Monkey Mia, Australia Barat

Monkey Mia, WA. © Tourism Australia

Monkey Mia, Australia Barat

Dengan langit biru dan sinaran matahari hampir setiap hari sepanjang tahun, Monkey Mia yang terletak kira-kira 850 kilometer ke utara Perth, amat ideal sebagai tempat rehat yang santai atau pengembaraan di pedalaman yang menguja.

Salah satu daripada hanya beberapa tempat di dunia untuk memenuhi kesemua empat kriteria semula jadi untuk senarai Warisan Dunia, kawasan Warisan Dunia Shark Bay yang amat besar seluas 2.2 juta hektar adalah tempat yang harus dikunjungi untuk menyaksikan hidupan laut yang melimpah-ruah.

Monkey Mia Reserve terletak di pantai timur Peron Peninsula di Kawasan Warisan Dunia Shark Bay. Antara kesemua ciri-ciri semula jadi Shark Bay yang mengagumkan, ikan lumba-lumba Monkey Mia yang luar biasa adalah yang paling mempesona.

Di Monkey Mia, ikan lumba-lumba datang ke pantai untuk berinteraksi dengan pelawat sebagaimana yang telah dilakukannya sepanjang lebih empat puluh tahun. Anda boleh berdiri di dalam air separas lutut dan bantu memberi makan ikan ini dengan diawasi oleh renjer taman. Disebabkan ikan lumba-lumba bottlenose ini liar, jumlah yang datang dan waktunya berbeza-beza. Bagaimanapun, ia biasanya datang ke gigi air sehingga tiga kali sehari dan lebih kerap pada waktu pagi. Menginaplah di tempat yang berdekatan dengan Monkey Mia Dolphin Resort. Jika anda ingin menghabiskan lebih banyak masa dengan ikan lumba-lumba, anda boleh menjadi sukarelawan dengan program pemuliharaan ikan lumba-lumba bernama Project Eden.

Kota santai Denham merupakan kota paling ke barat di Australia dan merupakan pintu gerbang ke Monkey Mia. Ketahui segalanya tentang warisan budaya Shark Bay di Shark Bay World Heritage Discovery Centre. Sertai pelayaran haiwan liar ke Dirk Hartog Island dan saksikan pelbagai hidupan laut termasuk ikan lumba-lumba, dugong, ikan paus dan penyu di sepanjang perjalanan. Sewa kayak dan terokai perairan Monkey Mia yang tenang.

Denham adalah baik untuk dijadikan tapak mula bagi melawati semua tarikan tempatan termasuk François Peron National Park yang berdekatan. Di Steep Point anda boleh berdiri di titik Australia paling ke barat dan menyaksikan Zuytdorp Cliffs yang mengagumkan dan terbentang luas lebih daripada 150 kilometer di sepanjang pinggir laut. Sertai pelayaran melawat tempat-tempat atau naiki penerbangan berpemandangan untuk menyaksikan keseluruhan panorama dari udara.

Di samping aktiviti berasaskan air, terdapat banyak lagi tarikan lain termasuk berenang, perjalanan dengan kenderaan pacuan empat roda, lawatan budaya Orang Asli, bot menangkap ikan yang dicarter, lawatan astronomi dan tunggangan unta yang boleh ditempah melalui Monkey Mia Dolphin Resort betul-betul di tepi pantai atau di Denham.

Denai bunga liar di Coral Coast Australia akan membawa anda melalui kawasan bunga liar Australia Barat yang paling menakjubkan. Bunga yang sedang mekar boleh didapati sepanjang tahun, namun persembahan terbaik boleh dilihat antara bulan Julai dan November manakala kawasan pedalaman diselimuti warna-warni indah beribu-ribu jenis bunga.

Carnarvon, yang terletak di separuh perjalanan dari Monkey Mia ke Coral Bay merupakan tempat mula menerokai Mount Ogosus dan Kennedy Ranges ke sebelah timur. Untuk pengembara berjalan kaki, Kennedy Range National Park merupakan pengalaman belantara muktamad dengan berkhemah di bawah kerlipan bintang berdekatan cenuram batu pasir yang jelas kelihatan.

Anda boleh mengikuti penerbangan ke lapangan terbang Monkey Mia dari Perth selama dua jam atau memandu ke sana dalam sehari.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia