Airlie Beach, Queensland

Airlie Beach, Kepulauan Whitsunday, QLD. © Peter Lik

Airlie Beach, Queensland

Desa pinggiran laut Airlie Beach merupakan desa bertenaga dengan barisan pohon palma di sepanjang pantainya, taman tepian air dan restoran makan malam di kawasan luar. Anda pasti akan terpesona dengan tarikan bohemia dan sikapnya yang bebas tanpa kerunsingan dan santai. Airlie Beach juga merupakan pintu gerbang ke Kepulauan Whitsunday, 74 pulau-pulau yang masih dara di sebelah utara Great Barrier Reef Queensland di mana anda boleh melawati tempat peranginan pantai yang mewah dan menghirup koktel di tepi kolam renang, bersantai di bawah cahaya matahari atau berehat di spa. Iklim tropika Queensland yang hangat bermakna musim sejuk di Airlie Beach begitu sederhana dan terbaik untuk menikmati aktiviti di dalam air sepanjang tahun.

Airlie Beach melambangkan gaya hidup pantai Australia yang santai dan kosmopolitan. Shute Harbour Road, jalan besar dan tulang belakang Airlie Beach, dibarisi restoran, kafe dan bar luar bangunan. Pada setiap pagi Sabtu, terdapat banyak pasar di sepanjang pinggir pantai, di mana anda boleh membeli barang kemas, pakaian dan cenderamata buatan tempatan. Hiburan petang Ahad di Airlie Beach Esplanade sememangnya popular dan anda boleh makan malam di tempat terbuka di restoran sambil menikmati hiburan langsung.

Lagun Airlie Beach terletak benar-benar di tengah Airlie Beach dan merupakan tempat tumpuan pekan ini. Lagun ini dikelilingi oleh bukit berumput yang amat sesuai untuk berjemur bermandikan cahaya matahari, atau mendapatkan tempat yang tenang untuk membaca buku. Kawasan pantai berpasir yang cetek di satu hujung dan kolam mandi kanak-kanak menyediakan persekitaran yang selamat untuk keluarga dengan anak-anak kecil.

Dari Airlie Beach, anda boleh menyertai lawatan sehari ke hutan hujan, air terjun dan tempat berenang, pergi meredah dan menjelajah belukar, terjun udara, belayar layang, menunggang kuda, memancing, berkayak di laut dan berlayar di kepulauan Whitsunday.

Salah satu cara terbaik menikmati pulau-pulau Whitsunday adalah dengan mengikuti pelayaran kapal mewah dengan kapten dan anak kapal atau menjadi krew di kapal kosong sewaan untuk pergi ke mana saja yang anda inginkan. Abel Point Marina adalah tempat di mana kebanyakan kapal-kapal sewa khas berlepas. Abel Point menempatkan marina terbesar untuk bot pelbagai jenis, termasuk kapal layar yang terbesar. Ia juga tempat mendapatkan semua jenis aktiviti akuatik dari bersnorkel hingga menyelam juga berlayar terus dari Airlie Beach. Marina Village mempunyai pelbagai restoran bergaya dan kafe kasual, yang terletak tak jauh dari penginapan peranginan mewah dan beli-belah butik Airlie Beach. Jika anda tidak punya masa untuk pergi berlayar, jelajahi panorama luas dari udara dalam penerbangan pemandangan.

Terlindung oleh bukit-bukit tanah besar, Jubilee Pocket hanya dua minit perjalanan menaiki kereta dari Airlie Beach dalam perjalanan ke Pelabuhan Shute Harbour. Pekan ini terlindung di antara hutan hujan dan kawasan pedalaman yang berpemandangan indah. Berjalan kaki di alam semula jadi, sewaan luncur jet dan aktiviti air yang lain juga tidak jauh dari sini. Untuk mendapatkan pengembaraan liar, pergi ke Sungai Proserpine dalam safari buaya muara, dan pelbagai haiwan liar termasuk burung yang berhijrah.

Ketika matahari terbenam, Airlie Beach dihidupkan dengan restoran, bar dan kelab malam di mana pengembara beg galas dan pelancong lain menikmati suasana malam tropika. Hotel-hotel bergaya di pinggir air silih bersatu dengan harmoni bersama kawasan perkhemahan, taman karavan dan penginapan pengembara beg galas. Begitulah suasana tempat ini.

Lebih Lanjut Mengenai Idea Australia