Hervey Bay, Queensland

Great Sandy Strait, Hervey Bay, QLD. © Tourism Queensland

Hervey Bay, Queensland

Hervey Bay, terletak kira-kira 300 kilometer ke utara Brisbane, merupakan syurga akuatik dan salah satu tempat yang terbaik untuk mengalami alam semua jadi di tempat asalnya. Perairan Hervey Bay yang selamat dan terlindung membuatkannya amat sesuai untuk bersukan air sepanjang tahun, dari berenang, bersnorkel dan menyelam skuba hingga belayar dan memancing.

Dalam bulan-bulan musim sejuk (Julai – November), ikan paus kelasa berenang di sepanjang garis pantai Queensland dari benua Antartika ke perairan Whitsunday Islands yang hangat , sambil berhenti di air tenang Hervey Bay untuk membiak dan membesarkan anaknya. Hervey Bay merupakan tempat terbaik di dunia untuk memerhati ikan paus. Lihat keletah mereka dengan mengikuti pelayaran salah satu operasi pelayaran bertauliah di sekitar Urangan Pier. Anda mungkin juga dapat menyaksikan ikan lumba-lumba, dugong dan penyu.

Ketibaan ikan paus kelasa setiap tahun diraikan di Hervey Bay Whale Festival dalam bulan Julai dan Ogos, lengkap dengan konsert, perarakan jalanan dan pameran pendidikan.

Perairan Fraser Coast adalah ideal untuk sama ada percutian bot rumah untuk keluarga atau belayar dalam kapal layar yang mewah. Anda boleh pelajari cara mengemudi kapal layar dan mengembara sendiri dalam bot, atau mencarter kru untuk mengemudikannya untuk anda. Terdapat juga aktiviti berkayak, jet ski dan luncur udara untuk anda nikmati.

Penyelam skuba haruslah menuju ke Wolf Rock dan selaman kawasan kapal karam di Roy Rufus Artificial Reef, iaitu terumbu buatan terbesar di hemisfera selatan. Perairan Great Sandy Strait juga merupakan salah satu tempat yang terbaik untuk memancing di Australia, menarik minat para profesional dan amatur dari seluruh dunia. Penggemar memancing boleh menikmati tangkapan ikan muara, pantai, jeti, terumbu dan buruan. Sertai lawatan carter atau sewa bot anda sendiri.

Di sepanjang Hervey Bay Esplanade terdapat kafe alfresco kosmopolitan, kedai, kawasan perkelahan, taman permainan, jeti dan marina yang bertenaga. Pergilah berjalan kaki atau berbasikal di sepanjang laluan sepanjang 14-kilometer yang membarisi pinggir pantai dari Urangan Harbour di hujung timur hingga ke Gatakers Bay di sebelah barat.

Lawati Orchid House di dalam kawasan Botanical Gardens. Hervey Bay Historical Village and Museum merupakan bangunan bersejarah yang menempatkan lebih daripada 8000 bahan pameran dari kawasan Fraser Coast dan Wide Bay. Di Fraser Coast Discovery Sphere anda boleh mengetahui segalanya tentang ikan paus kelasa.

Hervey Bay Golf dan Country Club mengalu-alukan pelawat untuk bermain dalam persekitaran belukar semula jadi dengan padang kejohanan golf 18 lubang yang mencabar.

Terokai Hervey Bay dan kawasan sekitarnya mengikut rentak anda sendiri dalam salah satu denai Discovery Trails. Kawasan ini melimpah-ruah dengan kafe dan pub desa yang aneh namun menarik, butik dan bar espreso yang anggun, serta kafe dan restoran makanan mewah di pinggir pantai. Tersebar di seluruh pedalaman Fraser Coast adalah kilang wain butik dan kedai yang menjual hasil tani gourmet tempatan.

Tidak jauh dari Hervey Bay, kampung nelayan Burrum Heads dan Toogoom yang indah menawarkan pinggir pantai yang tidak tercemar berkilometer panjangnya. Berjalan santai di sepanjang pantai berpasir halus, atau terokai sungai dan suak dengan bot atau kanu. Duduk dan perhatikan burung pelikan serta hidupan burung yang kelimpahan.

Hervey Bay juga menyediakan akses mudah untuk pergi ke Fraser Island dan Lady Elliot Island yang tersenarai dalam Warisan Dunia.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia