Great Ocean Road

Great Ocean Road

Memandu melalui alam semula jadi di Great Ocean Road yang indah dan berliku-liku bersebelahan Southern Ocean yang bergelora dan terdedah kepada angin dari Geelong ke Portland. Kawasan yang pelbagai dan dramatik ini mempunyai pantai untuk luncur air, pelabuhan bersejarah, tempat peninjau ikan paus, banjaran gunung yang mempesonakan, hutan hujan dan taman negara.

Lihat ombak gergasi di Bells Beach dan bersantai di atas pasir umpama emas di Lorne. Berkunjung ke tapak penting Orang asli berhampiran Tower Hill atau lihat bangkai kapal berhampiran perkampungan nelayan yang cantik di Port Fairy. Sudah tentu, anda tidak boleh ketinggalan melawat Twelve Apostles – susunan batu kapur berceranggah yang menaik dengan hebatnya dari Southern Ocean.

Lima sorotan utama perjalanan anda:

Twelve Apostles, VIC
Twelve Apostles, VIC

1. Pinggir laut yang mempesonakan

Pinggir laut barat daya Victoria yang dramatik meliputi pemandangan yang amat menakjubkan. Lihat ombak gergasi di tempat luncur air ikonik di Bells Beach. Bersantai di atas pasir keemasan di Lorne. Anda boleh berenang, meluncur air, berkayak di laut atau memancing ikan di Apollo Bay. Atau selami sejarah pelaut di perkampungan nelayan yang lama dan indah di Port Fairy. Nikmati tempat renang yang mesra keluarga di Anglesea atau lakukan aktiviti lasak dengan tiupan angin di Shipwreck Coast. Sudah tentu anda tidak boleh ketinggalan melawat Twelve Apostles. Susunan batu kapur berceranggah ini menaik dengan hebatnya dari Southern Ocean dan sudah tentu akan mempesonakan anda.

Great Otway National Park, VIC
Great Otway National Park, VIC

2. Alam semula jadi yang lasak dan indah

Dari hutan hujan dan sungai hingga ke gunung berapi lama serta pinggir laut yang berceranggah, Great Ocean Road mempamerkan alam semula jadi yang pelbagai. Di Great Otway National Park anda akan nampak air terjun yang menjunam turun dan gaung yang berkilauan dan berjalan menyusuri titian melalui pokok mossy purba. Belayar melalui gaung dan melepasi gua yang indah di Cape Bridgewater. Lihat batu kapur purba mencuar tinggi dan kelihatan terapung di atas lautan di Bay of Islands. Nak meregangkan kaki anda? Anda dapat melihat pantai pasir yang terbiar, hutan tebal dan beberapa cenuram laut yang tertinggi di Australia di Great Ocean Walk sejauh 91km.

Anglesea, VIC
Anglesea, VIC

3. Hidupan liar di mana sahaja

The Great Ocean Road ialah jalan yang panjang dan berliku-liku serta menjadi tempat untuk pemerhati melihat haiwan liar. Di Warrnambool, anda boleh melihat ikan paus southern right whale semasa penghijrahan tahunannya. Lihat koala, kanggaru, emu dan burung air merayau-rayau dengan bebas di Tower Hill State Game Reserve. Berseronok dengan bermain golf bersebelahan dengan kanggaru yang sedang meragut rumput di Anglesea. Lihat koala di dalam hutan di Kennett River dan di Great Otway National Park. Lihatlah ratusan anjing laut berbulu di Cape Bridgewater dan lihat cacing kalimantang dalam persembahan cahaya yang menakjubkan di Melba Gully di Great Otway National Park. Berenang dengan dolfin di Queenscliff di Bellarine Peninsula. Untuk sesuatu yang berbeza, berkanu bersebelahan platipus di Lake Elizabeth pada waktu subuh.

Makanan dan Wain, VIC
Makanan dan Wain, VIC

4. Makanan, wain dan semua yang baik

Ingin menguja deria rasa anda? Kawasan Great Ocean Road akan menguja selera anda dengan hasil keluaran tempatan yang mewah, hidangan yang lazat dan kawasan wain yang terbaik. Untuk menikmati hidangan tempatan yang lazat anda perlu pergi ke tempat asalnya. Untuk makanan laut, pergi ke dermaga di mana-mana pekan tepi laut dan pastikan anda melawat koperasi nelayan di Lorne dan Apollo Bay. Rasa beri enak dari ladang di Colac, Heywood, Gellibrand dan Deans Marsh. Atau merasa keju gourmet dari kedai makanan istimewa di Allansford, Timboon dan Cooriemungle. Kilang wain dengan udara nyaman terbentang sama panjang dengan Great Ocean Road, jadi berhentilah untuk menikmati wain di Colac, Apollo Bay, Timboon, Geelong dan Henty. Anda akan nikmati makanan yang enak dan layanan mesra di restoran, kafe dan bilik teh di seluruh kawasan ini.

Budaya Orang asli yang pelbagai
Budaya Orang asli yang pelbagai

5. Budaya Orang asli yang pelbagai

Cerita Orang asli menghubungkan landskap di Great Ocean Road dari desa Wathaurong di Geelong hingga ke kawasan Gunditjmara di barat. Rasa makanan asli (bush tucker) dan belajar tentang ubat-ubatan purba serta lihat orang membaling boomerang dan meniup didgeridoo di Geelong. Ketahui tentang kepentingan tapak yang bertaburan di gunung berapi yang sudah tidak aktif berdekatan Tower Hill daripada orang Gunditjmara. Di Lake Condah yang tersenarai dalam Warisan Dunia, anda akan melihat rumah batu dan perangkap ikan yang ditinggalkan di perkampungan kekal Orang asli.

Gunakan peta untuk menerokia tempat untuk dikunjungi dan aktiviti untuk dilakukan

States
States

Idea Australia selanjutnya

Maklumat Lanjut

Dapatkan maklumat lanjut di laman web Tourism Victoria.