Laluan Thorsborne Trail – Pulau Hinchinbrook

Laluan Thorsborne Trail – Pulau Hinchinbrook

4 hari/32km

Lakukan treking sepanjang 32km di atas Thorsborne Trail sepanjang pantai timur Pulau Hinchinbrook – syurga tropika yang masih terpelihara di pantai antara Townsville dan Cairns. Sepanjang empat hari, anda akan merentasi gunung yang diselimuti awan, hutan hujan yang lebat, paya melaleuca dan pantai yang putih bersih. Saksikan panorama hidupan liar, dari rama-rama dan unggas yang berwarna-warni  hinggalah kepada buaya, penyu laut, dugong dan ikan llumba-lumba. Ini merupakan perjalanan menikmati hidupan liar bagi pejalan kaki yang berpengalaman – laluan ini tidak diliputi tar atau dikeraskan, jadi ia mungkin agak sukar dilalui di sesetengah tempat. Berjalan ke mana-mana arah, berkhemah di salah satu daripada tujuh kawasan yang ditetapkan dan ingatlah ‘jangan tinggalkan sebarang kesan’. Cuma 40 orang sahaja boleh berjalan di atas laluan ini pada satu masa, jadi tempahlah permit anda lebih awal. Penting bagi anda untuk merancang dan mengikuti garis panduan keselamatan. Masa terbaik untuk berjalan adalah dalam bulan yang lebih dingin dari April hingga September. Anda boleh tiba di pulau ini melalui feri atau teksi air dari Cardwell atau Lucinda.

Hari 1 - Ramsay Bay ke Little Ramsay Bay
Hari 1 - Ramsay Bay ke Little Ramsay Bay

Hari 1 - Ramsay Bay ke Little Ramsay Bay

Bersiap sedia untuk treking berjalan kaki yang sukar – meliputi sekitar 6.5km dalam empat setengah jam. Laluannya bermula agak ke selatan titian Ramsay Bay dan mengikuti rabung gunung ke Pantai Blacksand. Carilah anak sungai di belakang lagun kecil untuk mendapatkan air di antara bulan Januari hingga Ogos. Dari sini, laluan berliku-liku di bawah kanopi tea-tree dan melalui hutan terbuka dengan pepohon yang tinggi ke pelana di bawah Nina Peak. Susuri jalan menuruni bukit dengan aliran air bermusim, kemudian lalui hutan bakau yang dipenuhi bunga-bunga merah dan bertompok-tompok. Lintasi anak sungai semasa air surut atau separa surut dan teruskan ke pinggir utara Nina Bay di mana anda boleh berkhemah dan mengumpulkan air tawar. Daki cenuram untuk ke Boulder Bay di sebelah sana, sebuah syurga penyu hijau. Semasa air pasang, anda mungkin perlu melencong melalui tumbuhan yang lebat di atas tanjung tinggi Nina. Jadikan batu sebagai titian dari Boulder Bay ke Little Ramsay Bay, tempat berkhemah dan mendapat bekalan air tawar yang segar.

Hari 2 - Little Ramsay Bay ke Zoe Bay
Hari 2 - Little Ramsay Bay ke Zoe Bay

Hari 2 - Little Ramsay Bay ke Zoe Bay

Hari ini, jarak berjalan kaki meliputi 10km dengan pelbagai tahap kelebatan tumbuhan selama enam jam. Mulakan dengan melintasi anak sungai pasang surut, berjalan ke pantai dan mendaki mengelilingi tanjung tinggi berbatu batan. Laluan sisi yang pendek membawa anda ke Banksia Bay yang indah pemandangannya di mana anda boleh bersnorkel di atas karang yang jelas di pinggirnya atau berehat pada waktu tengah hari di tapak perkhemahan. Laluan utama terus melintasi Banksia Creek ke Banksia dan Zoe Bays dengan peragaan hutan terbuka kering, hutan hujan dengan pepohon yang tinggi serta paya bakau. Tinjau alligatorbarks berwarna jingga dan pepohon quandong dengan buah berwarna biru terang. Hutan hujan yang tebal di antara North Zoe Creek dengan Fan Palm Creek mungkin agak sukar dilalui tetapi merupakan tempat yang hebat untuk melihat unggas. Randuk anak sungai dan paya ke tapak perkhemahan Zoe Bay, tidak jauh dari Air Terjun Zoe yang memukau. Kumpul air tawar dari South Zoe Creek, di mana ketam askar berwarna biru kecil berkumpul di dataran berpasir berhampiran semasa air surut. Tapak perkhemahan pantai dan hutan terletak di hujung teluk ini dan anda perlu berhati-hati menyimpan makanan bagi mengelakkannya menjadi habuan hidupan liar.

Hari 3 - Zoe Bay ke Sunken Reef Bay atau Air Terjun Mulligan
Hari 3 - Zoe Bay ke Sunken Reef Bay atau Air Terjun Mulligan

Hari 3 - Zoe Bay ke Sunken Reef Bay atau Air Terjun Mulligan

Pemandangan yang memukau, laluan berbatu-batan dan teluk terpencil menandakan bahagian 7.5km ini, yang boleh anda lalui dalam tempoh empat jam setengah.
Susuri South Zoe Creek sebelum menghala ke atas ke tempat tinjauan dengan pemadangan yang sangat indah. Dari tempat tertinggi - 260m di atas paras laut – anda boleh melihat Pulau Palm dan Pulau Magnetic. Tinjau dedaun berwarna-warni sambil anda berjalan melalui belukar heath. Bunga tempatan lasiandras dengan kuntuman merah jambu terang dan merah lembayung berubah menjadi biru kelabu pada banksia biru yang sukar ditemui. Paku pakis karang dan sundews membarisi pinggir anak sungai, manakala unggas dan serangga berkumpul untuk menghisap madu daripada bunga-bunga putih tumbuhan rumput. Lencongan ke Sunken Reef Bay, tempat yang permai untuk berkayak laut mengambil masa 30 minit. Berkhemah di sini, di belakang gumuk depan atau teruskan dengan berhati-hati melintasi Diamantina Creek ke tapak perkhemahan di bawah Air Terjun Mulligan. Hayati pemandangan yang amat menakjubkan ke arah Lucinda dan Pulau-pulau Palm, namun elakkan diri daripada kawasan berbahaya di atas air terjun tersebut.

Hari 4 – Air Terjun Mulligan ke George Point
Hari 4 – Air Terjun Mulligan ke George Point

Hari 4 – Air Terjun Mulligan ke George Point

Air Terjun Mulligan merupakan sumber air tawar yang boleh dipercayai dan terakhir di atas laluan ini, jadi kumpulkan air sebelum meneruskan perjalanan.
Laluan ini melingkar melalui 2.5km hutan hujan tropika, melintasi lima anak sungai yang jernih bak kaca. Kunjungi Moth Creek untuk air tawar bermusim dan main ‘cari Pitta yang bising’. Burung berwarna-warni ini mempunyai bunyi seperti ‘walk to work (berjalan ke tempat kerja)’ – antem produktiviti sambil ia memburu serangga di lantai hutan ini. Ke selatan Diamantina Creek, anda akan keluar daripada hutan hujan dan tiba di Mulligan Bay. Dari sini, lalui perjalanan mencabar sejauh 5km di sepanjang pantai dan melintasi Mulligan Creek ke George Point. Anda patut melintasi anak sungai ini semasa air surut atau separa surut. Bot yang ditempah lebih awal akan mengambil anda dari sini, dan ketibaan bot tersebut bergantung kepada pasang surut air  Mulligan Creek. Di sini juga terdapat tapak perkhemahan jika anda mahu meluangkan masa beberapa malam lagi atau berehat sebelum kembali kembara berjalan kaki ke Ramsay Bay.

Idea Australia selanjutnya