Acara luncur air Australia

Acara luncur air Australia

Luncur air sentiasa meriah di Australia, di mana ombak besar menakjubkan memecah pantai di sepanjang tiga jalur pantai. Namun aksi luncur air benar-benar meriah antara bulan Februari hingga April, apabila Australia menjadi tuan rumah bagi Siri Kelayakan Dunia. Saksikan peluncur air pujaan ramai membelah ombak yang tiada pengakhiran di Snapper Rocks Superbank dalam acara Quicksilver Pro Gold Coast. Di Surfest, mereka mempamerkan kemahiran melakukan right-handers yang dramatik di Pantai Mereweather Newcastle. Margaret River merupakan ibu pejabat de-facto bagi peluncur air profesional semasa acara Drug Aware Pro. Para elit luncur air kemudiannya berpindah ke Pantai Bells yang menjadi ikon untuk acara Rip Curl Pro pula. Terpegun dengan aksi luncur air yang hebat, sertai festival muzik dan parti yang sedang berlangsung atau luangkan masa untuk menerokai beberapa destinasi pantai ikonik di Australia.

 

Quicksilver Pro Gold Coast, Queensland

Hayati suasana penuh bersemangat di Gold Coast sepanjang dua minggu berlangsungnya Quicksilver Pro yang merupakan pembukaan Siri Dunia menjelang akhir Februari. Kedua-dua peluncur air dan peminatnya amat menggemari acara ini. Suasana harapan yang tinggi dan pasir pantai yang putih bersih, ombak besar yang terkenal di seluruh dunia serta suasana parti yang penuh bertenaga menjadi tumpuan. Di sinilah juara peluncur air dunia dimahkotakan dan peluncur air memanaskan badan untuk meraih gelaran dunia yang berikutnya. Saksikan mereka melakukan aksi memukau di Kirra, Broadbeach dan Snapper Rocks Superbank yang menjadi legenda kerana ombak di sini adalah antara yang terpanjang di dunia. Acara ini menetapkan rentak bagi siri ini, dengan pemenang Gold Coast sentiasa menjadi pencabar terkuat semasa pusingan akhir di Hawaii.

Surfest, New South Wales

Menuju ke Pantai Merewether di Newcastle, dua jam ke utara Sydney, untuk Surfest pada awal Mac. Bermula pada tahun 1985 untuk mempromosikan pantai luncur air Newcastle yang indah, Surfest telah menjadi antara festival luncur air terbesar di Australia. Ia merangkumi dua acara Siri Kelayakan Dunia – Burton Toyota Pro 4-bintang untuk lelaki dan Newcastle Open 1-bintang untuk wanita. Anda juga akan mendapati banyak acara luncur air yang ditawarkan. Bersorak untuk para grommet dalam pertandingan sekolah rendah dan sekolah tinggi atau saksikan peluncur Orang Asli yang berbakat mengukir ombak dalam acara Indigenous Classic. Lebih 10,000 orang membarisi Pantai Merewether untuk menyaksikan peluncur air menguji kemahiran mereka dalam ombak right-hand breaks dan southerly swells yang menjadi legenda.

Drug Aware Pro, Australia Barat

Sehingga 200 peluncur air terhandal berhimpun di Surfers Point di Margaret River untuk Drug Aware Pro yang merupakan acara ‘rating utama’ pada pertengahan Mac. Ia menyaksikan persaingan sengit untuk gelaran juara dengan hadiah bernilai sekitar AU$100,000 serta mata rating yang bernilai bagi Siri Kelayakan Dunia. Sambil anda menikmati luncur air yang menguja dan tinggi pertaruhannya, anda juga boleh menikmati acara muzik, seni dan fesyen. Dengarkan aksi muzik Australia yang hebat di festival muzik dan lihat pameran seni sambil menguji deria rasa anda dan bersiar-siar di sekitar Margaret River yang indah. Di samping ombak, wilayah ini terkenal dengan wainnya yang bertaraf dunia, gua bawah tanah yang menakjubkan dan hutan karri yang tinggi menjulang.

Rip Curl Pro Pantai Bells, Victoria

Setiap Easter, komuniti luncur air antarabangsa berkumpul dan berkhemah di Surf Coast Victoria untuk Rip Curl Pro, pertandingan luncur air terpanjang di dunia. Juara dunia Kelly Slater, Mick Fanning dan Mark Richards semuanya telah menempa kemenangan di sini, meluncur ombak setinggi 5 meter. Pantai Bells terkenal kerana ombak right-hand reef break gred A dengan dua bahagian yang jelas berbeza. Saksikan superstar luncur air menangani ombak curam yang dihasilkan di ‘The Bowl’ atau ombak ‘Rincon’ yang lebih kecil. Anda akan menjadi salah seorang daripada ribuan yang membarisi astaka cenuram di sini. Di samping luncur air elit, acara ini turut memperlihatkan antara bakat muzik terhebat Australia dalam festival muzik yang diadakan sepanjang cuti hujung minggu Easter yang lebih panjang.

Cari acara









Idea Australia selanjutnya