Devils Marbles, Wilayah Utara

Devils Marbles, Wilayah Utara. © Tourism Australia

Devils Marbles, Wilayah Utara

Devils Marbles adalah batu tongkol granit besar yang berterabur di satu kawasan lembah yang luas dan dangkal, 100 kilometer sebelah selatan Tennant Creek di Wilayah Utara.

Devils Marbles terletak di tanah desa asal kaum Warumungu, Kaytetye, Alyawarra dan Warlpiri. Mereka memanggil Devils Marbles sebagai Karlu Karlu, yang bermaksud ‘batu tongkol bulat’.

Terbentuk melalui hakisan yang berlaku melebihi jutaan tahun, Devils Marbles terbentuk daripada granit, yang kelihatan seperti pulau di padang pasir. Saiznya berbeza-beza, daripada 50 sentimeter sehingga panjang enam meter.

Kebanyakan batu besar ini berada di atas batu lain dalam keadaan yang membahayakan, sepertinya melawan graviti. Sehingga kini ia terus merekah dan terhakis, membentuk landskap yang sentiasa berubah-ubah.

Devils Marbles mempunyai kepentingan penting terhadap kaum Orang Asli. Kebanyakan rizab pemuliharaan dilindungi bawah Akta Tapak Suci Orang Asli Wilayah Utara.

Legenda penciptaan kuno mengenai Karlu Karlu diturunkan daripada generasi ke generasi oleh pemilik asal. Kebanyakan kisahnya adalah rahsia dan hanya beberapa kisah sahaja yang boleh dikongsi dengan pengunjung.

Antara kisah utama Dreaming bagi tempat tersebut yang boleh diberitahu kepada orang bukan Orang Asli adalah berkenaan pembentukan Devils Marbles. Tradisi ini menceritakan tentang 'Arrange', nenek moyang masa lampau, yang berjalan di kawasan tersebut. Beliau membuat tali pinggang anyaman rambut, sejenis perhiasan tradisional, yang hanya dipakai oleh kaum lelaki dewasa Orang Asli. Semasa beliau melilitkan rambut untuk membuat tali, gumpalan rambut tersebut terjatuh ke tanah dan bertukar menjadi batu tongkol besar berwarna merah. Arrange akhirnya kembali ke tempat asalnya, iaitu sebuah bukit yang dipanggil Ayleparrarntenhe dan beliau dikatakan masih tinggal di sana sehingga hari ini.

Tiada laluan tertentu di Devils Marbles, yang ada cumalah rangkaian laluan sendiri di bahagian timur rizab. Ikut rangkaian laluan pejalan kaki ini dan pelajari tentang pembentukan keajaiban geologi ini serta sebab ia dapat menahan pengaruh alam semula jadi. Setiap marmar nampak berlainan. Anda boleh meluangkan banyak masa untuk berjalan-jalan dan masih menemui pemandangan yang baru dan menarik. Setiap tahun antara bulan Mei dan Oktober, renjer taman menawarkan program acara langsung di tapak tersebut sebagai sebahagian daripada Territory Parks Alive Program mereka.

Ketika matahari terbit dan matahari terbenam, batu tongkol kelihatan bercahaya dan berubah warna, daripada warna merah jambu menjadi merah terang, sama dengan keajaiban geologi lain di Wilayah Utara, Uluru dan Kata Tjuta.

Untuk melihat Devils Marbles ketika matahari terbenam, anda perlu bermalam di sana. Satu-satunya kemudahan di Karlu Karlu/Devils Marbles Conservation Reserve adalah kawasan perkhemahan sederhana dengan unggun api. Para pekhemah hendaklah membawa barang-barang perlu yang mencukupi termasuk bahan api dan air.

Kawasan Devils Marbles Conservation Reserve mengunjur sepanjang kedua-dua bahu jalan Stuart Highway dengan kira-kira 393 kilometer utara Alice Springs dan 100 kilometer selatan Tennant Creek. Marmarnya berada merata-rata di lembah, di kedua-dua bahu lebuh raya. Petempatan terdekat adalah Wauchope, 9 kilometer ke arah selatan. Jika anda menuju ke arah utara atau selatan antara Darwin dan Alice Springs, anda akan memandu melalui tengah-tengah Devils Marbles.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia