The Kimberley

Kimberley

Tunggangi unta ketika matahari terbenam menyusuri Cable Beach di Broome dan terbang merentasi menara Bungle Bungle Ranges. Belayar di Lake Argyle yang luas dan lihat air pasang yang lebih tinggi daripada bangunan di Buccaneer Archipelago. Pandu kenderaan pacuan empat roda di Gibb River Road melepasi gaung dan sungai yang deras atau ikut laluan bertanah merah dari Broome ke pedalaman Semenanjung Dampier. Selamat datang ke Kimberley, hutan belantara purba yang luas terbentang, gaung-gaung yang menakjubkan, pembentukan unik, kolam batu yang menyamankan serta pantai keemasan.

Lima keajaiban Kimberly untuk diterokai:

Cable Beach, WA
Cable Beach, WA

1. Broome: pantai, mutiara dan kesan tapak kaki dinosaur

Tunggangi unta di sepanjang pantai berpasir putih sejauh 22km di Cable Beach, di sinilah tempat untuk menyaksikan mentari merah membara tenggelam di Lautan Hindi. Saksikan tapak kaki dinosaur berusia 130 juta tahun yang dipulihara dalam batu di Gantheaume Point. Berkelah sambil makan malam di Town Beach dan lihat ‘Staircase to the Moon’ (Anak tangga menuju ke Bulan) iaitu ilusi menakjubkan dengan cahaya indah yang terbentuk apabila bulan purnama penuh memantulkan cahayanya ke air pasang yang tenang di Roebuck Bay. Fenomena terbentuk selama tiga malam dari bulan Mac hingga Oktober. Apabila malam telah melanda tempat-tempat tarikan semula jadi, pergilah ke Outdoor Picture Garden di Broome untuk menonton filem di bawah gemerlapan bintang. Broome pada suatu masa dahulu merupakan pusat industri mutiara dunia dan hari ini anda boleh membeli mutiara, melawat ladang penternakan mutiara, berkunjung ke muzium mutiara atau melihat batu nisan yang memperingati 900 orang penyelam mutiara dari Asia.

Bungle Bungle Range, WA
Bungle Bungle Range, WA

2. Kununurra: air gergasi, sarang lebah dan lombong berlian

Ikuti penerbangan indah yang memaparkan pemandangan indah merentasi batuan tinggi dan berbelang jingga hitam di Bungle Bungle Ranges di Purnululu National Park yang tersenarai dalam senarai Warisan Dunia. Banjaran unik ini telah terbentuk lebih daripada 350 juta tahun dahulu tetapi hanya dijumpai oleh dunia barat pada tahun 1980-an. Mercu tanda geologi yang mempesonakan ini terletak sehingga 578 meter di atas aras laut, melindungi gaung, kolam air jernih, pokok palma kipas, kaya dengan hidupan liar dan sejarah Orang Asli. Anda juga boleh berkhemah dan menerokai Bungle Bungle Ranges dengan kenderaan pacuan empat roda atau dengan berjalan kaki. Kununurra bermaksud 'air besar' dalam bahasa pemilik Orang Asli tradisional dan di sini anda juga boleh belayar menyusuri Lake Argyle yang besar dan melihat buaya air tawar, walabi, burung di kawasan paya dan cenuram yang luar biasa. Atau, nikmati keindahan kawasan seluas 1,000 kilometer persegi ini melalui penerbangan. Berkanu di Lake Kununurra dan berenang di lubang air yang dalam di bawah Black Rock Falls. Kemudian kunjungi Lombong Berlian Argyle dan lihatlah berlian merah jambu yang sukar ditemui yang dikeluarkan dari batu purba ini setiap tahun.

Dampier Peninsula, WA
Dampier Peninsula, WA

3. Dampier Peninsula: pantai yang indah dan sejarah Orang asli

Memandu kenderaan pacuan empat roda di atas jalan tanah merah dari Broome ke Cape Leveque, dan di sini anda boleh menginap di khemah hutan belantara Orang asli Kooljaman. Tidur dengan gaya safari atau dalam kabin kulit pokok kertas kemudian snorkel, berjalan di terumbu dan jelajahi runtuhan dan tinggalan misi lama dengan keluarga Orang asli tempatan sebagai pemandu pelancong anda. Berkhemah di Middle Lagoon dan carter bot atau menangkap ketam di dalam selut dengan pemandu pelancong tempatan dari Lombadina. Menginap dengan komuniti pedalaman Mudnunn, Chile Creek dan La Djardarr Ba serta berkunjung ke Beagle Bay. Sacred Heart Church di sini dibina oleh biarawan Pallotine dan Orang asli pada tahun 1917 hingga ke altar cangkerang mutiaranya.

Bucaneer Archipelago, WA
Bucaneer Archipelago, WA

4. Derby dan Buccaneer Archipelago: pulau, sejarah dan air pasang

Lihat matahari terbenam di King Sound dari Derby Wharf dan memancing ikan dalam air pasang setinggi 12 meter. Ketahui tentang ketua Orang asli dan penjahat Jandamurra di Pigeon Heritage Trail dan terokai seni Mowanjum Aboriginal Community. Jangan ketinggalan melawat Boab Prison Tree yang berusia 1,500 tahun dengan ukur kelilingnya melebihi 14 meter. Dari Derby, anda boleh naik bot atau naik pesawat ke pulau Buccaneer Archipelago, tempat letaknya ladang South Sea Pearl dan Horizontal Waterfalls yang terkenal. Naik pesawat untuk menikmati pemandangan indah dan lihatlah kejadian pergerakan air pasang yang banyak memaksa air laut untuk ‘terjun’ melalui ruang sempit pada dinding cenuram.

Gibb River Road, WA
Gibb River Road, WA

5. Gibb River Road dan Mitchell Plateau: gaung dan pemanduan hebat di luar jalan raya

Memandu kenderaan pacuan empat roda sejauh 660 kilometer di Gibb River Road dari Derby di barat menuju ke Kununurra di timur melalui Windjana Gorge, Tunnel Creek dan Pentecost yang besar serta Ord Rivers. Mengembara ke komuniti Orang asli yang terpencil di pedalaman Kalumburu dan di sini anda boleh menginap; memancing dari terumbu dan sungai serta berkhemah di tepi pantai di Honeymoon Bay dan McGowan Island. Untuk pengembaraan yang betul-betul lasak, terokai seni batu Orang asli dan tumbuhan asli di Mitchell River National Park. Jejaki Mitchell Plateau dan lihat Mitchell Falls yang menakjubkan – rangkaian empat air terjun yang melata merentasi lapisan batu ke dalam kolam yang dalam.

Gunakan peta untuk menerokia tempat untuk dikunjungi dan aktiviti untuk dilakukan

States
States

Idea Australia selanjutnya

Maklumat Lanjut

Dapatkan maklumat lanjut di laman web Tourism Western Australia