Ord Valley Muster, Australia Barat

Ord Valley Muster, Australia Barat

Bulan Mei ini, berkunjunglah ke Kununurra untuk Ord Valley Muster, perayaan selama dua minggu mengenai gaya hidup East Kimberley. Anda akan bertemu dengan beribu-ribu orang tempatan yang peramah di lebih 50 acara merentasi landskap kawasan ini yang kasar dan menakjubkan. Bersedia dengan pakaian yang sesuai untuk pengembaraan kenderaan pacuan empat roda, berenang merentasi Lake Argyle atau tungganglah basikal gunung sepanjang Gibb River Road. Rasai hasil Kimberley yang segar dan nikmati muzik dan tarian Aboriginal. Sertai perayaan jalanan, menggali berlian atau tonton aksi hebat penunggang kuda di rodeo. Satu lagi tarikan yang tidak wajar dilepaskan ialah Kimberley Moon – konsert muzik unggul di tebing Ord River.

Penerbangan ke utara dari Perth ke Kununurra, pintu gerbang kepada lanskap liar dan meluas di East Kimberley memakan masa selama tiga jam. Kawasan ini paling terkenal dengan tarikan semula jadinya yang menonjol seperti menara berbentuk sarang lebah di banjaran Bungle Bungle, Lake Argyle yang luas, Ord River dan air terjun bertingkat di Mitchell Plateau. Anda pasti akan terpegun dengan kemesraan, layanan dan sikap berbeza penduduk tempatan di sini semasa Ord Valley Muster.

Semangat kemasyarakatan jelas ketara semasa pengembaraan kenderaan pacuan empat roda Ord Valley. Pergilah ke garis permulaan untuk melihat pasukan-pasukan berpakaian seperti penyelamat, bintang lagu Country dan Western serta mak nyah melakukan pemeriksaan terakhir kenderaan mereka. Anda juga boleh menyertai kemeriahan ini, sambil melakukan aktiviti yang melibatkan pentafsiran petunjuk dan pegawai marshal tempat pemeriksaan yang gemar berjenaka dalam perlumbaan menerusi permukaan berbonggol-bonggol merentasi East Kimberley.

Suasana ternyata berbeza di Lake Argyle Classic – lokasi satu-satunya perlumbaan renang maraton air tawar terbuka di dunia. Berilah sokongan anda sambil melihat kumpulan berenang secara solo, berpasangan dan pasukan berempat dari seluruh Australia berenang sejauh 10km dan 20km merentasi Lake Argyle, tasik buatan manusia terbesar di negara ini. Tahap kecekalan yang sama juga diperlukan oleh para peserta cabaran basikal gunung Gibb River Road. Perlumbaan laluan lumpur sejauh 800km ini diadakan merentasi masa lima hari dalam pusingan 20km.

 Anda akan melihat banyak lagi pendekatan unik Kimberly mengenai pengembaraan kawasan pedalaman di Ord Valley Muster Motorcross Classic – gabungan aksi udara, aksi lompatan tinggi dan pertunjukan bunga api yang menakjubkan. Kemudian, saksikan aksi hebat penunggang kuda dari stesen tempatan bersaing dalam Station Challenge Rodeo. Selepas acara ini tamat, anda boleh menari ligat mengikut muzik Country dan Western secara  live.

Program Muster ini turut memaparkan banyak lagi aspek penting kehidupan dan budaya East Kimberley. Saksikan tarian aluan tradisional Aborigin atau karnival bola keranjang untuk remaja Aborigin. Meredah lubang berlian sementara untuk mencari berlian Kimberley yang amat cantik atau lawati Argyle Diamond Mine, di mana berlian merah jambu yang sukar ditemui didapatkan. Kunjungi pameran seni dan belajar cara menyediakan makanan tempatan dalam kelas memasak unggul. Bersiar-siar di sekitar jalan Kununurra dengan pemuzik, penari, akrobat, penjugel dan pelawak di perayaan jalanan Arts Council. Setidak-tidaknya, bersantailah di Muster Bar yang menawarkan canapés percuma, minuman pada harga pengembala, hadiah-hadiah dan muzik  secara live.

Mengakhiri muster ialah Kimberley Moon Experience, konsert muzik tempatan yang terbesar. Setiap tahun, ia akan menarik kunjungan lebih dari 4,000 orang yang berhibur sambil menyanyi dan menari di tebing Ord River. Menarilah diringi dendangan lagu artis tempatan dan terkemuka Australia seperti James Blundell, Marcia Hines dan Hoodoo Gurus. Dapatkan tiket umum atau nikmati bakul berkelah gourmet dan tempat duduk terbaik di pantai di dalam bulatan perak. Walau di mana sekalipun anda duduk semasa konsert berlangsung, anda mendapat pemandangan hebat untuk pertunjukan bunga api semasa penutup, mewarnai langit luas Kimberley yang dipenuhi bintang.

Ord Valley Muster ialah masa terbaik untuk meneroka tarikan Kununurra atau menjelajah Kimberly secara lebih jauh. Sewa kenderaan pacuan empat roda dan memandulah mengikut Gibb River Rd ke syurga pesisiran pantai Broome, di mana pantainya berpasir putih lembut dan mempunyai sejarah menternak mutiara yang eksotik. Dari Broome, anda boleh menunggang unta di sepanjang Cable Beach atau alami kehidupan Orang Asli tradisional dalam pengembaraan 4WD di sepanjang Semenanjung Dampier yang indah.

Anda akan bersedia untuk apa sahaja selepas menikmati segala keseronokan yang ditawarkan di Ord Valley Muster.

Idea Australia selanjutnya