Ibu kota dan desa, Wilayah Ibu Kota Australia

Ibu kota dan desa, Wilayah Ibu Kota Australia

Canberra – Mittagong – Yass – Young – Canberra
Perjalanan 4 hari dengan kenderaan

Kembali ke zaman silam di perkampungan kolonial yang aneh namun menarik seperti Berrima dan Braidwood dan terokai taman yang indah, galeri seni dan kedai barangan antik dan Moss Vale di Tanah Tinggi Selatan. Jalan melalui negeri perladangan paling subur di Australia ke Yass, di mana Banjo Paterson pernah tinggal di sebuah ladang di sini ketika beliau masih muda. Kemudian terokai dusun dan ladang anggur di pusat ceri Young. Lawati pusat wain beriklim sejuk berhampiran Murrumbateman dan nikmati keenakan gourmet di Gundaroo dan pekan kecil Collector, sebelum pulang ke Canberra. Di laluan lawatan pemandangan indah ini anda boleh berkelah di tasik indah dan melawat rumah ladang bersejarah. Lihat pecahan sinar matahari melalui tingkap kaca berwarna di gereja berusia seabad dan bersiar-siar melalui taman bunga mawar dan dusun ceri. Dari makanan dan wain hingga ke sejarah dan pemandangan, anda akan menikmati keseronokan kawasan Desa Ibu Negara ini.

Canberra, ACT
Canberra, ACT

Hari 1 – Canberra ke Mittagong

Pandu keluar dari Canberra dan melalui Queanbeyan, pekan pinggir sungai yang cantik, yang pernah menjadi pusat perlombongan emas, perak dan plumbum. Singgah minum kopi di Bungendore, terkenal dengan seni lukis, pertukangan, barangan antik dan restoran, atau melencong ke selatan ke pekan Amanah Kebangsaan Braidwood. Lawati era kolonial Australia yang lalu di Braidwood, di mana terdapat kedai barangan antik yang sarat, rumah teh dan pub dunia lama. Makan tengah hari di sini atau tunggu sehingga anda sampai ke jalan Goulburn yang dibarisi pokok bunga mawar, bandar pedalaman tertua di Australia. Lawati mercu tanda bersejarah seperti Gereja Besar St Saviours, Bangunan Mahkamah Goulburn 1849 dan Rumah Ladang Riversdale yang tersenarai sebagai warisan. Singgah di Rumah Ladang South Hill, yang kononnya berhantu, dan minum bir di Old Goulburn Brewery. Dari Goulburn anda boleh mengambil perjalanan singkat ke Crookwell, tempat memancing dari sungai yang bergemerlapan dan lihat sebuah rumah penginapan batu yang lama. Atau terus ke utara ke Mittagong di tengah-tengah Tanah Tinggi Selatan.

Mittagong, NSW
Mittagong, NSW

Hari 2 – Mittagong ke Yass

Nikmati sarapan pagi di kafe batu pasir di Lake Alexandra kemudian berjalan ke Mount Gibraltar, Mount Alexandra Lake atau sepanjang Laluan Berjalan Box Vale. Pada musim bunga, pertunjukan flora di Taman Winifred West amat mengagumkan. Lawati kedai seni lukis dan pertukangan antik terkenal di bandar sebelum memandu ke Bowral di kaki Mount Gibraltar yang tidak begitu jauh jaraknya. Bersiar-siar melewati taman bunga desa dan estet lama yang tersergam dan pelajari tentang pemain kriket terbaik Australia di muzium Donald Bradman. Di sebelah ialah Moss Vale, di mana anda boleh menuruni jalan utama yang dipagari pohon, melawat Taman Leighton dan melihat-lihat kedai barangan antik dan barangan istimewa. Sebelum anda masuk semula ke lebuh raya, singgah di Berrima, kampung perintis tahun 1830 dengan seni bina Georgia-Inggeris yang elegan. Anda boleh lawati penjara tertua Australia dan melawat Muzium Bangunan Mahkamah yang telah dibaik pulih yang juga digunakan sebagai pusat maklumat. Pandu pulang melalui Goulburn dan bangunan batu biru Gunning yang dibina dalam tahun 1820an. Perhentian seterusnya ialah Yass, di dalam negeri penternak biri-biri yang kaya di mana Banjo Peterson tinggal semasa zaman mudanya.

Cooma Cottage, Yass Valley, NSW
Cooma Cottage, Yass Valley, NSW

Hari 3 – Yass ke Young

Nikmati sarapan pagi di Jalan Comur yang bersejarah, di mana bangunan era kolonial telah dibaik pulih dengan indah sekali. Kemudian lawati Cooma Cootage, yang suatu masa dahulu merupakan rumah Hamilton Hume, seorang penjelajah Australia yang hebat. Beliau menambah sayap dan serambi anjung gaya Greek klasik pada kotej kolonial tahun 1835 ini. Pandu ke utara keluar dari Yass, singgah untuk berkelah di Empangan Burrinjuck dan lawati galeri barangan kaca sepanjang jalan di antara Bowning dan Binalong. Ambil perjalanan sampingan singkat ke pekan pinggir sungai Boorowa dan kampung-kampung kecil Rugby, Frogmore, Rye Park dan Reid Flat. Atau hala terus ke Young, pusat ceri Australia. Lihat bunga ceri merah muda kembang mekar pada awal bulan Oktober, sertai kemeriahan sepuluh hari meraikan penuaian dalam bulan November dan petik buah antara bulan November dan April. Jika anda lebih suka buah yang ditapai, hala ke kawasan wain Hilltops, di mana campuran terkenal adalah cabernet sauvignon, shiraz, riesling dan chardonnay. Sebagai alternatif, pelajari tentang sejarah melombong emas Young yang penuh kontroversi di Muzium Rakyat Lambing Flat dan berjalan ke Peninjau Tout untuk pemandangan merentasi Wirrimah Valley.

Young, NSW
Young, NSW

Hari 4 – Young ke Canberra

Hala keluar ke Young dan singgah untuk meneroka Boorowa jika anda terlepas peluang melakukannya sebelum ini. Lihat platipus di sungai, pelajari tentang sejarah orang Ireland pekan ini di Jejak Warisan Shamrock dan lihat unggas asli di pemeliharaan unggas setempat. Lawati bangunan mahkamah 1884 lengkap dengan gerbang Roman, kemudian kagumi tingkap kaca berwarna dan altar batu marmar Itali di gereja Katolik pertama di sebelah barat Banjaran Pemisah Besar. Di sebelah, di pekan berkembar Harden-Murrumburrah, muzium tempatan menjadi wadah untuk mempamerkan kedai apotekari, bilik muzik, dapur dan bilik air kolonial lengkap dengan tandas. Kemudian, singgah di pusat wain beriklim sejuk yang hebat berhampiran Murrumbateman. Ambil lencongan singkat ke perkampungan gourmet Gundaroo dan nikmati keluaran berkualiti dan segar di restoran batu pasir atau dengan berkelah di Yass River. Pandu melalui pekan kecil Collector dan sertai pelajar universiti Canberra yang berbaris panjang untuk makanan terkenal di Kafe Lynwood. Nikmati pemandangan dengan memandu perlahan dalam perjalanan balik ke Canberra.

Ibu kota dan desa

Ibu kota dan desa

 

Idea Australia selanjutnya