Magnetic Island, Queensland

Horseshoe Bay, Magnetic Island, QLD. © Tourism Queensland

Magnetic Island, Queensland

Hanya 20 minit perjalanan dengan feri di luar pantai Townsville, gaya hidup tropika yang santai, pantai yang sunyi dan terpencil, alam semula jadi tidak tercemar, kelimpahan haiwan liar dan akses mudah ke Great Barrier Reef di Magnetic Island membuatkannya amat sesuai untuk perjalanan sehari atau penginapan lebih lama.

Magnetic Island terletak di dalam lingkungan Great Barrier Reef Marine Park yang tersenarai dalam Warisan Dunia, namun lanskapnya berbeza daripada hutan hujan tropika yang biasa terdapat di kebanyakan pulau Great Barrier Reef.

Kira-kira 275 juta tahun dahulu, kekuatan alam semula jadi mencipta lanskap luar biasa yang terdiri daripada rupa bumi berbatu dan batu tongkol gergasi. Magnetic Island mempunyai turunan hujan yang lebih kurang daripada Wet Tropics ke utara dan Whitsunday Islands ke selatan. Cuacanya tropika kering yang biasa dan ia diliputi kawasan hutan eucalypt.

Pemilik tradisi Magnetic Island, kaum Orang Asli Wulgurukaba telah mendiami pulau ini selama berjuta tahun lamanya. Mereka menggelar pulau ini ‘Yunbenun’. Alat-alat batu dan lukisan di dinding gua mengingatkan kita tentang kehadiran mereka dari zaman purba lagi. Magnetic Island telah dinamakan oleh Captain James Cook dalam tahun 1770 apabila pulau ini kelihatan memberi kesan kepada kompas magnet di dalam kapalnya.

Kawasan utama Magnetic Island terdiri daripada Horseshoe Bay, Arcadia Bay, Nelly Bay, Picnic Bay dan West Point.

Cuaca Magnetic Island yang sederhana cerah hampir sama sepanjang tahun, menjadikannya amat sesuai untuk segala jenis aktiviti luar dan sukan air. Magnetic Island mempunyai banyak tempat menyelam yang sangat baik, termasuk kapal karam ‘HMAS Yongala’ yang terkenal sebagai selaman kapal karam yang terbaik di Australia dan salah satu daripada lima yang terbaik di dunia. Perairan yang hangat dan dangkal melingkungi pulau juga sesuai untuk mereka yang baru belajar. Anda boleh bersnorkel betul-betul di pantai Alma, Arthur dan Florence Bays. Magnetic Island juga terkenal dengan aktiviti memancing buruan yang besar. Sertai carter memancing atau sewa sahaja alat yang perlu dan jatuhkan pancing di West Point atau dari jeti di Picnic Bay.

Magnetic Island National Park meliputi lebih separuh Magnetic Island dan mempunyai laluan berjalan kaki sepanjang kira-kira 24 kilometer. Di tengahnya terdapat Mount Cook, puncak tertinggi di pulau ini. Pulau ini merupakan syurga bagi burung dan hidupan liar Australia. Dalam bulan-bulan musim panas, penyu laut bersarang di pantai. Terokai teluk yang indah dalam lawatan berkayak di laut dengan berpandu atau lawatan jet-ski yang menguja.

Magnetic Island juga telah memainkan peranan penting dalam sejarah ketenteraan Australia. Forts Walk di Horseshoe Bay adalah salah satu yang paling popular. Saksikan pemandangan matahari terbenam yang mengagumkan dari West Point. Pergi menunggang kuda di sepanjang pantai; atau bermain golf di Country Club di Picnic Bay, yang dikatakan tempat di mana Greg Norman pertama kali bermain.

Magnetic Island adalah juga tempat untuk berparti. Setiap bulan, Magnetic Island menjadi tuan rumah kepada Full Moon Party, di mana sehingga 3000 orang berkumpul untuk menari di pantai sehingga matahari terbit.

Feri penumpang ke Magnetic Island dari Townsville berlepas dengan kerap sepanjang hari, atau anda boleh juga menyeberang dengan kereta di dalam feri kereta dan menerokai pulau ini dengan santai.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia