Seni purba Kakadu

Seni purba Kakadu

Saksikan seni batu Orang Asli di tempat-tempat menakjubkan yang tersenarai sebagai Warisan Dunia.

Taman Negara Kakadu yang menempatkan tanah lembap, hidupan liar dan gaung yang berceranggah, tersenarai sebagai Warisan Dunia, dan mempunyai kawasan seni batu yang paling tinggi konsentrasinya di dunia. Sebanyak 5,000 tapak Orang Asli telah ditemui di sini, termasuk seni batu, tempat perlindungan, alatan yang diperbuat daripada batu, mesin pengasah dan warna kuning upacara. Rekod terperinci kehidupan di Kakadu ini membawa kita kembali lebih 50,000 tahun – daripada bukti pertama pendudukan manusia hinggalah ke ketibaan orang Eropah.

Keluarga Orang Asli berkhemah di tempat perlindungan batu di sekitar Ubirr di Timur Laut Kakadu, dan hari ini anda boleh melihat lukisan ikan dan haiwan yang diburu mereka. Baramundi, ikan keli, ikan belanak goana, penyu, posum dan walabi berderetan di dinding belakang galeri utama dalam dewangga kehidupan berwarna hartal kuning. Anda juga akan melihat antara contoh seni sinaran-X yang terunggul di dunia – yang memperlihatkan tulang dan organ haiwan sejelas bahagian luar tubuhnya – di galeri ini. Lain-lain lukisan merakamkan hubungan pertama dengan ‘whitefellas’ atau ‘orang putih’ di kawasan ini, yang dikatakan mungkin terdiri daripada pemburu kerbau sekitar zaman 1880an. Salah seorang daripadanya menyeluk sebelah tangannya ke dalam kocek, manakala yang seorang lagi meletakkan tangannya di pinggul dan kelihatan seperti sedang ‘memerintah orang Orang Asli membuat ini dan itu’.

Tidak jauh dari galeri ini anda akan mendapati lukisan Adik Beradik Namarrgarn – semangat licik yang tinggal di bintang dan boleh membuat orang jatuh sakit dengan seutas tali. Di satu tapak lain di kawasan ini, anda akan melihat lukisan Ular Pelangi yang berusia lebih 23,000 tahun. Pemimpin wanita yang tidak banyak berkata-kata, dikenali oleh suku Gagudju tempatan sebagai Garranga'rrelito.

Di Nourlangie Rock, formasi Tubir Arnhem Land yang agak jauh, anda boleh melihat rekahan yang diukir oleh leluhur Dreamtime dalam bentuk walabi batu bertelinga pendek. Rekahan ini masih boleh dilihat hingga ke hari ini, dan walabi batu sering dilihat di sini pada awal pagi dan menjelang senja. Di Galeri Anbangang yang berhampiran, anda boleh melihat lukisan Orang Petir, moyang Dreamtime yang masih mengawal ribut petir musim hujan yang ganas. Dekat dengan tempat ini terletak Nanguluwu, tempat seniman terkenal melukis lembaga semangat Mimi Dreamtime membaling lembing sekitar 1960an. Anda juga akan melihat lukisan yang menggambarkan ketibaan orang Eropah – termasuk dua kapal layar dua tiang dengan rantai sauh dan sederetan dingi yang mengekorinya.

Menurut mitos Dreamtime, semangat Mimi adalah leluhur pertama yang melukis pada batu. Mereka memperturunkan ilmu mereka kepada beberapa orang Orang Asli, manakala yang lain pula belajar dengan menyalin lukisan Mimi ini. Ada kalanya semangat moyang ini meresap masuk ke dinding batu ini sebagai lukisan, menjadikannya tempat impian suci dialami.

Dengan ketibaan orang Eropah dan perubahan gaya hidup kaum Orang Asli, tradisi seni batu telah digantikan dengan lukisan di atas kulit kayu, kertas dan kanvas. Seni batu Kakadu yang paling terkini telah dilukis pada tahun 1986 dan gugusan aktiviti terakhir sebelum itu adalah usaha Najombolmi sekitar tahun 1960an.

Hari ini anda boleh menerokai khazanah budaya ini yang amat luas dengan bantuan juru pandu Orang Asli. Di tengah-tengah hutan hujan Kakadu yang subur, tertanam sejarah tinggalan manusia yang hebat.

Idea Australia selanjutnya