Laluan Pelancong Pinggir Pantai Pasifik, New South Wales

Laluan Pelancong Pinggir Pantai Pasifik, New South Wales

Sydney - Central Coast - Hunter Valley - Port Stephens - Coffs Harbour - Byron Bay - Gold Coast
Perjalanan 7 hari dengan kenderaan

Jelajahi pantai yang berkilauan dan daerah pedalaman yang hijau di Central Coast, tempat penghasilan wain di Hunter Valley dan serokan Pelabuhan Stephens yang cantik. Berlatih memukul bola di padang golf hutan hujan di Coffs Coast dan kembalikan aura anda di pantai Byron Bay. Menyelam di samping ikan-ikan yang berwarna terang di Taman Marin Solitary Islands atau teruskan ke Gold Coast yang bermandikan cahaya terang. Pemanduan yang berlatarkan pemandangan cantik ini membawa anda dari Sydney ke Brisbane, dengan pantai yang landai, perkampungan yang lengang, hutan hujan yang berlumut, pengembaraan dan bersantai dalam perjalanan.

Central Coast, NSW
Central Coast, NSW

Hari 1 - Sydney ke Central Coast

Keluar dari pinggir bandar utara Sydney yang hijau ke Central Coast, di mana anda boleh meredah semak di Taman Negara Bouddi, meluncur ombak di Avoca dan memancing dari pantai di Terrigal. Ikuti Laluan Berjalan Coast melalui Bateau Bay yang cantik dan bersiar-siar di pantai yang terlindung dan daerah pedalaman Toowoon Bay yang kaya dengan hidupan liar. Jauh ke utara, anda boleh memancing dan memberi makan burung undan dari pantai lautan The Entrance. Anda juga boleh berkanu, meluncur air, belayar, mendayung perahu dan meluncur angin di Tuggerah Lake atau berbasikal di sekitar pantainya. Untuk ke kawasan pedalaman, anda boleh mengambil feri atau menyewa kapal pesiar ke Taman Negara Perairan Brisbane, di mana anda boleh meredah belukar melewati kawasan Orang Asli Australia dan bunga-bunga liar yang cantik. Apabila anda telah selesai menjelajah, anda boleh bermalam di pekan Central Coast kegemaran anda.

Hunter Valley, NSW
Hunter Valley, NSW

Hari 2 - Central Coast ke Hunter Valley

Memandu melintasi Newcastle dan berhenti untuk meluncur ombak di Pantai Nobby, berenang di Pantai Bar, meluncur gantung di Taman Dixon atau menyelam skuba di celah-celah kapal yang ranap berdekatan Pelabuhan Newcastle. Berehat makan tengah hari di kafe di sepanjang titian atau di Queens Wharf, sebelum menuju ke tempat penghasilan wain di Hunter Valley. Rasai semillion dan shiraz kemegahan kawasan tersebut di 120 tempat penghasilan wain, termasuk nama-nama yang terkenal seperti McGuigan, Tyrrell, Tulloch dan Drayton. Beli terus dari tempat simpanan wain di bukit-bukau Lovedale dan rasai wain buatan tangan di Broke, kampung yang damai dikelilingi oleh dusun pokok zaitun dan tubiran Yellow Rock. Jika anda menggemari pengembaraan, jangan lepaskan peluang untuk melakukan terjun udara di Cessnock, meredah belukar di Taman Negara Yengo dan naiki belon udara panas melintasi ladang anggur dari Pokolbin. Bermalam di rumah tamu butik di Lovedale, Cessnock yang mudah didatangi atau pekan bersejarah Wollombi.

Port Stephens, NSW
Port Stephens, NSW

Hari 3 – Hunter Valley ke Port Stephens

Tuju ke arah utara melewati Kurri Kurri untuk ke 26 pantai percutian terlindung Port Stephens. Pandu ke Rumah Api Nelson Head dan nikmati kopi sambil menyaksikan pemandangan panoramik merentasi teluk. Dari Nelson Bay, anda boleh berkayak atau belayar bersebelahan ikan dolfin berhidung botol dan menyelam atau bersnorkel dengan kehidupan marin yang lain di Fly Point. Kemudian, naik feri ke Tea Gardens, di mana anda boleh makan tengah hari kemudian menuju ke Hawks Nest, berenang di pantai lautan atau memancing dari Taman Negara Myall Lakes. Kembali ke sebelah lain teluk, jalan ke atas Tomaree Headland di Taman Negara Tomaree dan hadapi bukit pasir yang besar di Pantai Stockton dengan menaiki motosikal beroda empat atau kenderaan pacuan empat roda. Selesakan diri anda untuk bermalam di Anna yang sunyi atau nikmati ketenangan tempat peranginan beberapa minit dari Nelson Bay Marina.

Coffs Harbour, NSW
Coffs Harbour, NSW

Hari 4 – Port Stephen ke Pelabuhan Coffs

Bergerak keluar dari Port Stephen dan melalui Raymond Terrace yang bersejarah di Hunter River. Meneruskan ke bahagian atas pantai, anda boleh memancing dan menyelam skuba dari Seal Rocks dan bersiar-siar di pantai Forster yang indah. Sebagai alternatif, tuju ke arah pedalaman ke Barrington Tops, hutan yang tersenarai sebagai Warisan Dunia. Di sini, anda boleh meredah belukar atau berakit air tawar melalui hutan hujan subtropika dan melewati puncak gunung berapi mati. Lawati Taree dan Air Terjun Ellenborough yang dramatik dan tunggang unta di sepanjang Pantai Lighthouse di Port Macquarie. Jauh ke utara sedikit, anda boleh menyelam, bersnorkel atau memancing ikan laut dalam dari South West Rocks dan berehat di pantai memutih yang tidak sesak di Nambucca Heads. Akhiri perjalanan hari anda di Pelabuhan Coffs, sebuah pekan peranginan yang indah dikelilingi oleh hutan dan taman negara yang subur.

Byron Bay, NSW
Byron Bay, NSW

Hari 5 – Pelabuhan Coffs ke Teluk Byron

Bersarapan di pantai dan dapatkan gambar Big Banana yang terkenal, sebelum meneroka taman permainan penuh cabaran yang lebih besar di Pantai Coffs. Berkayak melalui Taman Negara Bongil Bongil atau berakit air tawar di Nymboida River. Memancing atau menyelam skuba di Taman Marin Pulau Solitary, berhampiran pantai Pelabuhan Coffs atau belok ke tenggara untuk ke kampung hipi berdaun lebat Bellingen, kemudian berjalan merentas air terjun dan hutan hujan Gondwanan di Taman Negara Dorrigo. Jauh sedikit ke utara, singgah minum kopi di bandar wilayah Grafton yang menawan, belayar bersebelahan dolfin di Clarence River dan naik kereta api wap warisan merentasi gunung di Glenreagh. Menghala ke arah Taman Negara Nymboida untuk berakit air tawar, menapak turun dan memanjat batu dan untuk melihat koloni platipus yang terbesar di daerah ini. Kemudian, sertai semula Lebuh Raya Pasifik dan menghala melalui pekan pinggir sungai Ballina yang berkembang maju sebelum sampai di Byron Bay untuk bermalam.

Bangalow, NSW
Bangalow, NSW

Hari 6 – Byron Bay ke Gold Coast

Bersiar-siar sewaktu matahari terbit di sepanjang Laluan Berjalan Tanjung Byron dan saksikan cahaya pertama yang menjadikan rumah api Byron Bay merah muda. Perhatikan ikan paus membuat penghijrahan tahunan mereka antara Mei dan November serta bersnorkel dengan ikan paus kelasa, penyu laut dan dolfin di Taman Marin Cape Byron. Makan sepuas-puasnya dengan sarapan penuh di sebuah daripada banyak kafe di Byron yang berkembang maju, kemudian berenang atau berkayak dengan dolfin berhampiran Pantai Main atau lawati ombak luncur pecah The Pass. Luncur gantung di atas rumah api, menunggang kuda di Bangalow atau sertai pengembaraan kenderaan pacuan empat roda melalui air terjun pecahan pelangi dan hutan hujan pedalaman Byron. Syurga pantai bohemian ini juga merupakan tempat untuk mendapatkan bacaan kad tarot, mencari ketenangan dalaman di penginapan hutan hujan atau melihat-lihat hasil kerja artis tempatan di pasar Sabtu. Sebaik sahaja tenaga anda telah pulih, teruskan perjalanan untuk menyaksikan pemandangan indah dalam pemandungan selama 90 minit ke Gold Coast. Anda boleh lakukan lencongan melalui taman negara berpemandangan indah di sekitar Murwillumbah dan mendaki Mount Warning, sebuah gunung berapi kuno yang telah terhakis. Bermalam di tempat tinggi di pasir Surfers Paradise atau tempat mencari ketenangan di pedalaman.

Gold Coast, QLD
Gold Coast, QLD

Hari 7 - Gold Coast ke Brisbane

Habiskan masa sepanjang hari dengan bersantai di pantai, membeli-belah dan menikmati kemeriahan tanpa henti Gold Coast. Luncuri gelombang hebat di Pantai Broadbeach, Kirra dan Main. Atau baring di atas pasir keemasan Surfers Paradise, di mana kemudian anda boleh melawat kedai, kafe dan restoran di Cavill Avenue yang meriah. Bersnorkel atau menyelam di celah-celah Scottish Prince yang ranap di luar Main Beach atau jelajahi terumbu tiruan tidak jauh dari Narrow Neck. Di pedalaman, anda boleh meneroka air terjun, kolam batu dan hutan hujan subtropika yang subur di Taman Negara Gunung Tamborine, Taman Negara Springbrook dan Taman Negara Lamington. Untuk mengalami keseronokan taman tema, berenang dengan dolfin dan bermesra dengan anjing laut di Sea World dan bertahan daripada ombak besar di Dreamworld. Setelah puas menikmati keseronokan, lakukan pemanduan sejam ke ibu negeri Brisbane yang tenang dan canggih.

Laluan Pelancong Pinggir Pantai Pasifik, NSW

Laluan Pelancong Pinggir Pantai Pasifik, NSW

 

Idea Australia selanjutnya