Acara Australia yang Unik

Acara Australia yang Unik

Perayaan merupakan sebahagian daripada budaya warga Australia, mungkin inilah sebabnya kami mempunyai pelbagai perayaan yang kaya dan pelik. Ada yang mempamerkan pemandangan kami yang cukup indah, dan yang lain-lainnya pula meraikan minat mendalam kami terhadap acara sukan. Ada yang memperingati akar umbi budaya kami, dan banyak mempamerkan jenaka yang mentertawakan diri kami sendiri. Berpakaian segak untuk Piala Melbourne yang menjadi tumpuan seluruh negara atau dapatkan tempat di Sydney Harbour untuk perayaan Hari Australia. Jalinkan hubungan dengan budaya Orang Asli di Tanah Arnhem dalam Pesta Garma. Atau alami tingkah laku kelakar warga Australia di pedalaman dalam Regata Darwin Beer Can, Piala unta dan Henley-on-Todd – regata pelayaran di atas dasar sungai yang kering.

Tenis Musim Panas Australia
Tenis Musim Panas Australia

Tenis Musim Panas Australia

Grand Slam, tenis musim panas Australia membolehkan anda menikmati bulan Januari dengan menonton jaguh-jaguh tenis beraksi di gelanggang. Mulakan tahun baru dengan menonton lapan pasangan lelaki dan wanita yang hebat bertanding dalam Perth’s Hopman Cup. Lihat pemain antarabangsa menyediakan diri untuk Terbuka Australia di Brisbane dan Hobart yang bersejarah. Dapatkan tempat duduk untuk menyaksikan tenis hebat di Medibank International di Sydney Olympic Park. Saksikan pemain lelaki, wanita dan bergu bertanding dalam Terbuka Australia di Melbourne, Grand Slam pertama setiap tahun, pada hujung Januari. Di luar gelanggang, nikmati pelbagai hiburan langsung dan gaya hidup musim panas bandaraya Australia yang cukup bertenaga.

Hari Australia
Hari Australia

Hari Australia

Australia sentiasa menyukai parti, dan tidak banyak yang sehebat Hari Australia pada 26 Januari. Warga Australia dengan berbagai-bagai latar belakang dan tanpa mengira usia menyertai perayaan formal dan tidak formal di pantai, halaman rumah dan taman di seluruh negara. Di Sydney, orang ramai yang mengibarkan bendera berkumpul di Sydney Harbour yang terkemuka untuk menyaksikan acara penuh aksi. Terdapat upacara tradisional Orang Asli di Royal Botanic Gardens, barbeku yang besar di Hyde Park dan aksi muzik serba-Australia di the Rocks. Kapal besar, feri kecil, kapal layar dan papan luncur berlumba-lumba melintasi pelabuhan manakala pesawat Tentera Udara melakukan lintas lalu di Circular Quay. Pastinya anda tidak mahu ketinggalan menyaksikan acara kebanggaan negara pada waktu malam – pertunjukan bunga api pelabuhan yang sangat menakjubkan.

Sydney Gay and Lesbian Mardi Gras
Sydney Gay and Lesbian Mardi Gras

Sydney Gay and Lesbian Mardi Gras

Sinar matahari, subversif, kosmopolitan dan kemeriahan – selamat datang ke Sydney semasa pesta tahunan Homoseksual and Lesbian Mardi Gras. Sama ada anda ‘seorang yang normal, homoseksual, tua atau muda, anda akan menyukai glamor dan riang ria yang berlangsung di bandaraya ini dari hujung bulan Februari. Raikan upacara pembukaan pesta ini di Fair Day – parti komuniti yang besar di bahagian barat-dalaman Sydney. Saksikan konvoi sequin, slogan dan tan semburan menyusuri Oxford St dalam perarakan gay terbesar di dunia. Pada pertengahan musim panas, menari sepanjang malam di Royal Botanic Gardens dalam parti finale yang penuh bersemangat. Nikmati pertunjukan yang aneh dan pelik di Sydney Opera House dan pelbagai tempat lain di seluruh bandar raya ini.

Fiesta Belon Canberra
Fiesta Belon Canberra

Fiesta Belon Canberra

Musim luruh Canberra bukan sahaja membawa warna-warna pepohon yang menggugurkan dedaun, bahkan jua Fiesta Belon Canberra yang terkemuka. Pada waktu pagi yang nyaman dalam bulan Mac selama sembilan hari, segugusan belon udara panas berlepas dari padang Old Parliament House. Saksikan persembahan menakjubkan ini dengan beribu-ribu orang lain atau naiki sendiri belon udara panas tersebut. Walau apa jua anda lakukan, ia cara yang paling baik untuk memulakan hari-hari anda di Canberra, terutamanya apabila diiringi oleh sarapan panas dan hiburan secara langsung. Selepas itu, bersiar-siar dan kunjungi muzium nasional, galeri, kilang wain dan taman perang kemerahan di Canberra.

Melbourne Grand Prix
Melbourne Grand Prix

Melbourne Grand Prix

Di Melbourne, anda tidak harus ketinggalan daripada menyaksikan Australian Grand Prix yang mengambil alih Albert Park selama empat hari pada bulan Mac. Anda akan mendengar bunyi kereta lumba Formula One elit merentasi bandar raya ini. Di trek yang dibina khas, saksikan pemandu terpantas di dunia bergegar melepasi anda pada kelajuan sehingga 300km sejam. Saksikan perlumbaan V8 Supercar Australia atau lihat model mewah seperti Ferrari, Porsche dan Lotus pada kelajuan tertinggi yang termampu. Di luar trek, anda boleh menyertai sebanyak mungkin acara yang memperagakan kehidupan sosial dan budaya Melbourne.

Hari Anzac
Hari Anzac

Hari Anzac

Setiap tahun pada 25 April, ketika fajar mula menyingsing, warga Australia berhimpun untuk upacara fajar, memperingati dan menghormati para perajurit yang gugur dalam peperangan. Hari Anzac diadakan pada ulang tahun pendaratan penuh tragis Gallipoli pada tahun 1915 dan ia kini menjadi hari penghormatan kepada semua anggota tentera yang pernah berkhidmat dalam peperangan. Upacara kebangsaan ini, dihadiri oleh Perdana Menteri dan Gabenor Jeneral, dan diadakan di Tugu Peringatan Perang Australia di Canberra. Sertai upacara fajar, alami emosi ketika begol tunggal memainkan irama Last Post dan beri penghormatan kepada para perajurit yang telah berkhidmat kepada negara mereka dalam berbagai-bagai konflik di seluruh dunia.

Tasting Australia, Adelaide
Tasting Australia, Adelaide

Tasting Australia, Adelaide

Jangan ketinggalan untuk menikmati ekstravaganza gourmet Pesta Tasting Australia, yang diadakan selama lapan hari dalam bulan April dan Mei. Ia menonjolkan lebih 40 acara yang berlangsung di seluruh Adelaide dan wilayah wain terkemuka seperti Barossa Valley, McLaren Vale, Clare Valley, Coonawarra dan Adelaide Hills. Sertai kelas memasak dengan chef selebriti dari Australia dan seluruh dunia. Atau padankan makanan anda dengan wain semasa makan tengah hari ladang anggur yang panjang. Berbahas mengenai isu berkaitan makanan atau sertai Feast of the Senses yang diadakan di pinggir River Torrens selama dua hari. Sepanjang pesta ini, hasil segar yang mewah Australia Selatan dipamerkan di pesta dan pasar tani terpilih.

Ord Valley Muster, Kimberley
Ord Valley Muster, Kimberley

Ord Valley Muster, Kimberley

Bulan Mei ini, tuju ke Kununurra untuk Ord Valley Muster, perayaan kehidupan di East Kimberley yang berlangsung selama dua minggu. Anda akan berternu dengan beribu-ribu orang tempatan yang peramah di lebih 50 acara merentasi lanskap kawasan ini yang kasar dan menakjubkan. Bersedia dengan pakaian sesuai untuk pengembaraan kenderaan pacuan empat roda, berenang merentasi Lake Argyle atau berbasikal gunung sepanjang Gibb River Road. Rasa hasil Kimberley yang segar dan nikmati musik dan tarian Aborigin. Sertai perayaan jalanan, gali untuk berlian atau tonton penunggang kasar di rodeo. Tidak boleh dilepaskan ialah Kimberley Moon – konsert musik unggul di tebing Ord River.

Piala Unta, Alice Springs
Piala Unta, Alice Springs

Piala Unta, Alice Springs

Untuk acara sukan yang benar-benar tidak diduga, dapatkan tiket untuk ke Piala Unta, yang diadakan setiap Julai di Alice Springs. Cuma satu perkara yang pasti mengenai acara ini – yang memperlihatkan para penunggang berlumba di atas unta yang kuat meragam di atas laluan trek pedalaman yang berdebu – adalah kelucuan dan riuh-rendah ketawa. Dalam satu perlumbaan, para penunggang berpakaian seperti pengantin lelaki menaiki unta mengelilingi separuh arena, mengutip pengantin perempuan dan berlumba ke garis penamat. Di antara perlumbaan ini, anda boleh menyertai perlumbaan beca atau bertanding untuk menjadi En dan Cik Piala Unta yang paling tinggi cita rasa fesyennya. Penari gelek, gerai makanan dan bar memeriahkan lagi persekitaran karnival ini.

Regata Tin Bir Darwin
Regata Tin Bir Darwin

Regata Tin Bir Darwin

Anda pasti sangka penduduk tempatan sedang mengalami strok haba apabila anda melihat mereka membina bot daripada tin bir atau minuman ringan di Regata Tin Bir Darwin pada bulan Julai. Acara sukan olok-olok ini dimulakan sebagai cara kreatif untuk membersihkan sampah yang ditinggalkan oleh para pekerja yang membina semula Darwin setelah ia dilanda Siklon Tracy. Hari ini, bot-bot yang dibina, berukuran hingga sepanjang 12 meter dan membawa senjata api yang agak hebat, termasuk bom tepung dan pistol air. Beratus-ratus penduduk tempatan bersorak dalam acara ini yang antara lain menonjolkan perlumbaan bot tanpa sebarang peraturan yang dipanggil Battle of Mindil dan pertandingan tarik tali di tepi pantai.

Pesta Garma, Tanah Arnhem
Pesta Garma, Tanah Arnhem

Pesta Garma, Tanah Arnhem

Jangan ketinggalan untuk menyertai Pesta Garma pada bulan Ogos – perayaan lima hari budaya Yolngu yang bertenaga di Gulkula di timur laut Arnhem Land. Suku kumpulan Orang Asli setempat dan berhampiran berkumpul untuk sama-sama menyanyikan lagu tradisional Yolngu, menarikan tarian upacara, reka bentuk suku, membuat lembing dan berburu. Pengunjung bukan Orang Asli dialu-alukan untuk mengambil bahagian dalam pertukaran budaya yang amat kaya ini. Tontoni artis yang tersohor di seluruh dunia dan pelajari mengenai bush-tucker dan perubatan bush daripada para wanita atau belajar membuat lembing dan membalingnya daripada kaum lelaki. Setiap amalan menceritakan kisah Yolngu purba tempat suci ini, di mana Ganbulabula , leluhur Dreamtime menghidupkan didjeridu.

Henley-on-Todd, Alice Springs
Henley-on-Todd, Alice Springs

Henley-on-Todd, Alice Springs

Di Wilayah Utara, penduduknya amat suka berjenaka. Bagaimana lagi anda boleh menjelaskan tentang Henley-on-Todd - regata layar dan mendayung yang diadakan setiap tahun di atas dasar sungai yang telah kering di Alice Springs. Pada hari minggu terakhir dalam bulan Ogos, dasar Sungai Todd yang berpasir bertukar menjadi trek perlumbaan bot gaya Flintstone yang dikemudi oleh anak kapal yang sewel. Anda akan melihat golongan viking menembak meriam air dari kapal perang mereka, dan penyelamat nyawa menyelamatkan perenang yang dalam kesukaran dari pasir. Terdapat perahu layar tanpa dasar, kayak air tawar, papan boogie untuk lima orang dan ski pasir. Mereka yang berwaspada dengan air pun boleh turut serta dalam keseronokan ini – dengan melabuhkan sauh bot mereka atau menyodok pasir ke dalam tong 44 gelen.

Piala Melbourne
Piala Melbourne

Piala Melbourne

Australia berhenti sebentar untuk Piala Melbourne Cup pada hari Selasa pertama dalam bulan November. Tetapi selama Spring Racing Carnival diadakan tidak seorang pun di Melbourne akan duduk diam. Pelbagai acara lumba kuda, fesyen dan keseronokan ini bermula pada bulan September dan hanya berakhir pada pertengahan bulan November. Flemington Racecourse merupakan pentas bagi perlumbaan terkenal seperti Derby Day, Melbourne Cup, Oaks Day tapi semua trek di seluruh negeri adalah sebahagian daripada aksi perlumbaan ini. Anda tidak perlu tahu apa-apa tentang perlumbaan ini untuk menyukai tradisi sosial penuh gemilang ini yang mengumumkan tibanya musim bunga dengan cuacanya yang cerah dan terang di Melbourne. Rancanglah untuk menghadiri parti pada waktu malam di trek perlumbaan atau hanya menjelajah bandar ini yang berlatar belakang keseronokan karnival yang sangat meriah.

Musim panas dengan kriket
Musim panas dengan kriket

Musim panas dengan kriket

Musim kriket di Australia  yang berlangsung dari bulan November hingga Februari meletakkan pasukan Australia berhadapan dengan negara kriket terkemuka lain dalam perlawanan di Brisbane, Sydney, Melbourne, Adelaide, Hobart dan Perth. Hari Krismas di Melbourne mengiringi Boxing Day Test di MCG yang terkemuka. Gelanggang kriket Gabba, Brisbane, Wacca di Perth dan SCG di Sydney yang terkemuka penuh sarat dengan penonton. Pasukan kriket paling kuat Australia bermain menghadapi pelbagai negara yang berkunjung ke sini setiap tahun. Hindia Barat dan Pakistan, Afrika Selatan, India, Pakistan, Sri Lanka dan pencabar Australia untuk piala ‘Ashes’ - England.

Perlumbaan Kapal Layar Sydney ke Hobart
Perlumbaan Kapal Layar Sydney ke Hobart

Perlumbaan Kapal Layar Sydney ke Hobart

Anda tidak perlu menjadi pakar pelayaran untuk menikmati perlumbaan kapal layar Sydney ke Hobart - antara perlumbaan air biru yang terunggul di dunia. Bermula dari Boxing Day, Disember 26, perlumbaan ini merupakan bahagian ikonik dalam musim panas Australia. Lihat kapal berlayar keluar di pelabuhan sambil berkelah, barbeku atau naiki kapal persiaran di Pelabuhan Sydney. Bersorak apabila mereka melepasi garisan tamat, tepat masanya untuk perayaan malam tahun baru di Hobart. Kagumi ketabahan pelayar dan sertai warga Australia yang lain ketika mereka bertarung dengan Bass Strait yang cukup bergelora.

Search events









Idea Australia selanjutnya