Vivid Sydney

Vivid Sydney, Sydney, NSW. © David Clare & Destination NSW

Vivid Sydney

Mei – Jun 2015
Sydney, New South Wales

Lihat Sydney dalam sinaran cahaya baru semasa acara tahunan Vivid Sydney. Setiap musim sejuk, pereka bentuk dan artis terbaik di dunia mengubah bandar ini. Lihat imej menakjubkan yang ditayangkan pada Sydney Opera House, kawal cahaya di Harbour Bridge, bermain dengan arca cahaya interaktif di seluruh pusat bandar, alami muzik hebat dan dengar ceramah muzik yang memberikan inspirasi.

Mengapa anda perlu hadir

1. Usaha yang bermula sebagai idea untuk meningkatkan perniagaan semasa musim sejuk di pusat bandar Sydney kini menjadi salah satu kejayaan besar bandar ini. Vivid bermula pada tahun 2009 dengan empat elemen tetapi kini ia telah diperkemas menjadi tiga konsep ringkas – cahaya, muzik dan idea – yang dibentangkan merentasi 18 hari. Acara ini kini amat popular dan ia menarik minat kira-kira 1.5 juta pengunjung setiap tahun.

2. Jangan lupa bawa kamera dan terokai Sydney dengan sudut pandangan berbeza. Bandar pelabuhan Australia ini memang kelihatan indah pada waktu siang, tetapi dengan bantuan artis dan pereka bentuk terkini dunia ia berubah menjadi sesuatu yang menakjubkan dengan arca seni cahaya, projeksi besar dan binaan hasil seni di tempat-tempat yang tidak diduga.

3. Pengunjung yang kerap menghadiri festival menanti-nantikan acara utama Vivid: pencahayaan layar Opera House. Sebelum ini, layar ikonik ini menjadi kanvas untuk penayangan imej termasuk kulit ular, sayap rama-rama dan corak berilhamkan angkasa, tidak ketinggalan imej daripada pemuzik Brian Eno dan Laurie Anderson.

4. Walaupun kebanyakan aktiviti bercahaya ini tertumpu di Circular Quay dan Darling Harbour, Vivid Sydney telah mengembangkan sayapnya ke lima buah lagi kawasan baru, yang kesemuanya berdekatan CBD: Martin Place, Sydney Harbour, Carriageworks di Eveleigh, University of Sydney di Camperdown dan The Star di Pyrmont. 

5. Banyak pemasangan cahaya yang interaktif yang menjanjikan keseronokan berjam-jam. Pada tahun 2014, kesemua 56 pemasangan – yang dicipta oleh 140 artis dari 15 negara – termasuklah karya yang membolehkan pengunjung festival menayangkan imej 3D wajah mereka pada suatu kepala raksasa.

6. Kenderaan air pelabuhan Sydney juga turut serta dalam keseronokan acara Vivid ini. Feri, bot persiaran dan teksi air dihias cantik dengan lampu bercahaya terang sepanjang festival.

7. Darling Harbour memaparkan jet air “menari”, arca air pancut, laser bercahaya penuh, projeksi video dan pertunjukan bunga api marin semasa festival Vivid. 250,000 pengunjung menyaksikan acara yang berlangsung setiap jam dari pukul 6 petang hingga 11 malam, dengan persembahan tambahan pada hari Sabtu.

8. Program muzik terkini Vivid memainkan semua jenis lagu seperti genre indie, pop dan konsert rock hinggalah orkestra klasik – antara artis yang pernah membuat persembahan termasuklah The Pixies, Pet Shop Boys dan Lauryn Hill. Persembahan ini berlangsung di pelbagai lokasi daripada ruang bawah tanah yang kecil hingga Sydney Opera House Concert Hall yang hebat itu.

9. Vivid Ideas merupakan keraian tahunan Asia Pasifik bagi industri kreatif. Ceramah pakar meliputi topik seperti fesyen, reka bentuk, filem, animasi, seni bina, media digital, perniagaan dan banyak lagi.

10. North Sydney sekali lagi menjadi sebahagian Vivid Sydney dengan kawasan perniagaan North Sydney dilimpahi cahaya di samping memberikan pemandangan yang menakjubkan di bandar ini.

Apa yang perlu diperhatikan

Sydney Harbour Bridge boleh dipanjat sepanjang tahun tetapi ia amat menakjubkan terutamanya semasa acara Vivid. Panjatlah jambatan ini untuk menikmati pemandangan malam saujana mata memandang, melihat projeksi layar Opera House dan cahaya di mercu tanda lain dalam bandar. Beberapa tahun ini, pengunjung yang memanjat jambatan memakai anak baju bercahaya untuk menjadi sebahagian daripada persembahan cahaya. Pada tahun 2014, BridgeClimb melangkah setapak lagi – dengan menambah pemasangan lampu berbentuk bintang di puncak jambatan yang berdenyut mengikut rentak degupan jantung pendakinya.

Cara ke sana

Jangan lupa memakai kasut sukan yang selesa. Cara terbaik untuk menikmati festival Vivid adalah dengan berjalan kaki, jadi mulakan perjalanan anda di Circular Quay, berjalan ke Martin Place dan terus e Darling Harbour. Bas selalunya akan ke kasino The Star dan University of Sydney; anda boleh mengambil teksi ke Carriageworks.

Untuk maklumat lanjut

www.vividsydney.com
#vividsydney

Cari acara









Idea Lebih Lanjut mengenai Australia