Whitsunday Islands, Queensland

Whitehaven Beach, Whitsunday Island, QLD. © Tourism Australia

Whitsunday Islands, Queensland

Whitsunday Islands adalah sekumpulan 74 pulau yang bersempadan dengan Kawasan Warisan Dunia Great Barrier Reef dan perairan Laut Coral yang terlindung. Dengan pantai berpasir putih terlindung yang dibarisi pokok palma dan dikelilingi oleh air jernih berwarna biru, Whitsunday Islands merupakan contoh syurga tropika.

Terbentuk berjuta tahun dahulu, nama ini diberi kepada kumpulan pulau terbesar di luar pantai Australia ini oleh Captain Cook, yang belayar melalui laluan di Whitsunday ini dalam tahun 1770.

Pemilik tradisi Whitsunday Islands dinamakan kaum Ngaro dan mereka merupakan kumpulan Orang Asli yang terawal dalam rekod di Australia. Laluan laut Whitsunday Ngaro Sea Trail, yang menyambungkan South Molle, Hook dan Whitsunday Islands, mengikuti jejak tapak kaki purbanya.

Sesetengah pulau berukuran tidak lebih daripada jaluran tanah karang yang halus, yang dicantumkan oleh akar sebatang pokok palma. Di pulau-pulau lain pula terletak tempat peranginan mewah. Whitsunday Islands adalah destinasi romantik yang menyaksikan lebih banyak pinangan dan bulan madu bagi setiap meter persegi berbanding dengan mana-mana tempat lain di Australia.

Salah satu cara terbaik untuk menyerap keindahan yang bermandikan cahaya matahari di pulau syurga ini adalah dengan belayar dengan bot catamaran atau perahu layar yang dikemudikan sendiri atau lengkap dengan kru, melawati pulau atau terumbu yang berbeza setiap hari. Bot carter berlepas dari Airlie Beach atau Shute Harbour.

Pulau terbesar, Whitsunday Island, adalah juga tempat terletaknya Whitehaven Beach yang merupakan pasir putih yang tidak didiami dan berukuran sepanjang tujuh kilometer. Ia adalah pantai yang paling kerap diambil gambar di Australia. Naiklah penerbangan melintasi Heart Reef, mendarat berhampiran untuk menikmati aktiviti bersnorkel tanpa gangguan di atol karang anda sendiri yang jauh dan terpencil.

Daydream Island adalah tempat peranginan Whitsunday Island yang paling hampir dengan pantai. Yang unik di pulau ini adalah akuarium luaran buatan manusia, Living Reef, di mana anda boleh memberi makan kepada ikan pari, ikan jerung dan ikan barramundi yang tinggal di sini.

Hamilton Island adalah satu-satunya pulau di Great Barrier Reef dengan lapangan terbang jetnya sendiri. Pelbagai jenis penginapan terdapat di sini, namun tidak satu pun yang dapat mengatasi qualia, yang dipilih sebagai Tempat Peranginan Terbaik di Dunia dalam Anugerah Pilihan Pembaca tahun 2012 Conde Nast Traveler. Naiklah helikopter untuk bermain satu pusingan heli golf di pulau ENT Island yang berhampiran, yang merupakan satu-satunya padang golf pulau bagi kejohanan Australia. Dalam bulan Mei setiap tahun, Hamilton Island menjadi hidup dengan perahu layar berjuta dolar untuk mengambil bahagian dalam Hamilton Island Race Week.

Hayman Island adalah pulau Whitsunday yang paling ke utara. Tempat peranginan lima bintang yang memberi privasi ini paling banyak diberi anugerah di Australia. Inilah tempat yang popular untuk kedua-dua penginap dan pelawat harian.

Hook Island dan South Molle Island sangat kurang dimajukan dan kebanyakannya diliputi oleh taman negara. Di Hook Island anda akan mendapati tempat meninjau dan beberapa gua tempat perlindungan Orang Asli di sepanjang laluan berjalan kaki di pulau ini. Pinnacles, yang terletak tidak jauh dari Hook Island, terkenal sebagai tempat menyelam terbaik di Whitsundays. Pulau yang paling hampir dengan tanah besar ialah Long Island. Memang menarik menerokai tempat yang penuh laluan berjalan kaki dan limpahan hidupan liar.

Malah, anda boleh tidur di atas terumbu di pontun yang dibuat khas dan menyaksikannya menjadi hidup pada waktu malam dengan selesanya dari balai cerap di bawah laut.

Setelah anda menerokai pulau-pulau ini dari darat dan laut, sertai penerbangan dengan pesawat laut atau helikopter dan saksikan keindahan akuamarin dari perspektif yang benar-benar berbeza.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia