Australian Grand Prix Formula 1

Australian Grand Prix Formula 1, VIC. © Australian Grand Prix Corporation

Australian Grand Prix Formula 1

12 – 15 Mac 2015
Albert Park, Melbourne

Rasai getaran enjin kereta paling mahal di dunia sambil menyaksikan pemandu terhandal Formula One saling berlumba di litar jalanan tepi tasik di Albert Park yang indah, di Melbourne. Lokasinya di tengah-tengah di antara latar langit bandar yang tinggi menjulang dan Port Phillip Bay, menjanjikan imej TV yang menakjubkan – namun lebih hebat jika anda mengalaminya sendiri.

Mengapa anda perlu hadir

1. Sertai perlumbaan yang paling dinanti-nantikan dalam kalendar Formula One, iaitu perlumbaan pembukaan musim. Pada bulan Mac setiap tahun, acara paling berprestij di dunia ini akan berlangsung di Melbourne. Para pelumba elit dan personaliti terkenal akan berpusu-pusu ke Albert Park, dengan pasukan dan pelumba menguji kereta mereka buat kali pertama sambil diperhatikan dunia.
Kagumi bagaimana taman di dalam bandar berubah menjadi litar lumba berkelajuan tinggi, yang merupakan salah satu antara lima litar jalanan dalam musim Formula One.

2. Saksikan mengapa ramai pemandu dan pasukan mereka mengangkat Australian Grand Prix menjadi perlumbaan kegemaran mereka. Anda juga akan menyukai suasana santai, lokasi hebat dan operasi lancar ini, sama seperti mereka.

Dapatkan tiket untuk Formula One Paddock Club™, atau “Golden Mile” yang merupakan syarikat hospitaliti korporat yang terkemuka di dunia. Dengan letaknya yang betul-betul di atas garaj pasukan dan berhadapan dengan laluan pit, anda akan berpeluang melihat secara dekat aksi yang mengujakan ini. Di sini, anda akan bersentuh bahu dengan personaliti terkenal seperti John Travolta, Lenny Kravitz dan Nicholas Cage yang pernah hadir pada tahun-tahun sebelumnya. Torque Bar, satu lagi ruang istirahat tajaan syarikat menyediakan sudut pandangan yang hebat dan amat sesuai untuk menyaksikan kereta memecut keluar dari laluan pit.

3. Temui peminat lumba kereta yang lain di Pentas Autograf pada hari Khamis apabila para pemandu menurunkan tandatangan mereka yang amat berharga sebelum sesi latihan pertama pada hari Jumaat.
Tujui Formula One Paddock tempat para pemandu dan pasukan mereka bersantai di dalam suit layanan khas mereka semasa sesi trek berehat. Pemilik tiket pentas utama dan korporat kadang kala berpeluang untuk berbual sebentar dengan para pemandu jika mereka menunggu di luar pintu masuk Paddock.

4. Pemegang tiket Awam disarankan untuk berada di Brocky’s Hill untuk menikmati suasana perlumbaan Grand Prix yang mencemaskan ini. Dari sini anda akan dapat melihat kereta memecut keluar dari selekoh sembilan dan sepuluh ke jalan lurus terpanjang dalam litar ini, yang pastinya menjanjikan kelajuan tinggi.

5. Gegarkan segala deria anda. Daripada bau tayar terbakar dan bunyi ciutan tayar kereta sehingga rasa minuman champagne terbaik, Formula One menawarkan gabungan sensasi yang unik.

6. Namun, perlumbaan ini bukanlah satu-satunya daya penarik yang ada. Selama empat hari, anda dapat melihat V8 Supercar, Porsche Carrera Cup, kereta bersejarah dan persembahan aerobatik persis oleh pasukan tentera udara Royal Australian Air Force. Pertunjukan lagak ngeri, kumpulan rock dan hiburan keluarga juga tidak ketinggalan.

7. Sebagai bandar kedua terbesar di Australia, Melbourne terkenal dengan makanan, bar dan kafe, muzium dan galeri, tempat membeli-belah dan gaya hidup santai. Ia mempunyai reputasi sebagai bandar paling canggih di Australia.

Apa yang perlu diperhatikan

Jika anda hanya boleh datang sehari sahaja, anda mesti hadir pada acara hari Sabtu. Dengan perlumbaan litar paling banyak, termasuklah dua sesi Formula One, ini merupakan peluang terbaik anda untuk melihat segala yang ditawarkan oleh acara ini.

Antara semua parti eksklusif, parti pelancaran musim Red Bull Racing adalah yang paling popular...itu pun jika anda berjaya mendapatkan jemputan.

Hanya beberapa minit jauhnya dengan berjalan kaki dari Pintu Satu Albert Park Grand Prix Circuit terdapat Middle Park Hotel, yang disarankan sebagai tempat terbaik untuk mendapatkan minuman menyegarkan selepas perlumbaan berakhir.

Cara ke sana

Tiga laluan trem khas untuk Grand Prix beroperasi selama empat hari acara berlangsung dan ia percuma untuk pemegang tiket. Perkhidmatan bas percuma juga disediakan dari Crown Casino. Teksi dan limusin menghantar penonton sehingga hampir dengan pintu-pintu masuk. Anda juga boleh berjalan kaki: Albert Park terletak hanya 3 km dari CBD Melbourne.

Untuk maklumat lanjut

www.grandprix.com.au

Cari acara









Idea Lebih Lanjut mengenai Australia