Selami Suasana Kehidupan Orange, New South Wales

Selami Suasana Kehidupan Orange, New South Wales

Luangkan masa untuk menikmati kehidupan hebat di Orange yang terletak di kaki gunung berapimati, kira-kira 4 jam perjalanan dari barat Sydney. Kunjungi pengeluar wain beriklim sejuk dan pelbagai restoran yang terkemuka. Cubalah makanan dan wain tempatan yang lazat di Orange F.O.O.D Week pada bulan April atau semasa Orange Winefest pada bulan Oktober. Bersiar-siarlah di Orange Botanical Gardens, berjalan mengikuti laluan City Heritage Trail atau nikmati keindahan pemandangan bandar dari Mt Canobolas, puncak gunung berapi di zaman silam. Tidak jauh dari Orange, terletak lokasi salah satu daripada lombong emas yang terawal di Australia, gua batu kapur Borenore Karst Conservation Reserve serta perkampungan bersejarah yang menawan.

Segarkan pancaindera anda di Orange, di mana tanah gunung berapi yang subur menghasilkan pelbagai jenis makanan,dari buah-buahan berbiji ke buah zaitun, keju, cendawan dan anggur. Lihatlah sendiri hasil kesuburan kawasan ini di pasar tani yang diadakan setiap Sabtu kedua di Orange Showground. Anda boleh memetik sendiri buah epal, ceri dan beri dari ladang buah-buahan, nikmati kelazatan daging lembu dan bebiri segar dari ladang atau cuba wain yang diperbuat dari anggur tempatan. Pinot Gris, Viognier, Tempranillo dan wain merah Itali adalah antara aneka wain iklim sejuk di Orange semakin mendapat sambutan. Lawati sebahagian daripada lebih 40 lebih pengeluar wain sambil memandu melalui kawasan desa yang dipenuhi taman dan kawasan berkelah yang mempesonakan.

Untuk menikmati hidangan yang hebat, datanglah ketika berlangsungnya salah satu acara makanan dan wain yang terbesar di kawasan ini. Raikan tradisi makanan tempatan dan ketahuilah mengenai kesan pilihan makanan anda di acara Slow Food yang dijalankan pada bulan Februari di Robertson Park. Sertai kelas memasak praktikal, nikmati makanan terbaik diiringi muzik jaz atau sertailah  perkelahan besarbesaran di Orange F.O.O.D Week pada bulan April. Banyak keseronokan menanti penggemar makanan di Orange Winefest pada bulan Oktober, di mana anda boleh membuat wain sendiri dan membida untuk botol wain yang dilukis oleh pelukis tempatan di jualan lelong. Program sepanjang minggu ini juga termasuk acara mencuba wain dan pertunjukan seni, makan tengah hari dan malam yang hebat, muzik secara ‘live’ dan pasar hasil tempatan.

Orange kaya dengan sejarah dan kebudayaan yang dapat dialami. Ikutilah laluan City Heritage Trail yang menghubungkan 40 tapak bersejarah di sepanjang jalan-jalan Orange yang menawan dan dibarisi pokok. Saksikan bangunan mahkamah gaya neoklasik, mengunjungi gereja yang dihiasi kaca berwarna dan siling besi tempa serta lawati rumah agam kurun ke-18 Duntryleague. Saksikan monumen penyanyi lagu-lagu rakyat Banjo Paterson yang menulis lagu terkenal ‘Waltzing Matilda’, berdekatan tempat lahirnya. Amati lukisan klasik Australia di Orange Regional Gallery atau nikmati konsert klasikal di Orange Regional Conservatorium of Music.

Pelbagai aktiviti luar boleh dilakukan, seperti bersiar-siar melalui tumbuh-tumbuhan eksotik dan tempatan di Orange Botanical Gardens. Atau berjalan kaki mengikuti salah satu dari tujuh denai pejalan kaki menuju ke puncak gunung berapi silam Mt Canobolas, yang dikatakan puncak tertinggi di antara Blue Mountains dan Perth di Australia Barat. Nikmati pemandangan Orange yang saujana mata memandang dan berjalanlah ke Federal Falls untuk menyaksikan sendiri keriuhan unggas seperti rosella, burung kakak tua, burung nuri serta lorikeet. Di kaki gunung, anda boleh berenang, belayar atau memancing di tasik buatan manusia Lake Canobolas.

Orange merupakan destinasi yang hebat untuk memulakan pengembaraan di rantau ini. Anda boleh mendulang emas di Ophir Reserve, terkenal sebagai lokasi gold rush pertama di Australia, atau berkelah di Gosling Creek Reserve yang bersejarah. Tidak jauh dari sini, terletak Carcoar Dam di mana anda boleh berlayar, meluncur air, berenang dan memancing. Gunakan lampu suluh untuk menerokai dunia batu kapur Tunnel Cave yang menakjubkan di Borenore Karst Conservation Reserve. Berjalan-jalanlah di bawah pepohon di Blayney, di mana terdapatnya kincir angin serta pelbagai bangunan bersejarah. Nikmati trufel yang digali dari pokok oak tempatan di National Trust Village yang menawan di Millthorpe atau jelajahi Molong yang terletak di kawasan berbukit Macquarie Ranges.

Tidak perlu terburu-buru sewaktu memandu balik ke Sydney. Kerana lawatan ke Orange akan membuat anda sedar bahawa masih banyak yang perlu dihargai dalam kehidupan  ini.

Idea Australia selanjutnya