Tiga hari yang hebat di Sydney

Tiga hari yang hebat di Sydney

Terokai pelabuhan, pantai dan presint pedalaman bandar-raya bersemangat ini.  Tontoni sang suria mula mendaki langit di atas Harbour Bridge atau sang suria melabuhkan tirainya di Opera House.  Nikmati santapan kelas atasan sepanjang Finger Wharf Woolloomooloo atau kecapi pengalaman menonton teater dan menari di sepanjang dermaga Walsh Bay yang dibangunkan semula.   Naiki feri ke Manly, berjalan kaki dari Bondi ke Bronte di sepanjang cenuram tepi laut yang menakjubkan atau bersantai di taman bir berlatarkan pemandangan pelabuhan di Watsons Bay.  Terokai keunikan ciri-ciri  Surry Hills, Kings Cross, Glebe, Newtown atau Balmain.  Luangkan hari terakhir anda dengan memanjakan diri di kilang wain, restoran atau spa sehari di Hunter Valley.

Sydney, NSW
Sydney, NSW

Hari 1: Mulakan dalam dakapan pelabuhan Sydney

Mulakan percutian di Sydney anda dengan bersiar-siar di sekitar kawasan pelabuhan.  Merayau-rayau di lorong-lorong cul-de-sac berturapkan batu buntar dan tinjau pasar minggu di The Rocks, presint bersejarah yang menjadi titik permulaan bandar raya Sydney.  Daki Harbour Bridge atau naiki feri ke zoo.   Semasa menuju ke Circular Quay, singgah sebentar di Muzium Seni Kontemporari.   Bersiar-siar melalui Botanic Gardens (Taman Botani) yang dipelihara dan dibentuk rapi ke Galeri Seni NSW atau muzium dan tapak bersejarah di sepanjang  Macquarie Street.  Teruskan berjalan kaki hingga tiba ke jalur santapan mewah dermaga Woolloomooloo dan di Potts Point yang begitu kosmopolitan.   Naiki bas ke Rose Bay, di mana anda boleh menyewa kayak dan meluangkan waktu tengah hari anda mendayung di sekitar kawasan sebelah dalam pelabuhan.  Atau teruskan perjalanan ke Watsons Bay dan tontoni sang suria melabuhkan tirai di kaki langit Sydney dari pub tepi pantai.  Menjelang sore, makan di luar di sepanjang Cockle Bay Wharf (Dermaga Cockle Bay) selepas mengunjungi berbagai tarikan di  Darling Harbour atau berseronok menikmati gaya hidup waktu malam di Surry Hills atau Kings Cross.  Lengkapkan hari pertama anda di Sydney dengan menonton persembahan di Opera House yang sudah sekian lama menjadi ikon di sini.

Naiki bas ke Pantai Bondi, dan di sana anda boleh berenang, mendaftar untuk pelajaran luncur air atau bersantai dan nikmati pemandangan indah dari bukit dengan hamparan rumput.  Menjamu mata di butik lorong-lorong tersembunyi dan nikmati sarapan lewat bersama-sama mereka yang berkelana dan para fashionista di salah sebuah kafe funky.  Pada hari Minggu, anda boleh membeli pakaian vintaj dan yang direka oleh pereka fesyen tempatan di Pasar Bondi Beach.  Terokai denai berliku, serta cenuram diukir ombak dari Tamarama ke Coogee, dan berhenti sejenak untuk meneguk kopi di kafe tepi pantai yang sentiasa sibuk.  Sebaliknya, anda boleh juga menaiki feri untuk melintasi pelabuhan ke Manly, yang terletak di antara pantai berombak besar untuk para peluncur dengan pelabuhan yang tenang airnya.  Lalui semua laluan jalan kaki dengan pemandangan indah yang mengunjur dari Manly hingga ke Spit Bridge (Jambatan Spit).   Berkelah di Pantai Shelly, selam skuba di Cabbage Tree Bay atau tunggang motorsikal ke Fairy Bower.  Menjelang senja, pergi ke Walsh Bay, yang menempatkan Sydney Theatre Company, Sydney Dance Company dan Bangarra Dance Company.   Atau bersiar-siar mencari tempat menjamu selera, bar tertutup dan pub yang penuh sesak di Glebe, Newtown atau Balmain. 

Hunter Valley, NSW
Hunter Valley, NSW

Hari 3: Menuju ke Hunter Valley

Sewa kereta, naiki bas atau sertai kumpulan pelancong ke Hunter Valley, wilayah anggur yang mengambil masa dua jam sahaja, jika memandu ke utara dari Sydney.  Tunggang motosikal ke beberapa kilang wain daripada 120 yang terdapat di situ atau kunjunginya dengan menaiki kereta kuda. Nikmati rasa minyak zaitun tempatan dan belajar masak masakan gourmet.  Anda juga boleh memanjakan diri anda di spa sehari atau memukul bola golf di salah satu daripada tiga balapan kejohanan golf di wilayah ini.  Menunggang kuda di kawasan perkampungan yang beralun atau naiki belon udara panas untuk meninjau ladang anggur dari udara.  Bushwalk atau mengembara berjalan kaki di pedalaman melalui Taman Negara Yengo dan lihat lukisan Aborigine pada batu di Milbrodale.  Menjamu mata melihat galeri, barangan antik, kafe dan kedai kraf tangan di perkambungan bersejarah Morpeth, Wollombi dan Broke.  Menginap semalam di rumah tetamu,  kemudahan menginap dan sarapan atau di hotel butik yang anggun.

Sydney

Sydney

Berapa lama saya perlukan:
Minimum 2 hari

Waktu terbaik untuk pergi :
Sydney ialah tempat yang boleh dilawati sepanjang tahun dengan musim panasnya yang cerah dan musim sejuknya yang nyaman.

 

Idea Australia selanjutnya