, Paul Kelly, Augie March dan Missy Higgins yang membuat persembahan di Fremantle Esplanade bermandikan cahaya mentari. Ayunkan badan seiring dengan irama lunak jaz di Pesta Jaz Antarabangsa Bunbury pada bulan Mei. Anda akan mendapati lebih banyak aksi jaz – dari jiwa hingga ke Dixieland hingga funk – disediakan sepanjang Pesta Jaz York selama tiga hari pada Oktober. Acara ini menarik minat artis bertaraf dunia dan para peminat mereka ke perkampungan bersejarah York, sekitar 100km ke timur Perth. Anda perlu memandu tiga jam dari Perth ke Bridgetown, di mana Blues dimainkan dalam Pesta Bridgetown dalam minggu kedua November.

Alu-alukan tahun baru dengan Pesta Falls yang berlangsung sepanjang tiga hari dan dipenuhi dengan muzik eklektik berkualiti, berlatarkan ladang yang indah dengan pemandangan Marion Bay, berhampiran Hobart. Kugiran indie Inggeris, Gomez, kumpulan funk dari Scotland, Franz Ferdinand dan kugiran fusion jaz Australia, Cat Empire adalah antara nama besar yang telah menjayakan Pesta ini. Selami muzik rakyat di Tasmania dalam Pesta Rakyat Cygnet pada Januari, yang diadakan di Cygnet yang aman damai hanya 50 minit memandu kereta dari Hobart. Pada Februari, kembali menyertai peredaran pesta dalam MS Fest, yang memperlihatkan para artis meliputi keseluruhan spektrum muzik, dari elektronik hinggalah ke rockabilly. Saksikan artis antarabangsa seperti Keith Urban membuat persembahan di Pesta Southern Roots, yang diadakan di Taman Botani Diraja Tasmania yang indah pada penghujung Mac. Lihat aksi artis Tasmania dan tanah besar membuat persembahan di Pesta Forth Valley Blues, berhampiran Devonport, pada bulan yang sama. Perlahankan rentak dengan lebih blues, roots, funk dan jiwa di Pesta Launceston Blues pada Oktober.

Nikmati tiga hari yang dipenuhi muzik, seni, bengkel kreatif dan persembahan dalam Pesta Corinbank, yang diadakan di Pergunungan Brindabella yang diselimuti bunga-bunga liar berhampiran Canberra sepanjang akhir Februari dan awal Mac. Sementara menunggu aksi berikutnya, kunjungi taman genderang yang dikuasai pedal, pelajari tarian swing, menyanyi atau cara melakukan percetakan skrin, atau sertai kelas yoga. Jejaki asal usul suasana muzik rakyat Australia dalam Pesta Rakyat Nasional yang berlangsung selama lima hari di Taman Pameran Canberra. Dua puluh lokasi ini telah menjadi tuan rumah kepada beratus-ratus ahli muzik, serta tari menari, bengkel tarian, sarapan para penyajak, bar wain dan bermacam ragam gerai makanan antarabangsa. Hadiri konsert jaz dan klasik di bangunan ikonik Canberra seperti Galeri Potret Kebangsaan dan Tugu Peringatan Perang Australia, semasa Pesta Muzik Antarabangsa Canberra pada Mei. Jangan ketinggalan untuk menghadiri Stonefest yang berlanjutan agak lama dan menjanjikan persembahan penghibur Australia dan antarabangsa di pentas-pentas di seluruh University of Canberra pada Oktober. Groove Armada, Grinspoon dan Living End adalah antara penghibur yang pernah membuat persembahan di sini.

Bergembira dan ayunkan badan mengikut rentak kugiran hebat di Bass in the Grass, festival muzik terbesar di Wilayah Utara yang diadakan di Amfiteater Darwin pada penghujung bulan Mei. Powderfinger, Wolfmother, Hilltop Hoods, Eskimo Joe, Potbelleez dan Sneaky Sound System adalah antara nama-nama unggul yang telah melanda pentas Bass in the Grass pada masa lalu. Nikmati dendangan pemuzik country dalam Katherine Music Muster selama tiga hari dalam bulan Mei, yang merangkumi perjalanan dari pub ke pub dan pertandingan persembahan jalanan. Anda akan menemui irama yang lebih lembut dalam Pesta Gitar Antarabangsa Darwin, yang memperagakan berbagai gaya gitar klasik di Universiti Charles Darwin sepanjang 11 hari pada Julai. Dengar panggilan purba didgeridoo dalam Pesta Garma yang bersemangat, yang diadakan selama lima hari di timur laut Arnhem Land pada Ogos. Sertai beribu-ribu warga Australia tidak kira sama ada dari keturunan Orang Asli ataupun tidak dalam pesta ini, yang memperagakan muzik Yolngu, tarian dan lain-lain amalan kebudayaan dari zaman lampau lebih 40,000 tahun yang lalu. Pada Oktober, Alice Springs menjadi tuan rumah kepada pesta Bass in the Dust di Anzac Oval.
