The Taste of Tasmania

The Taste of Tasmania, Hobart, TAS. © Tourism Tasmania & Sean Fennessy

The Taste of Tasmania

28 Disember 2014 – 3 Januari 2015
Hobart, Tasmania

The Taste of Tasmania ialah salah satu festival makanan paling popular di Australia. Pemilik gerai menggunakan kreativiti masing-masing untuk mempersembahkan pelbagai hidangan daripada burrito walabi bagi pengunjung yang sukakan kelainan hingga makanan kegemaran keluarga iaitu hidangan ikan dan kentang goreng yang baru dimasak. Festival ini juga menganjurkan parti Malam Tahun Baru untuk dinikmati semua daripada persembahan secara langsung hingga pertunjukan bunga api tengah malam bagi menandakan tibanya Tahun Baru.

Mengapa anda perlu hadir

1. Tasmania mungkin kecil dari segi saiz namun amat besar dari segi suasana pemakanan di Australia. Negeri pulau ini memperagakan hasil tani yang menakjubkan dan pandangan kulinari yang canggih di Taste of Tasmania – acara tepi pantai yang menarik 300,000 orang pengunjung yang lapar setiap tahun. Festival ini dibuka dari jam 11 pagi hingga 11 malam (pada Malam Tahun Baru ia dibuka sehingga jam 1 pagi), anda boleh saja singgah untuk menikmati sarapan lewat pagi, makan tengah hari, minum petang, makan malam, malah hidangan lewat malam.

2. Temui sesuatu yang amat berbeza: penyedia makanan amat kreatif dalam menghasilkan sensasi rasa yang baru untuk acara ini. Antara hidangan yang pernah dihasilkan termasuklah burrito walabi yang dimasak perlahan, posum Bruny Island yang dimasak dengan lemak itik, bawang putih dan beri cili Tasmania. Peminat makanan laut boleh mencuba tiram dengan kuah Pernod, bawang merah, taragon dan minyak zaitun, sosej ikan trout dan salmon laut, atau kupang Thailand yang direbus carak di dalam cider.

3. Anda sukakan manisan? Cubalah hidangan kanoli bersumbat ceri, kelapa panggang, coklat susu dan ricotta kacang hazel, serta satu lagi yang disumbat strawberi balsam dan selasih. Anda juga boleh menuju ke trak ais krim berwarna hijau putih zaman 1960-an untuk mencuba ais krim sundae yang begitu sedap: gabungan kepingan brownie coklat, kacang masin, sos fudge coklat dan serbuk sorbet di atas ais krim yang baru saja siap diproses.

4. Pelajari tentang wain iklim sejuk Tasmania, wiski sulingan gambut, cider dan suasana pembuatan bir khas. Acara ini menampilkan karya hidangan lazat para pengeluar daripada yang bersaiz butik hinggalah yang beroperasi besar-besaran. Inilah peluang anda untuk melihat dan merasai hidangan bertaraf dunia di Tasmania dan memahami sendiri mengapa Tasmania kini semakin menempa nama bagi pengeluaran wiskinya. Terokai Tasmanian Whisky Trail (www.taswhiskytrail.com) yang baru diperkenalkan dan temui para pengeluar wiski bertaraf dunia yang bersemangat ini. Cider juga mula terkenal di Apple Isle sehinggakan negeri ini baru-baru ini membangunkan “Cider Trail” secara rasmi (www.tascidertrail.com). Pembuat cider tertumpu di sekitar Launceston di utara dan Hobart di tenggara – namun Taste of Tasmania telah menyatukan pengeluar Wiski dan Cider.

5. Untuk pengalaman pesta yang lebih mendalam, anda boleh melihat kerja-kerja di belakang tabir dengan menempah Taste It Tour atau mempelajari tentang wain, bir dan cider Tasmania secara langsung daripada pengeluarnya sendiri dalam acara Tasting Table. Kids in the Park pula menawarkan aktiviti berjadual bagi kanak-kanak, termasuklah aktiviti memasak dan demonstrasi menanam sayur-sayuran sendiri. Setiap malam filem bersifat kekeluargaan akan ditayangkan di Twilight Cinema festival ini.

6. Terokai kawasan sekitar kerana lokasi sisi pelabuhan Taste of Tasmania adalah dalam jarak berjalan kaki dari kawasan bersejarah Salamanca Place, iaitu perkampungan maritim lama Battery Point dan bandar Hobart.

7. Cari tempat sesuai di kawasan Salamanca Lawns yang indah kerana ia tempat terbaik untuk bergaul dan bersantai di bawah pokok Plane dan menikmati suasana festival di luar bangunan ini.

Apa yang perlu diperhatikan

Tempat terbaik untuk menyaksikan pertunjukan bunga api Malam Tahun Baru Hobart adalah di tepi pantai di bandar ini. Persembahan bunga api keluarga berlangsung pada jam 9.30 malam dan pada tengah malam, Tahun Baru disambut dengan pertunjukan bunga api buat kali kedua. Berlatar belakangkan kapal layar dan jalan-jalan tanah pasir bersejarah, The Taste of Tasmania menawarkan pengunjung pemandangan hebat pertunjukan bunga api di Sullivans Cove. Dapatkan tiket bagi perayaan Malam Tahun Baru – ia bermula pada jam 7 malam – anda boleh menari sepanjang malam sambil menikmati makanan dan wain Tasmania yang enak.

Cara ke sana

Terbang ke Hobart dari Melbourne (75 minit), Sydney (kira-kira dua jam) atau mana-mana bandar besar di Australia. Anda juga boleh menyewa kereta, atau menaiki bas ulang-alik, atau teksi untuk ke pusat bandar.

The Spirit of Tasmania meninggalkan Melbourne, berlayar sepanjang malam, dan berlabuh di Devonport. Hobart terletak sekitar 2.5 jam perjalanan. Anda juga boleh memilih untuk menerokai negeri ini dan memulakan pengalaman The Taste of Tasmania anda dengan menuju ke pantai timur dan mencuba beberapa wain tempatan terus dari kilang pengeluarnya, atau tiram segar dari laut.

Untuk maklumat lanjut

www.thetasteoftasmania.com.au
#tasteoftasmania
facebook.com/thetasteoftasmania
@TasteofTasmania

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia