Great Barrier Reef

Great Barrier Reef

Terokai Warisan Dunia Great Barrier Reef, yang terbentang melebih 2,000 kilometer sepanjang garis pantai Queensland. Snorkel, selam skuba atau naik penerbangan berpemandangan melangkaui terumbu. Layari Whitsundays yang dihiasi palma, terokai Daintree Rainforest kuno atau rehat di kepulauan tropika mewah seperti Hayman dan Lizard. Lawati pulau sekeliling atau bermalam di percutian pantai seperti Cairns, Hervey Bay, Missions Beach atau Port Douglas.

Great Barrier Reef sepanjang 2,300 kilometer merupakan sistem terumbu karang terbesar di dunia. Tempat tinggal pelbagai jenis hidupan laut yang indah dan berbagai-bagai warnanya, mengalami kehidupan di terumbu karang ini merupakan pengembaraan yang mengubah pandangan hidup tanpa mengira belanjanya mewah mahupun murah. Saksikan Terumbu ini melalui aktiviti selam skuba, snorkel, bot berlantai kaca, luncur jet, bot separuh tenggelam, perahu layar, dari udara atau malahan terjun udara untuk mengasyikkan diri anda sepenuhnya dalam alam yang mengagumkan ini.

Whitsunday Island, Great Barrier Reef, QLD
Whitsunday Islands, QLD

1. Mula-mula sekali, lawatan singkat dari satu pulau ke pulau lain

Berparti di Pantai Airlie, bermain sukan air di Hamilton, berbulan madu di Hayman yang mewah atau cuma bersantai di atas pasir putih lembut Pantai Whitehaven di Pulau Whitsunday. Untuk penginapan, anda akan dapati semuanya ada di sini, dari pusat peranginan bertaraf lima bintang hingga kepada kesederhanaan alamiah dalam khemah di persekitaran semula jadi. Anda boleh bersantai di banyak taman negara pulau subur di Great Barrier Reef. Terdapat pulau Green dan Fitzroy berdekatan Cairns dan pulau Dunk, Bedarra, Hinchinbrook serta Orpheus jauh ke selatan. Pergi ke Pulau Hayman, Heron dan Lizard untuk penginapan pusat peranginan superior dan menyelam.

Great Barrier Reef, QLD
Great Barrier Reef, QLD

2. Dengan kaki sirip dan sut basah

Lihat terumbu karang dan kehidupan marin yang berwarna-warni menerusi bot dengan lantai kaca dari hab pinggir laut seperti Cairns, Port Douglas, Townsville, Bundaberg, Rockhampton, Mackay, Pantai Mission dan Pantai Airlie. Atau alami laut yang tidak berombak, cerun curam, terowong bawah air dan gua di terumbu dengan operator sekolah selam atau operator lawatan harian. Snorkel atau menyelam di pinggir pentas dunia di Agincourt Reef dari Cairns, jelajahi bangkai kapal SS Yongala dari Townsville dan Magnetic Island serta bangkai kapal Llewellyn dari Mackay. Lihat bintang laut, ketam, karang dan moluska di Fitzroy, Capricorn dan Bunker Reef berdekatan Gladstone. Atau berenang melalui ngarai karang yang terang warnanya dan melepasi penyu marin berdekatan Lady Elliot dan Lady Musgrave Island. Di Whitsundays, air yang jernih dan hangat dan terumbu karang psikedelik hanya satu hari perjalanan siang dari pusat peranginan Pantai Airlie atau pulau anda. 

Great Barrier Reef, Qld
Great Barrier Reef, Qld

3. Dengan belayar

Belayar dari Port Douglas menuju ke Low Isles, sebuah permata pulau terpencil yang ditemui oleh Captain Cook pada tahun 1770. Atau carter bot dari Hamilton Island atau Airlie Beach dan belayar melalui air biru firus di Whitsundays. Bermalam di atas kapal di tambatan yang indah pemandangannya seperti Whitehaven Beach, Cid Harbour dan Butterfly Bay serta melawat terumbu di Black, Langford dan Bird Island semasa dalam perjalanan. Singgah untuk bersantai di pusat peranginan di Kepulauan Daydream, Hamilton atau Long. Anda juga boleh mengambil bot kosong dari Pulau Cairns atau Airlie ke kawasan pinggir Greater Barrier Reef. Belajar belayar dengan pekerja yang berkelulusan atau bawa juragan bersama anda sehingga anda yakin boleh memandu bot ini sendiri. Anda boleh juga mencarter kapal dari jenis Maxi Racer hingga kepada jenis katamaran siap dengan krew terlatih. Atau bertemu orang baru dengan bermalam menyertai carter berkrew lengkap.

Daintree National Park, QLD
Daintree National Park, QLD

4. Menghidu bau udara hutan hujan

Berjalan, berkhemah dan menghayati alam semula jadi di taman negara kawasan ini yang terbentang dari Cape York ke pulau Whitsunday yang subur. Belayar menyusuri Daintree River dan berkunjung ke Mossman Gorge di Daintree Rainforest. Lihat hidupan liar yang aktif pada waktu malam dan kagumi Bloomfield Falls apabila anda sampai di Cape Tribulation, tapak di mana hutan betul-betul menjunam jatuh ke terumbu. Berjalan meredah belukar melalui gaung dan hutan hujan subtropika dan tropika di Eungella National Park yang terletak di gunung yang berkabus di barat Mackay. Berkelah di bawah pokok mahogani paya dan gam merah dan nikmati pemandangan indah serta burung dan hidupan liar yang banyak. Di Whitsunday National Park, anda boleh berjalan dari Tongue Bay di Whitsunday Island untuk melihat pemandangan yang indah. Atau lihat seni batu bernilai yang dihasilkan oleh orang Ngaro di Nara Inlet, Hook Island. Berkhemah, bangun kepada kircipan burung, berenang di pantai yang terbiar dan hidu bau udara wangi hutan hujan di Hook, Long, Cid, North dan South Molle Island.

Pantai Whitehaven, Pantai Whitsunday
Pantai Whitehaven, Pantai Whitsunday

5. Dengan adrenalin dan semangat lasak

Merentasi Daintree Rainforest dan Great Barrier Reef dengan penerbangan helikopter lengkap dengan pemandangan indah menuju ke Green Island. Terumbu Heart yang mengagumkan terletak di Terumbu Hardy di Whitsundays dan terbaik dialami melalui pesawat laut atau helikopter. Gabungkan lawatan seharian bersnorkel ke terumbu dari Cairns dengan menaiki belon udara panas merentasi Atherton Tablelands. Naik katamaran mewah dari Cairns dan Port Douglas menuju ke bahagian luar Great Barrier Reef. Atau berlayar antara Cairns dan Townsville dengan pelayaran mewah selama tiga hari. Menginap di Airlie Beach atau di pusat peranginan di Hamilton atau Daydream Island dan cuba luncur payung (parasailing), naik bot, meredah belukar, berkayak laut, memancing ikan, snorkel dan banyak lagi.

Mission Beach adalah pekan pantai yang terletak berdepan dengan pantai, ia berada di tengah-tengah antara Cairns dan Townsville di pinggir laut Queensland. Menghadap perairan berwarna biru kobalt Coral Sea, Mission Beach mempunyai lebih daripada 14 kilometer pantai berpasir keemasan yang hebat. Di sini, dua Kawasan Warisan Dunia iaitu Great Barrier Reef dan Hutan Hujan Wet Tropics membentuk alam sekitar semula jadi yang tiada duanya di dunia ini. Mission Beach adalah pintu masuk ke Great Barrier Reef dan tapak terbaik untuk melawati kepulauan Dunk, Bedarra dan Hinchinbrook yang berhampiran. Di Mission Beach, anda boleh mendapati sama ada pengembaraan ekstrem atau syurga tropika tempat memanjakan diri.

Desa pinggiran laut Airlie Beach merupakan desa bertenaga dengan barisan pohon palma di sepanjang pantainya, taman tepian air dan restoran makan malam di kawasan luar. Anda pasti akan terpesona dengan tarikan bohemia dan sikapnya yang bebas tanpa kerunsingan dan santai. Airlie Beach juga merupakan pintu gerbang ke Kepulauan Whitsunday, 74 pulau-pulau yang masih dara di sebelah utara Great Barrier Reef Queensland di mana anda boleh melawati tempat peranginan pantai yang mewah dan menghirup koktel di tepi kolam renang, bersantai di bawah cahaya matahari atau berehat di spa. Iklim tropika Queensland yang hangat bermakna musim sejuk di Airlie Beach begitu sederhana dan terbaik untuk menikmati aktiviti di dalam air sepanjang tahun.

Hanya 20 minit perjalanan dengan feri di luar pantai Townsville, gaya hidup tropika yang santai, pantai yang sunyi dan terpencil, alam semula jadi tidak tercemar, kelimpahan haiwan liar dan akses mudah ke Great Barrier Reef di Magnetic Island membuatkannya amat sesuai untuk perjalanan sehari atau penginapan lebih lama.

Hervey Bay, terletak kira-kira 300 kilometer ke utara Brisbane, merupakan syurga akuatik dan salah satu tempat yang terbaik untuk mengalami alam semua jadi di tempat asalnya. Perairan Hervey Bay yang selamat dan terlindung membuatkannya amat sesuai untuk bersukan air sepanjang tahun, dari berenang, bersnorkel dan menyelam skuba hingga belayar dan memancing.

Whitsunday Islands adalah sekumpulan 74 pulau yang bersempadan dengan Kawasan Warisan Dunia Great Barrier Reef dan perairan Laut Coral yang terlindung. Dengan pantai berpasir putih terlindung yang dibarisi pokok palma dan dikelilingi oleh air jernih berwarna biru, Whitsunday Islands merupakan contoh syurga tropika.

Terokai syurga di One&Only Hayman Island, kawasan perlindungan persendirian di Whitsundays utara, di pintu masuk Great Barrier Reef, Australia.  Tinggal di dalam bilik, suite, vila dan emper mewah yang menghadap kolam infiniti, taman yang subur, pantai yang putih dan Coral Sea. Sertai pengembaraan Great Barrier Reef, lawati Whitehaven Beach dan nikmati pengalaman makan malam persendirian dan pelbagai rawatan spa.

Gunakan peta untuk menerokia tempat untuk dikunjungi dan aktiviti untuk dilakukan

States
States

Idea Australia selanjutnya

Maklumat Lanjut

Dapatkan maklumat lanjut dengan mengunjungi laman web Tourism Queensland.