Kriket Musim Panas Australia

Kriket Musim Panas Australia

Di Australia, musim panas tidak cukup syaratnya tanpa permainan kriket. Ia dimainkan semasa acara berkelah dan barbeku, di halaman belakang rumah, di pantai, di tepi jalan, di taman-taman dan di stadium bertaraf dunia. Di dalam rumah pula, pasukan kriket Australia dengan topi hijau longgar yang menjadi lambang pasukan ini, mendominasi skrin televisyen kami. Di Australia, kriket hampir sudah sebati dalam kehidupan ibarat kepercayaan utuh, yang menyatu padukan para pemain dan peminat dari segenap lapisan masyarakat.

Bukan sahaja Australia yang begitu obsesi dengan kriket dari November hingga Februari. Pencinta kriket di seluruh dunia menanti dan mengikuti musim kriket di Australia di mana Australia berhadapan dengan negara kriket terkemuka lain dalam perlawanan di Brisbane, Sydney, Melbourne, Adelaide, Hobart and Perth Pertandingan ini merangkumi pertandingan ujian atau test match yang berlangsung selama tiga hingga lima hari, pertandingan antarabangsa sehari dan siri Twenty20 – di mana setiap pasukan bermain satu pusingan dengan tukaran 20 balingan mati. Dalam pertandingan ujian yang tipikal, permainan bermula pada pukul 10 pagi dan berakhir pada pukul 6 petang Pertandingan antarabangsa sehari dan twenty20 mungkin bermula pada waktu tengah hari dan berpanjangan hingga ke lewat petang.

Negara yang menyertai bergilir-gilir membuat kunjungan dengan Hindia Barat dan Pakistan berkunjung pada musim panas 2009/2010. Negara-negara lain yang mahir dalam permainan kriket termasuk Afrika Selatan, India, Pakistan, Sri Lanka dan pasukan lawan yang dikenali sebagai ‘Ashes’ yang amat digemari Australia - England. Ashes adalah pertandingan yang sudah berlangsung bertahun-tahun lamanya untuk memenangi tinggalan wiket hangus, yang disimpan dalam kendi di MCC London.

Minat Australia terhadap permainan ini terbukti di gelanggang – Pasukan kriket Australia menduduki tempat pertama dalam ujian kriket dan tempat kedua dalam pertandingan sehari antarabangsa. Kami mengagumi dan memuja pembaling pantas, pembaling putar dan pembaling sederhana, bahkan juga pembaling bawah bahu kami! Wira kriket kami termasuk Sir Donald Bradman, Ritchie Benaud, adik beradik Chappell, Lillee, Thomo & Max, adik beradik Waugh, Shane Warne, dan Glen McGrath. Kriket telah mewujudkan wira negara, dan mencipta detik-detik manis sukan negara yang terunggul.

Ia berasal daripada permainan bangsawan yang dimainkan berkurun-kurun yang lalu, namun kini dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat. Para pemain mematuhi tradisi berhenti untuk makan tengah hari, semasa hujan dan jika cahaya tidak cukup terang. Sementara para ahli berbangga dengan kedudukan mereka di tempat duduk khas, para ‘yobbo’ pula memberi sokongan hebat mereka dari “bukit”.

Kriket menghembus semangat perpaduan yang membawa para peminat permainan ini dari serata dunia untuk menyaksikan wira-wira mereka. Para peminat menyusun dan melancong bersama, disatukan oleh semangat muhibah dan kesetiaan yang tidak pernah luput terhadap pasukan mereka. Pasukan British mempunyai Barmy Army mereka, manakala penyokong pasukan Australia pula dikenali sebagai Fanatics. Tonton bagaimana para peminat ini bangun bersorak penuh gembira dan mengajukan kata-kata ‘howzat? ’ apabila pengadil menuding ke langit untuk memuji kehebatan pembaling atau pemadang (fieldsman). Saksikan pemukul bola tunduk malu apabila dia dipanggil keluar.
 
Bagi yang belum memahami, permainan bangsawan ini mempunyai istilah uniknya yang tersendiri. Tonton sebarang permainan dan anda akan mendengar para pengulasnya menyebut innings dan overs, silly mid on, silly mid off, slips, ducks dan golden ducks, googlies, fours, sixes, dan centuries. Inning adalah satu pusingan iaitu apabila satu pasukan memukul dan over adalah bilangan tukaran yang dibuat oleh pembaling. Terdapat enam balingan bagi setiap tukaran sebelum pembaling baru datang dari hujung bertentangan gelanggang.

Jika anda menghadiri pertandingan kriket anda yang pertama, latar belakangnya adalah seperti berikut. Dua pemukul berdiri di hadapan tiga wiket di setiap hujung gelanggang. Pemukul menghadap pembaling, dan berusaha untuk memukul bola yang dibaling oleh pembaling sejauh mungkin sebelum ia dipintas oleh pemadang. Sebaik sahaja bola dipukul, pemain berlari di antara wiket sementara pemadang berlari dan menjunam untuk mendapatkan bola dan membaling kembali kepada penjaga wiket. Penjaga wiket mempunyai kewajipan untuk menjatuhkan wiket dan mendapatkan pengisytiharan daripada pengadil bahawa pemukul telah keluar. 

Di Australia, gelanggang kriket seolah-olah padang yang ‘suci’. Para penonton duduk di tempat duduk arena bertaraf dunia, dan tidak pernah melangkah masuk ke kawasan permainan. Gelanggangnya luas, dan menjadi bahan bualan di meja-meja makan seolah-olah mereka teman lama yang diperbualkan - the Gabba di Brisbane, The Wacca di Perth, SCG di Sydney dan gelanggang sukan yang tiada tolok bandingannya yang dikenali sebagai ‘g’, atau MCG di Melbourne. Di arena epik seperti ini, ‘enam’, di mana bola meninggalkan kayu pemukul dan terbang di udara tanpa sebarang gangguan menuju ke tempat duduk penonton, dinobatkan sebagai pencapaian sukan yang paling unggul. ‘Empat’ memperlihatkan pemadang berlari sepanjang ukur lilit arena dan menggelecek ke dinding tempat duduk dalam usaha untuk menghentikan bola.

Pada musim panas, warga Australia menonton kriket di kaca televisyen di rumah mereka, pub dan cermin-cermin tingkap kedai, dan membincangkan pertandingan ini di kafe dan bar. Orang ramai berduyun-duyun dari serata bandar untuk ke gelanggang kriket. Dari tepi pantai hinggalah ke perhentian bas, peminat mendengar keputusan melalui radio yang diletak berhampiran telinga mereka berkongsi maklumat mata yang dicapai 4 untuk 460 atau ‘diisytiharkan’ dengan individu di sekeliling mereka.

Anda akan melihat pasukan Australia berhadapan dengan pasukan Hindia Barat dan Pakistan sambil mereka mengadakan lawatan ke seluruh Australia sepanjang musim panas kriket. Pertandingan terbesar, The Ashes, akan berlangsung pada tahun 2010. Jika anda datang ke Australia, tontonlah kriket! Musim panas tidak sempurna tanpanya.

 

Cari acara









Idea Australia selanjutnya