The Cooly Classic – Renang Lautan Coolangatta

The Cooly Classic – Renang Lautan Coolangatta

Sinar mentari, ombak besar dan sukan: semuanya simbol kemegahan budaya pantai Australia, diperagakan dalam acara Renang Lautan Coolangatta. Renang dalam air laut lepas adalah perkara lumrah di seluruh negara ini, namun ‘Cooly Classic’ pada bulan April adalah yang paling terkenal. Perenang dan penonton berduyun-duyun ke Gold Coast untuk menyaksikan usaha yang mencabar ini dan menikmati suasana karnival. Sertai peserta lelaki dan wanita Australia berenang sejauh 2.5km, uji perairan di sini dalam kursus pengenalan singkat atau mulakan skuad sorak di tapi pantai. Selepas perlumbaan ini, Gold Coast menanti anda. Bersantai di pantai keemasan, belajar meluncur air dan terokai budaya Orang Asli di kawasan ini. Saksikan ikan paus, kembara pulau ke pulau atau terokai pedalaman yang diselimuti hutan hujan.

Perlumbaan ini bermula dari Pantai Rainbow yang menempatkan Snapper Rocks Superbank yang menjadi legenda. Para peluncur air amat menggemari struktur batu-batan ini yang menghasilkan antara ombak terbesar di dunia. Bagi perenang lautan pula, tiub yang tiada pengakhirannya membentuk satu cabaran yang cukup serius! Laluan 2.5km ini merentas dua lagi pemecah ombak besar sebelum tiba ke garisan penamat di Pantai Kirra. Jika ini dirasakan terlalu mencabar, terdapat juga laluan 500m untuk perenang yang lebih muda dan kurang berpengalaman.

Campakkan diri anda ke dalam ombak seiringan dengan perenang berseluar renang Speedo ini atau sertai para penonton yang bersorak memberi semangat kepada para perenang dari pantai. Pastikan anda hadir untuk menikmati keseronokan tembakan pistol menandakan permulaan perlumbaan di Pantai Rainbow atau saksikan para peserta menumpukan kekuatan mereka semasa mereka memecut ke garis penamat di Pantai Kirra. Walau bagaimanapun anda terlibat, keakraban yang sangat unik dapat dirasai dalam acara pantai klasik Australia ini. Penjual aiskrim berselang seli dengan perenang profesional, veteran renang bertubuh sasa dan kanak-kanak yang diselaputi krim pelindung suria. Khalayak ini menjadi simbol semangat optimistik warga Australia, tanpa mengira usia atau kemahiran berenang.

Menghayati sikap positif amat mudah di pantai indah disimbah sinaran sang suria ini. Jika anda seorang peluncur air, anda pasti menemui tempat-tempat yang sangat cantik bak syurga. Sertai para profesional meluncur di atas ombak kuat di Pantai Rainbow, Currumbin Alley dan Burleigh Heads. Atau belajar meluncur air di Pantai Spit atau Greenmount, di mana ombaknya lebih ringan namun tetap konsisten. Berenang di perairan terlindung Kirra, Mermaid dan Coolangatta. Bertemu ikan sub-tropika semasa anda kembara bersnorkel di sekitar bangkai kapal Scottish Prince di luar pesisir Pantai Main. Menyelam dengan ikan trevally dan penyu di luar pantai Gold Coast atau sertai pelayaran mencari ikan paus dari Coolangatta.

Di seberang perairan ini, Pulau Stradbroke Selatan merupakan tempat yang amat sesuai untuk percutian meredah belukar, berkayak di laut, memanjat batu batan, meluncur angin dan memancing di tepi pantai. Bersantai di pantai seperti lagun yang terpencil, atau pilih pemecah ombak daripada pantai sepanjang 20km yang dipinggiri hutan hujan. Pulau ini menyokong pelbagai hidupan liar termasuk 160 spesis burung, 35 spesis rama-rama dan Golden Swamp Wallaby yang unik. Jika anda ingin melanjutkan percutian anda, terdapat tapak perkhemahan, apartmen yang serba lengkap dan dua pusat peranginan yang telah meraih anugerah. Datang ke sini dengan menaiki feri atau teksi air.

Selami lebih sejarah alam semula jadi dan budaya pulau ini melalui pelancongan berkayak Orang Asli. Berkayak di sebelah ikan lumba-lumba, ikan pari, spesis reptilia, walabi, burung dan ikan subtropika yang berwarna-warni. Anda juga akan membuat perkaitan di antara daratan dengan lautan melalui sudut pandangan budaya purba Orang Asli di sini. Berhenti sebentar di Pulau Stradroke Selatan untuk memburu cara tradisional dan makan tengah hari tradisional yang cukup enak. Dengar kisah Dreamtime sambil anda mengikuti pemandu anda di sepanjang laluan purba bush tucker. Perjalanan balik memberi anda peluang untuk mengingati kembali pengembaraan kebudayaan unik yang anda lalui.

Gold Coast bukan sahaja mengenai jalur pantai, meskipun namanya kelihatan sedemikian. Di kawasan pedalaman, anda akan mendapati syurga ekologi hutan hujan Gondwana, air terjun ibarat permata dan gaung hijau, berlumut yang amat dalam. Ikuti salah satu daripada pelbagai laluan jalan kaki melalui Taman Negara Lamington dan Springbrook yang tersenarai sebagai Warisan Dunia atau lakukan treking di antara kedua-duanya dalam perjalanan empat hari Great Walk Pedalaman Gold Coast. Merayau-rayau di bawah Pepohon Beech Antartika, beneath ancient Antarctic Beech Trees, cari unggas sub tropika berwarna-warni, berenang dalam lopak air berkilauan dan berdiri di pinggir gunung berapi yang telah terhakis. Setelah berinteraksi dengan alam semula jadi, terokai kilang wain butik wilayah ini atau luangkan semalam di tempat istirahat dalam hutan hujan yang subur. Jauh ke utara, temui kampung pergunungan yang permai di Gunung Tamborine dan air terjun yang amat mempesona di Taman Negara Tamborine.

Di sebalik tarikan semula jadi Gold Coast, terdapat kehidupan yang begemerlapan. Nikmati kegilaan membeli-belah di gudang pereka terkemuka, pasar jalanan dan pusat beli belah mega yang luas. Campakkan diri ke dalam kehidupan malam yang tidak kenal keletihan, alami suasana makan malam dan temui hidupan liar atau naiki tunggangan yang menjana adrenalin tinggi di taman tema di sini.

Cooly Classic merupakan alasan terhebat untuk menerokai Gold Coast. April yang berikut, alami karnival pantai Australian klasik ini berlatarkan antara destinasi pantai paling terkemuka di Australia.

Cari acara









Idea Australia selanjutnya