Flinders Ranges dan Outback

Flinders Ranges and Outback, SA. © SATC & Paul Torcello

Flinders Ranges dan Outback

Sebatikan diri anda dengan bumi ini di Flinders Ranges yang berceranggah dan menakjubkan serta kawasan pedalaman di South Australia.

Terbang merentasi Wilpena Pound dengan pesawat untuk melihat pemandangan yang indah ini. Cari baiduri dan tidur di bawah tanah di Coober Pedy. Berjalan mengikut denai Heysen, berbasikal lasak di laluan Mawson atau memandu kenderaan pacuan empat roda di laluan yang curam serta sukar dan berbahaya untuk dilalui. Ikut Oodnadatta Track menuju ke Lake Eyre yang terpencil dan selalunya kering. Merasa tumbuhan asli dan belajar tentang seni Orang asli dengan penjaga tradisional kawasan ini. Terokai sejarah pastoral kawasan ini di Wilpena Pound Station. Lihat walabi batu berkaki kuning yang jarang ditemui dan pelbagai jenis haiwan asli dan burung lain yang banyak terdapat di Arkaroola Wilderness Sanctuary ini. Terokai bumi yang hilang di dalam lembangan batu, di kawasan yang muka buminya seakan-akan permukaan bulan, di tasik yang tandus, baiduri dan fosil, taman negara dan seni batu Orang asli.

Lima pengembaraan yang boleh dilakukan di Flinders:

Flinders Ranges, SA
Flinders Ranges, SA

1. Berjalan atau terbang di alam ajaib Wilpena

Naik pesawat untuk melihat pemandangan indah merentasi Wilpena Pound iaitu amfiteater semula jadi yang besar di tengah-tengah Flinders Ranges di Australia Selatan. Dari udara ia kelihatan seperti sebuah dunia purba yang hilang dan dinosaur masih merayau-rayau di sini. Atau berjalan hingga ke lerengnya yang telah terhakis lebih daripada berjuta-juta tahun dari gunung setinggi gunung Himalayas. Berdiri di St Mary’s Peak untuk melihat pemandangan yang mempesonakan merentasi 80 kilometer persegi kawasan kawah yang berceranggah. Meredah belukar di Mount Remarkable di selatan Flinders Ranges dan Gammon Ranges berhampiran Arkaroola Wilderness Sanctuary di utara yang berceranggah. Di sini anda dapat melihat walabi batu yang berkaki kuning dan pemalu serta jarang ditemui dan banyak tumbuhan asli termasuklah bunga liar berwarna merah dan merah jambu yang dipanggil Sturt’s desert pea. Jika anda betul-betul ingin regangkan kaki anda, anda boleh berjalan dari pekan ikonik di pergunungan Parachilna sehingga sampai ke pantai Fleurieu Peninsula melalui Heysen Trail sejauh 1,200 kilometer.

Berbasikal atau memandu kenderaan pacuan empat roda , Wilpena Pound, Coober Pedy, SA
Flinders Ranges, SA

2. Berbasikal atau memandu kenderaan pacuan empat roda

Berbasikal dari Adelaide Hills ke pekan Blinman di Flinders Ranges melalui jalan sampingan dan denai rintis kebakaran hutan sejauh hampir 900 kilometer di Mawson Trail. Anda akan sampai ke pekan bersejarah Lobethal dan Birdwood, Barossa Valley yang terkenal di dunia dan pekan perlombongan lama di Kapunda dan Burra. Jika anda suka mengembara dengan kenderaan pacuan empat roda, ikut denai curam berhampiran Wilmington di Southern Flinders atau Arkaroola di utara. Atau ikut Strzelecki Track menuju ke gurun dengan pemandangannya yang menakjubkan dan melepasi tanah lembap yang indah seperti Coongie Lakes dan Dalhousie Springs. Di Oodnadatta Track anda boleh mengesan laluan perdagangan tradisional Orang asli dan landasan lama kereta api Ghan melepasi Mound Spring, Lake Eyre dan spa artesian semula jadi di Coward Springs Campground.

Coober Pedy, SA
Coober Pedy, SA

3. Pergi ke bawah tanah untuk mencari baiduri

‘Bermain’ –atau cari baiduri, berjumpa orang lain dari seluruh dunia di rumah mereka yang berupa tanah yang dikorek menjadi tempat berteduh serta berkunjung ke galeri seni bawah tanah. Pakai topi keras dan jelajahi sejarah Coober Pedy di lombong yang terbiar dan tidak digunakan lagi yang kini dijadikan sebuah muzium. Atau kenang kembali masa silam ketika perlombongan dijalankan menggunakan penyodok di laluan jalan berliku-liku, di mana masih banyak baiduri terdapat pada dindingnya. Di sini di ibu negeri baiduri dunia, seramai 3,500 penduduk dari lebih daripada 45 buah negara yang berlainan telah pun turun ke bawah tanah untuk berlindung daripada haba yang begitu panas di kawasan pedalaman. Hanya di Coober Pedy anda akan dapat melihat gereja bawah tanah, hotel bawah tanah dan padang golf tanpa seurat rumput pun. Di atas permukaan tanah, kawasan ini mempunyai landskap bagaikan dilanda malapetaka yang dahsyat – seperti di Painted Desert, Moon Plain dan Breakaways – untuk anda jelajahi.

Lake Eyre, SA
Lake Eyre, SA

4. Meredah belukar di kawasan pedalaman sebenar

Selepas hujan lebat, lihatlah ribuan burung undan, burung kedidi berjalur dan burung camar terbang beramai-ramai ke Lake Eyre yang biasanya kering-kontang. Atau berkunjung ke sini ketika tasik ini kering-kontang dan kelihatan seperti sebuah dulang besar mengandungi garam dengan kerak berwarna putih yang dianggarkan seberat 400 juta tan. Memandu kenderaan pacuan empat roda di laluan Birdsville dari Maree yang pada suatu masa dulu adalah tempat tumpuan bagi penunggang unta Afghan, menuju ke Birdsville yang terletak di permulaan Simpson Desert. Lihatlah lautan rabung pasir merahnya dan berendam di dalam air panas purba di Dalhousie Springs yang digunakan oleh suku Orang asli selama berpuluh-puluh ribu tahun. Kagumi oasis gurun di Coongie Lakes yang merupakan habitat kepada hampir 20,000 ekor unggas air dan lebih daripada 150 spesies burung. Kemudian selami warna dan bau kawasan pedalaman ini dengan menginap di ladang pedalaman yang terbentang luas. Ingat, ini ialah desa yang sangat terpencil dan persediaan rapi serta kenderaan pacuan empat roda amat penting.

Iga Warta, SA
Iga Warta, SA

5. Selami sejarah Orang Asli dan geologi

Ketahui tentang warisan budaya dan sosial orang Adnyamathanha dalam lawatan kebudayaan di Lake Eyre dan Oodnadatta Track. Merasa makanan asli (bush tucker), ketahui tentang ubat-ubatan dari belukar dan berkhemah di bawah bintang serta alamilah suasana tasik, gurun dan Dreaming dari kaca mata Orang asli. Atau fahami cerita pembentukan Flinders Ranges dengan memandu sendiri melalui Aboriginal Dreaming Trail selama dua hari. Lihat seni Orang asli di Arkaroo Rock dan lukisan serta ukiran lain Orang asli di Chambers Gorge. Kemudian ketahui dengan mendalam sejarah pastoral kawasan ini dengan menyertai perjalanan yang bermakna melalui Wilpena Station yang cantik pemandangannya. Ketahui lebih lanjut tentang sejarah geologi kawasan ini yang sungguh menarik – termasuklah fosil dan dasar laut purba serta gunung – dengan melawat bersama-sama pemandu pelancong melalui Brachina Gorge.

Gunakan peta untuk menerokia tempat untuk dikunjungi dan aktiviti untuk dilakukan

States
States

Idea Australia selanjutnya

Maklumat Lanjut

Dapatkan maklumat lanjut di laman web Tourism South Australia