Kangaroo Island

Stokes Bay, Kangaroo Island, SA. © SATC & Adam Taylor

Kangaroo Island

Lihat hidupan liar asli di hutan, di syurga ekologi Kangaroo Island.

Kanggaru, koala, walabi, burung penguin, belut laut dan kehidupan burung semuanya tinggal di pulau ini. Jelajahi Seal Bay, habitat singa laut Australia yang terancam. Lihatlah koala yang kelihatan mengantuk bergayut di pohon. Beli hasil keluaran segar – dari madu Ligurian hingga ke ayam yang diternak secara lepas bebas dan telurnya – dan wain yang dihasilkan oleh 30 orang penanam dari Cape Willoughby hingga ke Kingscote.

Pulau ini juga mempunyai banyak pemandangan yang menakjubkan. Cenuram pinggir laut yang berceranggah, teluk berteduh di antara tanjung tinggi yang curam, tanah belukar asli yang luas, bukit bercerun di tanah ladang merupakan hanya sesetengah landskap yang amat menakjubkan di sini.

Remarkable Rocks dan Admirals Arch ialah antara dua tanda tempat pinggir laut Australia yang paling mempesonakan. Cubalah berenang di pantai terpencil di Stokes Bay, meluncur air di Vivonne Bay dan memancing ikan dari Emu Bay. Terokai gua bawah tanah di Kelly Hill Conservation Park dan selami diri anda di belantara Flinders Chase National Park. Dengan pelbagai tempat penginapan seperti resort atas cenuram yang bertaraf lima bintang dan juga tempat penginapan yang ringkas, 'KI' (Kangaroo Island) merupakan pulau yang mampu memenuhi segala keperluan setiap pelancong.

Lima cara untuk melawat sekitar Kangaroo Island:

Seal Bay, SA
Seal Bay, SA

1. Dengan hidupan liar: termasuk anjing laut dan platipus, koala dan kanggaru

Beri makan kepada burung undan dan lihat sotong katak gergasi, kuda laut dan penguin kecil di Kingscote Wharf. Bertemu dengan walabi, possum berekor berus dan kanggaru semasa lawatan melihat haiwan yang aktif pada waktu malam di sepanjang American River. Peluk koala dan beri makan kepada burung lorikeets dengan tangan anda sendiri, pegang possum atau biarkan badan anda dilingkari oleh ular di Stokes Bay. Meredah belukar melepasi itik, swan dan burung randuk di Murray Lagoon di Cape Gantheaume Conservation Park. Lihat singa laut Australia di Seal Bay dan lebih daripada 7,000 anjing laut berbulu New Zealand bermain dan berinteraksi di Admirals Arch dan sekitarnya di Flinders Chase National Park yang juga merupakan habitat kepada ratusan kanggaru jinak. Anda akan nampak koala hampir di mana-mana sahaja tapi antara tempat popular haiwan ini berkumpul ialah di atas pokok di Hanson Bay Sanctuary dan Western KI Caravan Park

Kangaroo Island, SA
Kangaroo Island, SA

2. Dengan makanan dan wain yang lazat: dalam dompet anda dan di atas meja anda

Kunjungi tempat simpanan wain di kilang wain pertama dan terbesar di pulau ini di Cape Willoughby, mengasingkan tiram dari cangkerangnya di Penneshaw dan berkunjung ke ladang tempatan yang membuat keju susu bebiri dan madu Ligurian yang terbaik di MacGillivray dan Kinsgcote. Kangaroo Island juga mempunyai banyak kafe yang selesa dan restoran yang elegan. Makan tiram Nepean Bay di tepi laut serta merasa makanan laut premium bermusim yang lain di Penneshaw. Nikmati juadah bertaraf lima bintang di antara hutan belantara di South Coast dan menjamu selera dengan makanan laut sambil menyaksikan matahari terbenam serta nikmati sepiring buah berangan bersebelahan kolam batu di Parndana. Beli dan simpan gourmet produk di rumah anda di tepi pantai dan bungkus makanan untuk berkelah semasa lawatan sehari dan bawa pulang sekotak wain kegemaran anda.

Cape Willoughby, SA
Cape Willoughby, SA

3. Dengan sejarah: pelaut, askar, peneroka dan misteri Orang Asli

Menginap di kotej penjaga rumah api yang dibaikpulihkan semula di Cape Willoughby terpencil di Dudley Peninsula. Atau baca diari yang mengandungi rungutan penjaga rumah api di rumah api di Cape Borda dan Cape du Couedic di Flinders Chase National Park. Menyelam untuk melihat bangkai kapal Portland Maru dan Loch Vennachar, yang belayar ke cenuram pantai barat pada tahun 1905 dan kehilangan kesemua 27 orang anak kapalnya. Melawat Frenchman’s Rock, lokasi di Hog Bay di mana peneroka Perancis, Captain Nicolas Baudin dan kapalnya berlabuh pada tahun 1803. Panjat 512 anak tangga yang sama yang dipanjat oleh peneroka Captain Matthew Flinders untuk meninjau pulau ini di Prospect Hill. Lihat pokok mulberi asal, telaga, jeti, pejabat pos dan tapak kuari di penempatan rasmi pertama bagi orang Eropah di Reeves Point di South Australia. Ketahui tentang askar yang membina rumah dan ladang daripada 100,000 hektar kawasan semak samun asal dan tebal di Parndana Soldier Settlement Museum. Hasil peninggalan peralatan batu dan tapak perkhemahan Orang asli menunjukkan bahawa Orang asli telah tinggal di Kangaroo Island sekurang-kurangnya seawal 16,000 tahun dahulu tetapi sebab mereka meninggalkan pulau ini atau waktu terakhir mereka tinggal di sini masih kekal misteri.

Kangaroo Island, SA
Kangaroo Island, SA

4. Di pantai: berenang, meluncur air, snorkel dan menyelam dari pantai dan teluk yang berkilauan

Memancing ikan dari jeti bersejarah di Emu Bay atau sertai lawatan untuk memancing dari American River, Penneshaw, Kingscote dan Emu Bay. Berenang di kolam yang tertutup oleh batuan di Stokes Bay dan di Penneshaw Beach yang amat sesuai untuk berkelah. Meluncur air di atas pecahan (break) yang lengang di Stokes, Vivonne dan Pennington Bays. Belayar melepasi pantai pasir dan anak teluk yang terlindung di Nepean Bay. Meredah belukar, menyelam melihat bangkai kapal dan lihat burung randuk di pantai dan burung undan di D’estrees Bay. Anda boleh menjejaki tanah belukar, bukit pasir dan lagun di Antechamber Bay/Chapman River, dan berkanu serta berkhemah dalam perjalanan. Di bawah air ini, anda akan dapati beberapa kawasan menyelam terbaik di Australia, iaitu kawasan yang airnya bersuhu sederhana. Lihat Naga air berupa daun yang sukar ditangkap, ikan blue devil, dan ikan harlequin yang bergerak pantas di antara dinding karang dan bunga karang yang berwarna merah, jingga dan putih.

Remarkable Rocks, Kangaroo Island, SA
Remarkable Rocks, SA

5. Dengan pengembaraan di darat: tunggang, pandu dan meluncur di atas pasir

Terokai lorong desa yang sunyi, pekan yang indah dan taman negara semasa lawatan berbasikal dari Penneshaw. Memandu kenderaan yang sesuai dengan semua jenis rupa bumi merentasi berekar-ekar denai tanah belukar atau meluncur turun gumuk pasir di Vivonne Bay. Masuk ke dalam gua bawah tanah yang menakjubkan di Kelly Hill Conservation Park dan berjalan melalui lubang benam dan gegua. Anda juga boleh menikmati tarikan semula jadi pulau ketiga terbesar di Australia ini dengan memandu untuk melihat pemandangan yang indah ini. Lihat dolfin, lihat pantai yang tersorok di Stokes Bay dan lihat haiwan ladang yang jarang ditemui serta hidupan liar yang mesra dengan manusia di Rolling North Coast Drive. Lihat Remarkable Rocks ketika matahari terbenam di Flinders Chase National Park dalam lawatan ke hujung barat daya. Ikut laluan Dudley Peninsula menuju ke rumah api di Cape Willoughby dan melawat pembuat madu serta udang galah, ladang lavender dan ladang tenusu dalam perjalanan melalui Kingscote District.

Gunakan peta untuk menerokia tempat untuk dikunjungi dan aktiviti untuk dilakukan

States
States

Idea Australia selanjutnya

Maklumat Lanjut

Dapatkan maklumat lanjut di laman web Tourism South Australia