Sydney Royal Easter Show

Sydney Olympic Park, NSW. © Hamilton Lund & Destination NSW

Sydney Royal Easter Show

26 Mac – 8 April 2015
Sydney Showground, Sydney Olympic Park, , Sydney, NSW

Diadakan selama dua minggu sekitar perayaan Easter, acara terbesar tahunan Australia ini meraikan budaya yang kaya dan pelbagai – satu-satunya masa dalam setahun apabila bandar paling antarabangsa di negara ini kembali kepada asalnya dengan memberikan pengiktirafan kepada asal-usul negara dan tradisi luar bandar.

Mengapa anda perlu hadir

1. Bila bercakap tentang hiburan unik, Sydney Royal Easter Show mempunyai segala-galanya. Daripada persembahan yang memang digemari, hinggalah acara dan daya tarikan baru, barisan persembahan hiburan pada pertunjukan ini akan menguja baik yang muda mahupun yang tua. Anda tentu tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan program hiburan malam yang baru ini, yang menampilkan acara kemuncak pertunjukan bunga api di Spotless Stadium.

2. Sebagai salah satu daripada 10 acara teratas seumpamanya di dunia, Sydney Royal Easter Show ialah gabungan unik pertandingan dan hiburan yang tidak terdapat di mana-mana di dunia.

3. Sertailah acara yang tidak dapat dilupakan ini, yang sejak tahun 1823 telah menyatukan penduduk tempatan dan pengunjung di satu lokasi – iaitu di Sydney Olympic Park - untuk menyaksikan begitu banyak jenis kemahiran, acara dan aktiviti yang menakjubkan, yang lazimnya hanya dapat dilihat di kawasan pedalaman Australia.

4. Pernahkah anda terfikir mahu memandikan khinzir, mengusap-usap alpaka, memerah susu lembu, memegang anak itik atau memberi makan anak biri-biri? Bagi ramai pengunjung, haiwan ialah bintang utama pertunjukan ini. Cara terbaik untuk melihat semua bintang haiwan ini adalah dengan mengikuti Animal Walk. Lebih 14,000 ekor haiwan – sesetengahnya hanya terdapat di Australia – akan bersaing untuk memenangi reben Sydney Royal.

5. Di mana lagi dapat anda menyaksikan khinzir menyelam, salah satu acara kegemaran tahunan, di mana khinzir terlatih akan melompat dari platform setinggi dua meter ke dalam kolam dan disertai tepukan gemuruh para penonton?

6. Lawatan ke Sydney Royal Easter Show tidak akan lengkap tanpa melihat Daerah Pameran yang terkenal di seluruh dunia di Woolworths Fresh Food Dome. Paparan tinggi ini adalah yang terbesar bagi yang sepertinya, dengan setiap paparan mengandungi lebih daripada 10,000 kepingan buah, sayur dan bijirin yang disusun dalam bentuk yang menakjubkan.

7. Perhatikan kuasa, keghairahan dan ketelitian dalam pertandingan memotong kayu terbesar di dunia yang disertai oleh pemotong kayu dari serata pelosok dunia. Pertandingan ini diadakan di Woodchop Stadium yang dibina khas; acara ikonik ini adalah antara daya penarik paling popular pada Sydney Royal Easter Show.

8. Hidangan keju dan deli, jagung panggang yang rangup, ritma batu yang paling segar dan salad buahan-buahan enak Sydney Royal – anda dapat menemui segala-galanya di Sydney Royal Easter Show. Di Woolworths Fresh Food Dome anda boleh dapati madu terbaik Australia dan De Costi Wine and Oyster Bar tempat anda boleh menyaksikan mereka mengupas kira-kira 350,000 ekor tiram dan menghidangkan sekitar 500,000 ekor udang sepanjang tempoh dua minggu acara ini berlangsung. Penggemar makanan berpeluang bertemu dengan pengeluar, berbual dengan pakar dan merasai keluaran tani yang pernah memenangi anugerah di sesi popular Sydney Royal Talk & Taste. Di sini juga tersedia makanan kegemaran ramai yang mungkin tidak pernah anda jumpa di tempat lain, seperti Cheese On A Stick (40,000 batang dijual pada persembahan tahun 2013). Siapakah juara sekarang? The Waffle Dog, iaitu hot dog dicucuk lidi yang disalut tepung sadur wafel. Jangan risau, di sini juga terdapat makanan ringan yang sihat.

9. Sementara itu, penggemar fesyen disarankan melawati Fashion & Style Pavilion, di mana anda akan menemui fesyen dan barang kemas butik terbaik Australia serta beg tangan, kosmetik, kulit dan kashmir buatan tangan tempatan.

10. Sydney Royal Easter Show menempatkan tapak pesta ria terbesar di Australia, termasuklah Coca-Cola Carnival dan Kids Carnival. Pengunjung yang sukakan cabaran akan berpusing, diterbalikkan dan berputar apabila menaiki beberapa mainan yang mencabar ini. Bagi kanak-kanak dan orang tua pula, ada banyak pilihan permainan yang mesra keluarga yang boleh anda nikmati.

Apa yang perlu diperhatikan

Rancang lawatan anda sekitar Grand Parade, yang memaparkan semua haiwan yang telah memenangi hadiah dalam paparan koreografi yang menakjubkan.

Luangkan masa untuk aksi koboi Australia di gelanggang Sydney Royal Rodeo dan nikmati makanan dan wain Australia di Woolworths Fresh Food Dome.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan hiburan malam yang luar biasa, percuma dengan tiket masuk!   

Cara ke sana

Walaupun ada beberapa tempat letak kereta awam yang besar di Sydney Olympic Park, cara terbaik untuk pergi dan balik dari pertunjukan ini adalah dengan pengangkutan awam.

Kereta api dan bas pergi terus ke Sydney Olympic Park, dengan kosnya disertakan dalam harga tiket masuk pertunjukan ini.

Untuk maklumat lanjut

www.eastershow.com.au
#eastershow
@eastershowtweet

Cari acara









Idea Lebih Lanjut mengenai Australia