Ninety Mile Beach, Victoria

Ninety Mile Beach, Gippsland, VIC.

Ninety Mile Beach, Victoria

Ninety Mile Beach, terletak di kawasan Gippsland di garis pantai tenggara Victoria merupakan salah satu pantai terpanjang tanpa gangguan di dunia. Berdirilah di pantai dan saksikan pantai hilang ke dalam semburan laut masin di kejauhan. Anda mungkin akan mendapati bahawa bekas tapak kaki anda merupakan satu-satunya yang ada di pasir pada hari itu. Ini merupakan salah satu pantai yang paling semula jadi dan tidak tercemar di dunia. Ia amat ideal bagi aktiviti memancing di pantai dan berenang hinggalah berjalan kaki dan memerhatikan ikan paus dan ikan lumba-lumba, atau hanya bersantai di bawah sinar mentari. Cahaya matahari, pasir dan taman negara yang subur semuanya mewujudkan suasana percutian terbaik.

Ninety Mile Beach Victoria merupakan pantai pasir keemasan sepanjang 90 batu yang memisahkan Gippsland Lakes dari Bass Strait. Mengunjur sejauh saujana mata memandang, ia merupakan antara pantai paling semula jadi dan tidak tercemar di dunia. Ia juga merupakan pantai ketiga panjang dan tidak terganggu di dunia.

Pantai ini terletak di pinggir tasik Gippsland Lakes, iaitu sistem air di daratan yang paling besar di Hemisfera Selatan. Pantai Woodside dikenali sebagai permulaan untuk Ninety Mile Beach. Pantai untuk berenang ini dipantau sepanjang musim panas dan kawasan perkhemahan tersedia di taman karavan di tepi pantai.

Bersebelahan dengan Gippsland Lakes Coastal Park, Ninety Mile Beach Marine National Park meliputi garis pinggir laut sepanjang lima kilometer. Pantai ini terbentang di pinggir gumuk pasir yang panjang dan ketiadaan singkapan berbatu atau tanjung tinggi menghasilkan pemandangan pasir dan laut yang tidak berpenghujung. Di bawah air, dataran pasir yang luas mengunjur ke semua arah dan menyediakan tempat perlindungan bagi lebih banyak spesies marin dalam setiap meter persegi berbanding kebanyakan habitat laut di dunia. Taman ini juga kaya dengan sejarah orang asli dan merupakan sebahagian daripada negara kaum Orang Asli Gunaikurnai.

Desa tepi pantai Lakes Entrance yang menarik terletak di pinggir Ninety Mile Beach di mana tasik Gippsland bertemu dengan Lautan Selatan. Lakes Entrance merupakan tempat terbaik bagi semua jenis aktiviti air; namun ia paling masyhur sebagai tempat aktiviti memancing.

Cubalah memancing ikan bream di sungai, memancing ikan air terbuka di pantai lautan, atau lancarkan bot di salah satu tanjakan di sepanjang pesisir depan. Pertandingan Memancing Luncur Ninety Mile Beach, iaitu pertandingan memancing luncur terbesar di Australia diadakan di Ninety Mile Beach pada setiap tahun pada akhir bulan Januari.

Loch Sport juga merupakan pekan kecil di timur Sale pada tetanjung di antara gumuk pasir Ninety Mile Beach dan Lake Victoria. Pantai berpasir yang cetek di Tasik Victoria di Loch Sport adalah tempat yang popular untuk berenang.

Nikmati perkelahan di Sperm Whale Head di Lakes National Park, dan tunggu kemunculan ikan lumba-lumba dan ikan paus semasa musim penghijrahan.

Ikuti Jejak Hidupan Liar Ninety Mile Beach dan perhatikan kanggaru, emu dan belut laut di dalam dan di sekeliling kawasan pantai. Di sepanjang jejak ini anda juga akan menemui pekan dan desa bersejarah, hasil tani gourmet setempat, dan kesenian dan kraf tangan tempatan.

Ninety Mile Beach terletak kira-kira 260 kilometer dari Melbourne.

Lebih Lanjut Mengenai Idea Australia