Kimberley: cerita Australia yang takkan dilupakan

Kimberley: cerita Australia yang takkan dilupakan

'Tiada yang seumpama gema orang menyanyi di Cathedral Gorge, di Bungle Bungles. Setiap orang ada peluang...'

Landskap hebat adalah subjek kepada pekerjaan seharian Brian, jurugambar pemandangan yang berpusat di Tasmania. Namun begitu dia masih lagi “merasa terkejut dan kagum” dengan tarikan semula jadi yang tak terkira banyaknya di Kimberley yang hebat di Australia Barat, termasuk Bungle Bungle Range di Taman Negara Purnululu.

“Kimberley ialah suatu tarikan besar dengan landskap hebat yang boleh ditemui pada setiap langkah perjalanan. Apa yang dilihat di jalanan sudah cukup untuk menjadikannya perjalanan yang penuh kenangan,” kata Brian, yang menyewa kenderaan pacuan empat roda diikuti 14 hari perjalanan dengan koc dari Broome ke Darwin untuk tugasan ini.

Sepanjang perjalanan dia mengambil banyak gambar landskap menakjubkan, dari “Broome, dengan perjalanan menunggang unta pada waktu senja dan Cable Beach” ke tasik besar Lake Argyle di Kununurra. Dari Kununurra, Brian juga menemui menara seperti sarang lebah di Bungle Bungles dan rahsia akustik di Chambers Gorge. Rantau ini juga merupakan tempat asal jalan air Ord River yang sangat besar dan tasik buatan Lake Argyle. Pelawat boleh mengikuti lawatan Argyle Diamond Mine, di mana berlian berwarna merah jambu yang jarang ditemui dilombong, atau ikuti penerbangan pemandangan melihat Mitchell Falls yang hebat.

Seterusnya dalam perjalanannya, Brian merakam kontur berceracak Geikie Gorge dan meluangkan tiga hari yang tidak boleh dilupakan di El Questro Wilderness Station di Kimberley Timur. Sebuah stesen ternakan lembu yang masih aktif dan juga sebuah destinasi pelancongan, El Questro merupakan hentian popular untuk perjalanan pacuan empat roda berceranggah melalui Kimberley, seperti Savannah Way dan Gibb River Road.

“Di El Questro, saya meluangkan masa menghayati air panas Zebedee, berjalan kaki ke Emma and Amelia Gorges yang cantik dan berenang di situ serta menjelajah Chamberlain Gorge. Saya melihat matahari terbenam di Saddleback Ridge sebelum menikmati barbeku komunal dan mendengar muzik dan cerita secara ‘live’,” ujar Brian.

Dia tertawan dengan “kumpulan flora dan fauna yang sangat pelbagai” yang dilihat di El Questro, yang merangkumi sistem empat sungai melalui kawasannya yang seluas jutaan ekar. Pelawat boleh menyertai lawatan bersama renjeruntuk melihat berbagai-bagai jenis hidupan liar seperti kuda liar, keldai liar, bustard, cicak leher beropol, goanna, helang laut, brolga, jabiru dan nuri pelbagai warna.

“Fotografi bagi saya ialah menghayati landskap tersebut dan bukan sekadar melihatnya,” kata Brian, yang telah lebih enam tahun mengambil gambar perjalanan yang memberi ilham untuk buku, majalah, poskad dan brosur. Dia telah mengambil gambar semua ikon Australia dan meluangkan masa setahun untuk membuat dokumentasi tentang pemandangan mengagumkan di tempat tinggalnya di Tasmania.

Adakah lagi yang tinggal untuk dia lihat? Sudah tentu, kata Brian, yang telah bersiap-sedia untuk kembali ke Kimberley yang luas dan menarik.

Di samping landskap pedalaman yang hebat, Kimberley turut dipagari pinggir pantai terpelihara dengan pasir putih dan pantai bercahaya. Pelawat boleh snorkel dan menyelam di Rowley Shoals Marine Park atau melayari dalam kemewahan melalui Buccaneer Archipelago, tempat asal Horizontal Waterfalls dan 1000 pulau. Sepanjang Dampier Peninsula yang terpencil, pelancong boleh tinggal bersama komuniti Orang Asli dan pergi berkayak, snorkel, mencari ketam di lumpur dan memancing bersama pemandu pelancong warga tempatan.

“Terdapat ribuan imej yang hanya menunggu saya dan kali ini saya akan bersedia,” kata Brian.



Baca lebih lanjut mengenai Cerita Percutian Australia

Canberra, bandaraya pencinta alam sekitar
Percutian impian di Gold Coast
Bulan madu Hobart – semuanya tentang lawatan harian
Keajaiban Geologikal di Karijini
Dari Perth ke Pinnacles
Fajar menyingsing di ikon World Heritage Australia
Kembara Australia – dari Red Centre ke Tasmania
Keseronokan keluarga di Margaret River
Keajaiban Kakadu yang sentiasa berubah

Tangalooma, Pulau Moreton
Taman Negara Tasman, Tasmania
Kimberley: cerita Australia yang takkan dilupakan
Valley of The Giants
Percutian Australia yang Hebat
Percutian Tasmania yang boleh diingati
Keseronokan sepanjang Great Ocean Road
Wave Rock: Satu Keajaiban Australia Barat

Idea Australia selanjutnya