Three Sisters, New South Wales

Three Sisters, Blue Mountains National Park, NSW. © Tourism Australia

Three Sisters, New South Wales

Kira-kira dua jam dari Sydney anda akan menemui salah satu tanda tempat yang paling ikonik di New South Wales, iaitu Three Sisters.

Puncak batu pasir ini yang merupakan sebahagian daripada Kawasan Warisan Dunia Greater Blue Mountains, telah terbentuk dan dimamah cuaca selama ribuan tahun dan menjulang tinggi pada ketinggian lebih daripada 900 meter di antara cenuram Jamison Valley. Pemandangan terbaik adalah dari tempat meninjau Echo Point di Katoomba.

Pembentukan luar biasa ini melatari tanah desa tradisional kaum Orang Asli Darug, Gundungurra, Wiradjuri dan Dharwal.

Menurut kisah dongeng Orang Asli, ceracak-ceracak ini dahulunya merupakan tiga orang saudara perempuan yang cantik bernama 'Meehni', 'Wimlah' dan ‘Gunnedoo' yang telah disumpah menjadi batu oleh ketua kabilah yang sangat berkuasa. Gadis-gadis ini telah jatuh cinta kepada tiga orang lelaki yang bersaudara daripada puak lain, tetapi mereka dilarang berkahwin di bawah undang-undang puak mereka. Ketiga-tiga saudara lelaki tersebut mengambil keputusan untuk menangkap gadis-gadis ini sehingga menyebabkan pertempuran besar, lalu ketua puak menyumpah mereka menjadi batu untuk menyelamatkan mereka.

Beliau berniat ingin mengembalikan mereka seperti sediakala selepas pertempuran berakhir, namun beliau sendiri telah terbunuh. Disebabkan hanya ketua yang dapat mengembalikan mereka kepada diri mereka yang asal dan cantik, gadis-gadis ini tetap kekal dalam keadaan batu yang indah ini sebagai peringatan mengenai pertempuran tersebut.

Terdapat beberapa versi kisah Orang Asli tentang Three Sisters ini, namun yang pastinya, ceracakan ini sememangnya mengagumkan.

Lawati Echo Point Visitor Information Centre untuk benar-benar menghargai panorama ini sepenuhnya dan jerebu biru yang terhasil daripada minyak yang keluar dari hutan eucalypt, yang daripadanya kawasan pergunungan ini mendapat nama. Sifat-sifat Three Sisters berubah-ubah sepanjang hari dan sepanjang pertukaran musim manakala cahaya matahari menyerlahkan warna-warnanya yang mengagumkan. Three Sisters juga bermandi cahaya mulai lewat petang setiap hari dan menghasilkan persembahan menakjubkan dengan berlatarkan langit malam.

Echo Point juga merupakan pintu gerbang yang menuju pelbagai aktiviti berjalan kaki dan pengembaraan di alam semula jadi seperti menakik turun, memanjat batu dan menerokai gua. Nikmati pemandangan, sungai, air terjun, hutan, gaung dan cenuram raksasa di salah satu jejak berjalan kaki warisan sepanjang 140 kilometer di seluruh kawasan ini.

Turun hingga ke tahap lembah di ‘Giant Stairway’, denai yang mengandungi lebih daripada 800 anak tangga menuju ke tapak Three Sisters. Di tapaknya, ikuti Scenic Walkway, aktiviti berjalan kaki yang berliku sepanjang 2.4 kilometer pelantar laluan yang akan membawa anda menelusuri hutan hujan purba yang wujud semenjak zaman dinosaur.

Jika anda merasa enggan berjalan kaki, anda boleh menaiki Scenic Railway yang curam dan begitu mengujakan, atau melayang di antara puncak cenuram dan saksikan lelangit hutan hujan melalui lantai kaca Scenic Skyway atau kereta kabel udara gergasi Scenic Cableway.

Terdapat begitu banyak tempat yang mengagumkan dan cara untuk menjelajahi keseluruhan Blue Mountains. Greater Blue Mountains Drive mengandungi 18 buah jejak Warisan Dunia yang amat menghairankan, ia berliku melalui kawasan belantara, desa warisan yang menawan, komuniti perladangan dan ceracak Three Sisters. Anda juga boleh mengikuti lawatan berjalan kaki berpandu selama tiga hari di Six Foot Track dari Katoomba hingga ke Jenolan Caves.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia