Memandu menyeberangi Nullarbor, Australia Barat, Australia Selatan

Memandu menyeberangi Nullarbor, Australia Barat, Australia Selatan

Perth – Norseman – Balladonia – Caiguna – Madura – Border Village - Ceduna
2,000km/6 hari

Luaskan pemandangan anda dengan memandu di Eyre Highway merentasi Nullarbor Plain yang luas, tiada pokok dan memukau.  Anda boleh menyertai perjalanan ini dari Melbourne, Adelaide atau Perth dan pandu ke barat menuju ke timur atau timur menuju ke barat di sepanjang lebuh raya.  Arah mana pun anda tuju, pemandangannya memberikan impak yang besar.  Lihat perubahan pemandangan, dari bukit-bukit berhutan berubah kepada dataran tinggi yang dilitupi bluebush dan lihat kumpulan kanggaru berbaris di atas jalan.  Kunjungi ladang lembu yang luas, rumah ladang bersejarah dan kota kara landasan keretapi pedalaman.  Lihat pada jarak dekat burung yang jarang ditemui di Eyre, lihat ikan paus kanan selatan dari Bunda Cliffs yang berceranggah dan memancing di Fowlers Bay.  Bermalam di rumah penginapan di pinggir jalan dan tapak perkhemahan yang banyak terdapat merentasi lebuh raya.  Walaupun jalan ini berturap, ia menuju ke kawasan pedalaman dan anda memerlukan persediaan rapi sebelum menggunakan jalan ini.  Anda perlukan kenderaan pacuan empat roda untuk meredah lebuh raya.

Blue Bonnet Parrot, Goldfields Drive, WA
Blue Bonnet Parrot

Hari 1 - Norseman ke Balladonia

Selatan-Timur, Beaches dan Goldfields Drive akan membawa anda dari Perth ke Norseman dan di sinilah pengembaraan ini bermula.  Lihatlah tugu peringatan bersaiz sebenar dan kereta api unta dulu kala sebelum menuju ke timur di sepanjang Eyre Highway.  Pandu melepasi hutan kayu Dundas Nature Reserve dan daki bukit granit Fraser Range yang cantik, yang dikelilingi oleh hutan kayu keras eucalypt terbesar di dunia.  Berjalan melalui pokok blackbutt yang tinggi, pokok salmon gum dan gimlet hijau yang merupakan antara 20 species eucalypt.   Lihat puncak Mt Pleasant menjulang tinggi merentasi hutan, kunjungi ladang bebiri Fraser Range dan lihat burung, unta dan bunga liar di sepanjang jalan belukar.  Memandu ke Newman Rocks untuk melihat hutan, banjaran dan dataran.  Tempat ini juga sesuai untuk berkelah.  Tidak jauh dari sini terletak Balladonia, di mana sebahagian daripada stesen ruang makmal angkasa AS jatuh menjunam ke bumi pada tahun 1979.  Bermalam di rumah penginapan di pinggir jalan atau tapak perkhemahan berdekatan.

Cape Arid National Park, WA
Cape Arid National Park, WA

Hari 2 - Balladonia ke Caiguna

Anda boleh memandu kenderaan pacuan empat roda ke utara menuju ke Rawlinna iaitu sebuah landasan sisi pedalaman yang menjadi tempat persinggahan kereta api Indian-Pacific dua kali seminggu.  Belajar cara mengumpul bebiri di ladang bebiri yang luas atau saksikan ahli pastoral tempatan mempamerkan kemahiran mereka menunggang kuda dan lembu jantan di Nullarbor Muster tahunan pada pertengahan bulan April.   Dari Balladonia, jalan pacuan empat roda yang lain pula akan membawa anda 200km ke selatan menuju ke pantai putih dan batu bonjol ganit di Cape Arid National Park.  Dari Balladonia, teruskan perjalanan ke timur dan anda akan melalui Afghan Rocks. Nama tempat ini diberikan sempena nama pemandu unta yang ditembak oleh sekumpulan pengembara yang dahaga kerana pemandu itu membasuh di dalam lopak air yang belum tercemar.  Lihat kuburnya sebelum memandu menuju ke  Balladonia Homestead yang dibina pada tahun 1889 dan kini menjadi galeri seni yang menggambarkan sejarah kawasan ini.  Anda akan mengembara di sepanjang Ninety Mile Straight yang terbentang sejauh 147km dan merupakan salah satu jalan lurus terpanjang di dunia.  Perjalanan ini tamat di Caiguna dan anda bolehlah tidur di rumah penginapan di pinggir jalan, motel atau tapak perkhemahan.

Nuytsland Nature Reserve, WA
Nuytsland Nature Reserve, WA

Hari 3 - Caiguna ke Madura

Lihat lubang hembus Caiguna sebelum merentasi lebuh raya yang berbengkang-bengkuk menuju ke Nuytsland Nature Reserve, di mana anda boleh memandu kenderaan pacuan empat roda menuju ke rangkaian gua yang kecil dan gegua yang runtuh yang dikenali sebagai Dolines.  Lihat Dead Dog Cave tempat bangkai Tasmanian Tiger yang dimumikan dijumpai.   Lihatlah pembentukan kars yang unik secara geologi di Cocklebiddy Cave,  tempat terdapatnya salah satu laluan bawah air yang terpanjang di dunia.  Penyelam gua yang betul-betul berpengalaman boleh menyelam di dalam laluan ini tapi anda perlu mendapat permit dan membawa peralatan anda sendiri untuk menyelam di sini.  Pemerhati burung hendaklah mengambil lencongan barat daya sejauh 50km menuju ke  Eyre Bird Observatory, tempat tinggal lebih kurang 230 spesies burung yang kebanyakannya jarang ditemui dan dari spesies terancam.  Anda perlukan kenderaan pacuan empat roda atau telefon terlebih dahulu supaya ada kenderaan yang akan menumpangkan anda nanti.  74km dari Caiguna ke Madura adalah tempat kuda lasak yang dikenali sebagai ‘Walers’ dibela untuk kegunaan Indian Army.  Hari ini, Madura menjadi tempat bebiri meragut rumput dan di samping itu terdapat rumah penginapan di pinggir jalan untuk berehat dan mengisi bahan api kenderaan.

Border Village
Border Village

Hari 4 - Madura ke WA/SA Border Village

Dari Madura lebuh raya yang diapit bukit ini terbentang hingga ke kaki langit tanpa sebarang gangguan sejauh 116km ke Mundrabilla.  Pastikan anda mempunyai bekalan makanan dan bahan api yang mencukupi sebelum memanjat semula ke puncak Hampton Tableland menuju ke Eucla tempat penganjakan gumuk pasir yang menakjubkan di Eucla National Park.   Lihat stesen telegraf lama yang pada suatu masa dahulu merupakan stesen telegraf daerah paling sibuk di Australia tapi kini secara perlahan-lahan telah dilitupi oleh gumuk.   Bergantung kepada keadaan angin, anda mungkin dapat melihat cerobong terpacak keluar dari pasir atau keseluruhan puing ini.   Berjalan ke jeti yang kini terbiar yang pada suatu masa dahulu digunakan untuk menghantar bekalan kepada peneroka.  Kunjungi muzium kecil dan lihatlah pemandangan luas merentasi Eucla dan pinggir laut dari puncak tubir.   Jalan yang lain pula menuju ke utara dari Eucla ke Forrest tempat letaknya enam kotej yang pada suatu masa dahulu digunakan oleh pekerja Biro Meteorologi.  Dari Eucla, pandu sejauh 12km lagi di sepanjang lebuh raya hingga merentasi sempadan South Australian ke Border Village dan memasuki zon waktu yang berlainan sama sekali.

Eyre Highway, Nullarbor
Eyre Highway, Nullarbor

Hari 5 - WA/SA Border Village ke Nullarbor Roadhouse

Sertai pengembaraan lasak kenderaan pacuan empat roda di sepanjang lebuh raya lama yang terbentang selari dengan Eyre Highway yang baru sejauh hampir 200km.  Sila ingat bahawa laluan ini mudah dilanda banjir dan anda perlu membuat persediaan sebelum melalui laluan ini.  Jika tidak, anda boleh mengikut Eyre Highway melalui Nullarbor National Park di tepi Bunda Cliffs yang sangat curam.   Lihat tebing tinggi selatan Australia menjunam ke arah laut dari salah satu daripada lima tempat peninjau yang bertanda di atas cenuram.   Berhati-hati apabila melangkah di sekitar puncak cenuram batu kapur.  Dari sini lebuh raya ini merentasi desa Nullarbor yang klasik – tiada pokok dan dataran yang kelihatan terbentang tanpa sempadan.  Nama 'Nullarbor' terbit daripada istilah Latin 'nullus arbor' yang bermaksud 'tiada pokok'.  Untuk masuk jauh ke dalam landskap yang memukau ini, buat lencongan 100km ke utara menuju ke Cook, sebuah kota kara terpencil di Trans-Australia Railway.  Dua kali seminggu kereta api timur barat Australia, Indian-Pacific  menderu masuk melalui landasan kereta api lurus yang terpanjang di dunia – hampir 500km.  Bersua muka dengan keluarga yang bekerja dengan syarikat perkhidmatan kereta api sebelum menghala kembali ke Lebuh Raya Eyre dan Nullarbor Roadhouse.

Bunda Cliffs
Bunda Cliffs

Hari 6 - Nullarbor Roadhouse ke Ceduna

Dari sini hingga ke Nundroo anda akan melakukan perjalanan melalui tanah Yalata Aboriginal dan anda memerlukan permit untuk berjalan keluar daripada lebuh raya.  Dapatkan permit daripada stesen ranger White Well, semasa perjalanan singkat ke Head of Bight di selatan.  Berdiri di atas Bunda Cliffs (Cenuram Bunda) yang menjulang tinggi dan tinjau ikan paus southern right (paus balin) yang mengawan dan melahirkan anak di antara bulan Mei dan Oktober.  Sekembalinya anda ke lebuh raya, jamu mata anda dengan seni dan kraf tangan di Yalata Roadhouse dan terus memandu ke rumah rehat seterusnya di Nundroo, di mana anda boleh membelok ke selatan untuk menuju ke syurga memancing Fowlers Bay.  Tinjau ikan paus dari cenuram tepi laut yang berceranggah, mengembara berjalan kaki melewati gumuk pasir dan pantai seputih salji sambil mengintai-intai hidupan liar di Fowlers Bay Conservation Park (Taman Pemuliharan Fowler’s Bay).  Kembali ke lebuh raya dan teruskan perjalanan ke Penong, tempat letaknya kincir angin dan bermain luncur air bertaraf dunia di  Pantai Cactus.  Semasa dalam perjalanan ke Ceduna, manjakan deria rasa anda dengan tiram segar dan lazat di pantai beralun Murat Bay.  Dari sini anda boleh menaiki pesawat untuk kembali ke Adelaide, atau bersedia untuk memandu, sejauh hampir 800km.

Memandu menyeberangi Nullarbor

Memandu menyeberangi Nullarbor

 

Idea Australia selanjutnya