Kings Canyon, Wilayah Utara

Kings Canyon, Red Centre, NT. © Tourism NT

Kings Canyon, Wilayah Utara

Kings Canyon adalah sebahagian daripada Watarrka National Park di Wilayah Utara Australia . Terletak di hujung barat George Gill Range, lokasi Kings Canyon berada kira-kira separuh jalan antara Alice Springs dan Uluru.

Bentukan muka batu merah purba yang menjulang tinggi mengatasi hutan palma yang tebal merupakan kawasan pemuliharaan dan menjadi tempat perlindungan yang penting kepada lebih 600 spesies tumbuh-tumbuhan dan haiwan asli, yang kebanyakannya hanya terdapat di kawasan ini sahaja.

Dinding batu pasir yang menjulang tinggi di Kings Canyon dibentuk apabila rekahan-rekahan kecil terhakis selepas berjuta tahun. Berasal dari perkataan Orang Asli yang merujuk kepada belukar payung yang hidup subur di sini, Orang Asli kaum Luritja telah tinggal di sini semenjak 20,000 tahun dahulu.

Daki ke puncak tepi Kings Canyon pada waktu matahari terbit atau terbenam. Perjalanan berjalan kaki Kings Canyon Rim Walk yang mencabar sepanjang enam kilometer mengambil masa 3-4 jam. Terdapat pemandangan gaung yang mengagumkan di bawah sana dan lanskap yang melingkungi. Ikuti aktiviti berjalan kaki tepi ngarai dengan berpandukan orang tua Orang Asli dan ketahui kepentingan kawasan ini kepada pemilik tradisinya.

Turun daripada ngarai ke Garden of Eden, lubang air kekal yang dikelilingi hidupan tumbuh-tumbuhan yang tumbuh subur. Terokai bentukan batu luar biasa yang dikenali sebagai Lost City. Kepada yang kurang bertenaga, jalanan Kings Creek Walk di dasar Canyon yang lebih pendek dan mudah membawa anda melalui paku pakis dan eucalypt yang subur ke suatu platform tempat anda dapat menyaksikan dinding ngarai yang curam di atas sana. Laluan jalan kaki Giles Track sepanjang 22-kilometer yang menyambungkan Kings Canyon dengan Kathleen Springs terkenal di kalangan pengembara berjalan kaki yang berani.

Anda juga dapat menerokai lanskap sambil menunggang kuda dengan mengikuti safari unta atau melawati Kings Creek Station, stesen lembu sebenar yang sedang berfungsi, dengan menunggang basikal empat roda. Untuk menghargai sepenuhnya keindahan dan keagungan Kings Canyon, saksikan dari udara melalui penerbangan berpemandangan dengan helikopter.

Pemanduan Red Centre Way menyambungkan Alice Springs, Uluru dan Kings Canyon. Ia boleh diterokai sendiri dengan memandu sendiri ke sana, namun jarak dari kota utama dan tempat tarikan amat jauh.

Pilihan yang baik untuk meliputi semua tempat ini dengan selesa adalah dengan menyertai salah satu lawatan bas persiaran yang diurus dengan baik atau lawatan persendirian. Kelebihan tambahannya ialah anda dapat mengambil masa yang anda perlukan untuk berehat dan menikmati pemandangan kawasan pedalaman ini. Juru pandu yang berpengalaman akan membantu anda memahami bahagian Australia yang luar biasa ini.

Tempat mula terbaik untuk menerokai Alice Springs, Uluru dan Kings Canyon adalah tempat peranginan Kings Canyon Resort. Tempat peranginan ini menawarkan penginapan dari bilik hotel mewah hinggalah gaya rumah penginapan untuk pengembara beg galas, di samping kemudahan karavan dan perkhemahan. Alami kawasan pedalaman asli dan menginap di Kings Canyon Wilderness Lodge, yang merupakan sebahagian daripada perhentian Kings Creek Station.

Kings Canyon terletak kira-kira 300 km ke timur laut Uluru dan 450 km ke barat daya Alice Springs. Lapangan terbang Ayers Rock dan Alice Springs terletak jauhnya kira-kira tiga jam penerbangan dari Sydney dan Cairns atau penerbangan dua jam dari Darwin atau Adelaide. Masa yang paling selesa untuk berkunjung adalah dalam bulan-bulan musim sejuk yang lebih dingin antara bulan Mei dan September.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia