Keajaiban Kakadu yang sentiasa berubah

Keajaiban Kakadu yang sentiasa berubah

'Tiada yang seumpama suasana fajar menyingsing di Yellow Water, Taman Negara Kakadu. Keindahan dan kedamaian tempat ini sungguh menakjubkan.' 

Sebagai jurupandu dan pemandu sebuah syarikat lawatan perkhemahan, Gary telah banyak kali melawat Taman Negara Kakadu. Walau bagaimanapun, pengalaman melihat ratusan burung magpie geese terbang meninggalkan Yellow River berlaku hanya sekali.

“Inilah yang membuatkan saya mula menyukai kawasan pedalaman Australia. Saya tak akan berkata, ‘Saya dah pernah tengok ni ‘, kerana tempat ini selalu memberi kejutan baru yang menyeronokkan”, kata Gary.

Dia dan kumpulannya – terdiri daripada 14 orang dari England, Belanda, Jepun dan Jerman – telah bangun pada waktu fajar menyinsing lagi untuk pelayaran Yellow River. Menyaksikan burung magpie geese yang berterbangan merupakan satu daripada banyak keajaiban yang dialami Gary bersama pelayaran awal pagi ini semasa dia menjadi jurupandu.

“Saya pastikan yang saya menyertai kumpulan dalam setiap lawatan, dan saya sentiasa terpegun dengan perubahan yang saya lihat dalam musim berbeza setiap tahun,” terangnya.

Antara tarikan lain lawatan Kakadu ialah melihat matahari terbenam dari puncak Ubirr Rock.

“Sememangnya tiada perkara lain yang lebih menenangkan yang boleh dilakukan di dunia ini, walaupun bersama kira-kira 200 orang sedang melakukan perkara yang sama. Selalunya semua orang akan terdiam kerana begitu terpesona dan terpegun sehinggakan anda boleh dengar sekiranya ada pin yang jatuh,” kata Gary.

Semasa gambar tersebut diambil, Gary dan kumpulannya baru menjalani separuh daripada pusingan 42 hari perjalanan dari Sydney. Mereka telah mengembara melalui Melbourne, Great Ocean Road, Adelaide, dan ke atas ke Red Centre menuju ke Top End. Mereka menuju pulang ke Sydney melalui pantai timur Australia, melawati tempat-tempat menarik seperti Great Barrier Reef, Gold Coast dan Byron Bay.

Gary mempunyai banyak kenangan menarik daripada pengembaraan Australia penuh-aksi ini termasuk “berdiri di sebelah Stuart Highway pada waktu senja, melihat pertunjukan petir yang boleh menjadikan pertunjukan bunga api tahun baru Sydney kelihatan biasa saja”!

Semasa berada di Northern Territory, Gary dan kumpulannya turut belayar melewati sekumpulan buaya yang besar di South Alligator River, berenang di bawah Florence Falls di Taman Negara Litchfield dan menghayati matahari terbenam hebat Darwin. Mereka bertemu dingo yang menyanyi di sebuah kelab di Stuart’s Well dan terpegun dengan Tablelands Highway yang mendatar tanpa sebatang pokok sekalipun. Mereka berjalan kaki di pinggir sekitar Kings Canyon, yang dihuraikan oleh Gary sebagai “kembara jalan kaki paling mengagumkan di negara ini”.

Gary boleh mengimbas lebih banyak lagi perkara menarik dari kembara yang lain, termasuk “kembara white water rafting ekstrem’ di Tully River berdekatan Cairns. Dia suka kembara berjalan kaki di pantai terpencil di Great Keppel Island, terbang merentasi Twelve Apostles dan menemui emu yang jinak di Taman Negara Mt Remarkable.

“Bekerja sebagai jurupandu lawatan menanamkan perasaan dalam diri saya yang seluruh Australia sebenarnya ialah tempat asal saya. Ia turut membuatkan saya sangat bangga dengan negara yang mengagumkan ini,” kata Gary.

Gary sekarang tinggal sepenuh masa di Newscastle bersama isterinya yang berasal dari Britain, yang ditemui semasa salah satu daripada lawatan yang dilakukannya. Pasangan ini kerap melakukan perjalanan hujung minggu sekitar timur Australia, tetapi Gary sangat teringin melakukan kembara yang lebih lama di barat laut Barat Australia.

“Saya teringin melihat tempat-tempat seperti Broome, Kalbarri, Monkey Mia, Taman Negara Purnululu (Bungle Bungles) dan Taman Negara Karijini. Saya juga teringin membawa isteri melihat Uluru, Kings Canyon dan Kakadu,” katanya.



Baca lebih lanjut mengenai Cerita Percutian Australia

Canberra, bandaraya pencinta alam sekitar
Percutian impian di Gold Coast
Bulan madu Hobart – semuanya tentang lawatan harian
Keajaiban Geologikal di Karijini
Dari Perth ke Pinnacles
Fajar menyingsing di ikon World Heritage Australia
Kembara Australia – dari Red Centre ke Tasmania
Keseronokan keluarga di Margaret River
Keajaiban Kakadu yang sentiasa berubah

Tangalooma, Pulau Moreton
Taman Negara Tasman, Tasmania
Kimberley: cerita Australia yang takkan dilupakan
Valley of The Giants
Percutian Australia yang Hebat
Percutian Tasmania yang boleh diingati
Keseronokan sepanjang Great Ocean Road
Wave Rock: Satu Keajaiban Australia Barat

Idea Australia selanjutnya